Berdasarkan Kementerian Pendidikan Malaysia (1988), tujuan
utama pendidikan matematik adalah untuk meningkatkan tahap pemikiran pelajar
dari segi berfikiran mantik, analitis, bersistem dan kritis, kemahiran
penyelesaian masalah serta kebolehan menggunakan ilmu pengetahuan matematik
supaya individu dapat menangani cabaran dalam era maklumat dan kehidupan
seharian dengan berkesan. Hal ini kerana, matematik kini memainkan peranan
penting dalam kehidupan masyarakat yang meliputi pelbagai jenis aktiviti
seharian terutamanya aktiviti yang melibatkan pemprosesan data, simulasi,
membuat keputusan dan komunikasi berbanding masyarakat dahulu yang berpendapat
bahawa matematik hanya digunakan untuk pengiraan sahaja. Menurut Ismail (1997),
keadah berfikir secara mantik merujuk kepada kaedah berfikiran secara bersistem
yang bertujuan untuk mengelakkan daripada melakukan kesalahan yang berkait
dengan fikiran, ilmu ke jalan yang lurus, ilmu mencari dalil dan ilmu
undang-undang berfikir. Kaedah berfikir secara analitis boleh ditakrifkan
sebagai kaedah mengurai atau merinci sesuatu masalah atau persoalan menjadi
bahagian-bahagian (komponen) yang lebih kecil serta mampu memahami hubungan di
antara bahagian tersebut. (Suherman dan Sukjaya, 1990: 49). Seterusnya, kaedah
berfikir secara kritis pula boleh dikategorikan sebagai proses yang melibatkan
operasi mental. Menurut Ennis (1985) serta Fogarty dan McTighe (1993)
berfikir kritis merupakan cara berfikir reflektif yang masuk akal atau
berdasarkan punca untuk menentukan apa yang akan dilakukan.
Merujuk
buku yang bertajuk ‘Pedagogi dalam Pendidikan Matematik’ (Noraini Idris,
terbitan pertama 2001, edisi baru 2005, 3), pendidikan matematik secara umumnya
memberi penekanan kepada perkembangan yang menyeluruh pelajar dari segi
perkembangan kognitif, sikap dan psikomotor serta memupuk nilai-nilai murni
untuk menjadi masyarakat atau rakyat yang berguna selari dengan matlamat
Falsafah Pendidikan Negara. Bloom (1956) menyatakan bahawa perkembangan
kognitif pelajar dapat ditakrifkan sebagai kemampuan intelektual seseorang dalam
berfikir, mengetahui dan menyelesaikan masalah yang terdiri daripada enam
bahagian iaitu pengetahuan, pemahaman, penggunaan, analisis, sintesis dan
penilaian. Sikap pula merujuk kepada minat dan nilai pelajar. Menurut Krathwol
(1964), sikap boleh diperincikan kepada nilai-nilai seperti penerimaan, tidak
balas atau penyertaan, penilaian atau penentuan sikap, mengatur atau
mengorganisasi dan pembetukan karakter melalui sesuatu nilai atau nilai
kompleks. Psikomotor pula boleh dikaitkan dengan kemampuan yang melibatkan
kegiatan otot dan fizikal. Davc (1970) menyatakan bahawa perkembangan
psikomotor boleh dibahagikan kepada peniruan, manipulasi, tetap, artikulasi
dan pengalamiahan. Selain itu, peranan
guru dan ibu bapa harus dititikberatkan dadengan menunjukkan sikap yang positif
terhadap matematik bagi menarik minat pelajar untuk meminati matematik.
Selain
itu, pendidikan matematik di Malaysia juga bertujuan untuk mendedahkan kepada
guru dan pelajar tentang kaedah, kemahiran dan keterangan dalam matematik. Matlamat dan tujuan ini boleh dicapai apabila
semua potensi diri pelajar telah dikembangkan secara menyeluruh dan seimbang. Dalam
proses pengajaran dan pembelajaran, Matematik telah dikenal pasti mengandungi
kekuatan dan kekurangan serta halangan sewaktu proses pengajaran. Oleh itu,
para guru harus bijak mengawal dan mengenalpasti masalah yang dihadapi oleh
pelajar dengan cara melibatkan pelajar secara aktif sewaktu proses
pembelajaran. Selain itu, kandungan kurikulum Matematik harus meliputi pengetahuan
dan kemahiran matematik yang sesuai dengan keupayaan murid serta relevan dengan
keperluan dalam era maklumat. Antara kemahiran matematik yang dinyatakan dalam
kurikulum matematik sekolah adalah seperti melakukan prosesi asas, membuat
anggaran dan penghampiran, mengukur, mengendali data, mewakili maklumat dalam
bentuk graf dan carta, mengenal perkaitan dan mewakilinya secara maematik,
menggunakan algoritma dan perkaitan serta menyelesaikan masalah. Jadi,
memandangkan sekolah merupakan tempat untuk pelajar menimba ilmu pengetahuan,
maka pihak guru wajar menyediakan satu situasi pengajaran dan pembelajaran yang
cukup berkesan.
No comments:
Post a Comment