Friday, 9 October 2015

STRUKTUR PENDIDIKAN MATEMATIK DI MALAYSIA

Berdasarkan kronologi sejarah perkembangan pendidikan matematik di Malaysia, kandungan isi pelajaran matematik telah beberapa kali mengalami perubahan. Antara perubahannya yang jelas dapat dilihat dari segi isi kandungan sukatan pelajaran sejak dari tahun 70-an hinggalah ke alaf baru ini. Perubahan ini berlaku adalah disebabkan dengan pelbagai faktor antaranya falsafah pendidikan pada masa itu, visi dan misi sistem pendidikan negara, perkembangan teori pembelajaran, globalisasi yang memberi kesan pada struktur sosial dan budaya setempat serta isu-isu semasa yang perlu diambilkira seperti politik, pasaran semasa dan ekonomi sesebuah negara.

Perubahan kurikulum matematik di Malaysia banyak dipengaruhi oleh perubahan kurikulum matematik yang berlaku di United Kingdom. Pada awal tahun 60-an beberapa projek dan program kurikulum matematik telah dirangka berdasarkan kepada projek-projek kurikulum yang berjaya dilaksanakan di United Kingdom. Pada tahun 80-an perubahan kurikulum matematik di negara kita berubah mengikut keperluan Falsafah Pendidikan Negara (pada ketika itu) dan pada tahun 90-an pula perubahan mengikut era teknologi maklumat dalam pendekatan pengajaran pembelajaran matematik di sekolah rendah dan menengah.

Pendekatan yang digunakan dalam menyusun kurikulum matematik adalah berasasaskan kepada andaian atau tanggapan yang dibuat mengenai ilmu matematik yang harus dipelajari oleh murid, mengenai pedagogi atau cara pengajaran yang dianggap paling berkesan, dan mengenai psikologi atau cara murid belajar matematik (Weaver dan DeVAult, 1972). Dalarn kurikulum matematik tradisi, matematik sekolah pada amnya disusun sebagai himpunan kemahiran dan konsep mengikut hirarki tertentu. Objektif pengajaran yang berlandaskan kepada teori pembelajaran tingkahlaku telah membuat matematik terbahagi kepada ratusan bahagian, dan setiap bahagian diajar secara berasingan antara satu sarna lain (Asiah Abu Sarnah, 1982). Untuk menggubal kurikulum, seseorang itu perlu membahgi dan menyusun setiap bahagian tersebut mengikut hirarki tertentu (lazimnya mengikut aras kesukaran). Skop dan susunan tajuk matematik yang digariskan mengikut objektif yang berlandaskan prosedur untuk diresapi oleh pelajar pada setiap peringkat (darjah atau tingkatan) dihasilkan untuk memudahkan pengajaran. Pencapaian ketepatan dalam kemahiran kira mengira menjadi matlamat utama dalam pendidikan matematik dan murid menghabiskan banyak masa dalarn menyerap apa yang telah dilakukan oleh orang lain dan bukannya mendapat pengalarnan dalam membina maternatik (Romberg and Carpenter,1987, Nik Azis Nik Pa, 1989).

            Matlamat utama bagi seorang pelajar ialah untuk mencapai kemahiran atau konsep yang telah disenaraikan tadi satu persatu. Tambahan pula, tugas utama seorang pelajar ialah untuk mendapat jawapan yang betul kepada masalah yang telah ditakrifkan untuknya. Cara begini telah menghasilkan, secara tidak langsung, pandangan bahawa matematik mengandungi suatu susunan yang sangat ketara. Matematik akhirnya menjadi sesuatu yang formal dan bukan sebagai satu kaedah atau mengandungi susunan kaedah-kaedah tertentu untuk menganalisis dan memahami dunia di sekeliling kita (Jahnke, 1986).

            Pendidikan matematik disusun mengikut tema tersebut dengan andaian bahawa wujud satu struktur yang unik dalam matematik. Perbincangan berikut memperihalkan beberapa jawatankuasa utama yang telah menentukan hala tuju kurikulum matematik di Malaysia.

i.          Laporan Razak (1956)

Menteri Pelajaran ketika itu Y.B. Dato' Tun Abdul Razak Hussein menubuhkan Jawatankuasa Pelajaran dan mengesyorkan beberapa perubahan dalam sistem pendidikan dan laporan ini dikenali sebagai Penyata Razak (1956). Cadangan-cadangan dalam penyata tersebut telah dimaktubkan dalam Ordinan Pelajaran 1957. Kurikulum pendidikan matematik yang rasmi hanya diguna pakai bermula 1956 selepas cadangan Penyata Razak supaya semua sekolah kerajaan berbuat sedemikian. Walau bagaimanapun, terdapat hanya sedikit perubahan tajuk pada kurikulum yang rasmi itu. Perubahan besar hanya berlaku selepas pelaksanaan Projek Khas pada 1970.

ii.         Laporan Projek Khas (1970)

Projek Khas Kementerian Pelajaran Malaysia bermula pada 1968 diterajui oleh En.Abu Hassan Ali. Objektif projek ini ialah untuk memperbaiki mutu pendidikan matematik dan sains supaya selaras dengan perkembangan matematik moden di negara-negara maju.  Bahan-bahan pengajaran-pembelajaran direka cipta oleh pensyarah dan guru yang telah dilatih di luar negara.  Hanya terdapat sedikit perubahan kandungan matematik sekolah rendah pada Projek Khas ini. Walau bagaimanapun, strategi serta kaedah berpusatkan guru diperkenalkan. Kaedah inkuiri-penemuan digalakkan.  Program ini telah diubahsuai dan diperkenalkan ke semua sekolah rendah dari masa ke semasa sehingga ianya digantikan dengan Matematik KBSR.

 iii.       Program Matematik Moden (1970)

Program Matematik Moden diperkenalkan ke sekolah rendah dan menengah pada awal tahun 70-an. Tujuan utama program ini ialah memperkenalkan tajuk-tajuk moden di ketika itu seperti teori set, statistik dan vektor yang dipermudahkan. Selain itu, pendekatan tradisi digantikan dengan kaedah semasa.  Sukatan Matematik Moden dirancang oleh Panitia Kurikulum Matematik yang ditubuhkan pada 1969. Sukatan berkenaan dirancang selepas diadakan kajian terhadap kurikulum British School Mathematics Project (SMP) dan Scottish Mathematics Group (SMG). Panitia berkenaan memilih sukatan SMG kerana ianya lebih sesuai bagi murid pelbagai kebolehan di sekolah menengah rendah.  Pada 1972, topik-topik SMP telah diguna pakai bagi pendidikan matematik di Tingkatan 4 dan Tingkatan 5 kerana panitia berkenaan mendapati bahawa ianya lebih sesuai bagi tujuan peperiksaan Sukatan Matematik.  Dua buah buku teks iaitu Matematik Moden Tingkatan Empat dan Matematik Moden Tingkatan Lima telah diterbitkan pada 1974 dan 1975.  Seterusnya, kedua-dua sukatan menengah rendah dan menengah atas iaitu Sukatan Matematik Moden Tingkatan Satu hingga Tingkatan Lima telah disatukan pada 1978.  Satu pertiga daripada Sukatan Matematik Moden mengandungi topik-topik baru seperti sistem pernomboran, pemetaan, transformasi geometri, matriks dan statistik.  Strategi pengajaran dan pembelajaran berpusatkan murid dan bahan manipulasi terus digalakkan.

iv.        Kurikulum Baru Sekolah Rendah (KBSR) (1983)

KBSR dilaksanakan pada tahun 1983 berdasarkan Falsafah Pendidikan Kebangsaan sebagai sebahagian daripada pelaksanaan Dasar Pendidikan Kebangsaan (1979).  Melaluinya, kurikulum matematik telah mengalami perubahan yang besar daripada Kurikulum Matematik Moden.  Perubahan utama ialah mengurangkan kandungan matematik supaya menjadi lebih sesuai dengan kebolehan murid. Sukatan pelajaran dibahagi kepada dua iaitu Aras I dan Aras II.  Aras I (Tahun 1 – Tahun 3) mementingkan penguasaan terhadap konsep-konsep asas penomboran serta pelaksanaan empat operasi asas matematik (+, -, ÷ dan x).  Aras II (Tahun 4 – Tahun 6) pula mementingkan aplikasi kemahiran operasi asas serta penyelesaian masalah matematik.  Kurikulum ini bertujuan untuk menyediakan peluang yang sama bagi semua murid untuk memperoleh pengetahuan, kemahiran, sikap, peraturan serta amalan sosial masyarakat yang baik. Matematik KBSR ini bertujuan untuk mengembangkan kemahiran mengira dikalangan murid. Mereka perlu juga menguasai kemahiran-kemahiran asas matematik.

v.         Kurikulum Bersepadu Sekolah Rendah (1994)

Kurikulum Baru Sekolah Rendah ditukar kepada Kurikulum Bersepadu Sekolah Rendah pada tahun 1994.  Manakala kurikulum matematik sekolah menengah juga mengalami perubahan daripada Kurikulum Baru Sekolah Menengah (1989) kepada Kurikulum Bersepadu Sekolah Menengah pada tahun 1998.  Perubahan yang dibuat adalah selaras dengan kehendak dan cita-cita murni yang terkandung dalam  Falsafah Pendidikan Kebangsaan 1994.  Matlamat utama Pendidikan Matematik dalam Kurikulum Bersepadu Sekolah Rendah bertujuan untuk memudahkan pelajar membina konsep nombor dan menguasai kemahiran asas mengira.  Dengan ini, diharapkan pelajar dapat menyelesaikan masalah dalam kehidupan seharian dengan berkesan. Berasaskan pengetahuan matematik yang diperolehi, pelajar seharusnya  boleh menguruskan aktiviti harian mereka dengan lebih sistematik.  Ini dapat membantu mereka untuk terus maju dan melanjutkan pelajaran di masa akan datang dan menyumbang kepada pembentukan modal insan yang diperlukan untuk membangunkan masyarakat dan negara. (Sukatan Matematik Sekolah Rendah: April 1993)

vi.        Sukatan Matematik Sekolah Rendah (1998)

Berikutan pelancaran Sekolah Bestari (1995) dan memenuhi keperluan IT (Teknologi Maklumat) seperti yang terdapat dalam cabaran visi 2020, sukatan matematik telah disemak semula. Semakan sukatan matematik pada tahun 1998 mempastikan pelajar menguasai kemahiran asas matematik dan dapat menggunakannya dalam situasi harian sepenuhnya. Jawatankuasa yang berkenaan telah mengagihkan kemahiran belajar yang diperlukan kepada sembilan tajuk utama.  Bagi setiap tajuk, kemahirannya disusun dari mudah kepada susah secara hiraki. Tajuk- tajuknya ialah nombor bulat dan operasi asas, pecahan dan operasi asas, perpuluhan dan operasi asas, wang, ukuran panjang dan berat, ruang, purata, peratus dan graf.

Bagi setiap tajuk, kemahirannya disusun dari mudah kepada susah secara hiraki. Tajuk-tajuknya mengikut sususan iaitu  Nombor bulat dan operasi asas, Pecahan dan operasi asas, Perpuluhan dan operasi asas, Wang, Ukuran panjang dan berat, Ruang, Purata, Peratus dan Graf.

vii.        Projek Imbuhan (Compensatory Project) (1975-1980)

Projek Imbuhan telah dilaksanakan selepas Perang Dunia yang kedua untuk menangani keadaan ketidakserataan dan ketidakadilan peluang pendidikan di antara golongan kaya dan miskin. Akibat taraf sosio ekonomi yang berbeza wujudlah jurang yang ketara ini. Golongan kaya mendapat pendidikan yang sempurna manakala golongan miskin terus dipinggirkan untuk belajar. Berikutan itu, Projek Imbuhan dijalankan untuk membela nasib kanak- kanak dari keluarga yang berpendapatan rendah.

Projek ini telah dilancarkan dan dilaksanakan dari tahun 1975 sehingga tahun 1980. Melalui projek ini, peruntukan-peruntukan khas dalam bentuk bantuan telah dihulurkan kepada semua ibubapa dan pelajar sekolah rendah dan pra-sekolah yang kurang berkemampuan. Ini termasuklah pemberian subsidi makanan, bantuan kewangan dan kemudahan- kemudahan lain. Bagi mempastikan kejayaan dan keberkesanan, projek ini telah disokong oleh sumber- sumber seperti bahan pembelajaran khas dan guru- guru yang dilatih khusus menjalankan projek ini. Skema pembelajaran juga direkabentuk mengikut perkembangan kognitif murid-murid. Projek ini menitikberatkan bidang pedagogi (pendidikan pemulihan) dan elemen- elemen sosio-ekonomi dan politik.

viii.        Projek InSPIRE (1977)
    (Integrated System of Programmed Instruction for Rural Environment)

Idea untuk menubuhkan Projek InSPIRE bermula dalam tahun 1977. Langkah ini diterajui oleh Universiti Sains Malaysia sebagai satu projek pendidikan. Objektif utama projek ini ialah untuk mencari kaedah yang berkesan bagi menjalankan program pemulihan dan pengayaan matematik di sekolah- sekolah rendah di luar bandar. Pelbagai set bahanbahan untuk aktiviti pemulihan dan pengayaan matematik telah dibina dan dihantar ke sekolah- sekolah untuk diuji. Di samping itu, objektif kedua projek ini ialah membantu Pusat Perkembangan Kurikulum, Kementerian Pelajaran Malaysia melaksanakan program pemulihan dan pengayaan dalam KBSR. Projek InSPIRE ini telah dilancarkan secara rasmi pada tahun 1983.

ix.        Projek Sekolah Bestari di Malaysia

Salah satu daripada tujuh flagship dalam Projek Koridor Raya Multimedia (Multimedia Super Corridor) ialah penubuhan Sekolah Bestari di Malaysia. Pada bulan Julai 1997, Tun Dr Mahathir Mohamad, Perdana Menteri ketika itu telah melancarkan dokumen flagship Sekolah Bestari di Malaysia disamping dokumen berkaitan flagship- flagship lain. Syarikat Swasta dari dalam atau luar negara dijemput untuk mengemukakan kertas cadangan bagi menjayakan flagship- flagship ini.Sekolah Bestari Malaysia merupakan satu institusi pendidikan yang telah direkabentuk semula secara menyeluruh dari segi pengajaran –pembelajaran dan pengurusan sekolah dengan matlamat membantu pelajar menghadapi cabaran Zaman Maklumat.

Tumpuan utama dalam projek Sekolah Bestari ini ialah pelaksanaan proses pengajaran-pembelajarannya. Ini ada kaitannya dengan kurikulum, pedagogi, pentaksiran, dan juga bahan-bahan P&P. Kesemua elemen ini dititikberatkan supaya pelajar dapat belajar dengan lebih berkesan dan cekap. Kaedah pembelajaran Sekolah Bestari menggalakkan pelajar mengamalkan pembelajaran akses kendiri , terarah kendiri dan mengikut kadar pembelajaran sendiri. Selain itu, Sekolah Bestari juga memberi tumpuan kepada aplikasi dalam proses pengajaran dan pembelajaran matematik. Pakej courseware yang lengkap mengikut sukatan matematik bagi Sekolah Bestari di peringkat rendah dan menengah telah disiapkan dan sedia digunakan. Projek rintis Sekolah Bestari di Malaysia bermula dalam tahun 1998. Dua buah sekolah rendah dan dua buah sekolah menengah telah dipilih dalam projek ini manakala pelaksanaannya hanya bagi empat subjek utama iaitu Bahasa Melayu, Bahasa Inggeris, Matematik dan Sains. Projek rintis ini berakhir pada bulan Disember 2002. Bahagian Teknologi Pendidikan, Kementerian Pelajaran Malaysia dipertanggungjawabkan untuk memantau penggunaan courseware ini di semua Sekolah Bestari.

Pengubahsuaian dan perubahan yang berlaku dalam perkembangan kurikulum pendidikan matematik bukan hanya bertujuan untuk menambahbaik dan menyelesaikan kelemahan yang terdapat dalam kurikulum terdahulu malahan merupakan tuntutan untuk merealisasikan objektif dan aspirasi seperti yang digariskan dalam Falsafah Pendidikan Kebangsaan dan Visi 2020.

Pada bulan Januari 2003, Program Pengajaran dan Pembelajaran Sains dan Matematik dalam Bahasa Inggeris (PPSMI) telah mula dilaksanakan untuk pelajar Tingakatan 1, 4 dan 6 rendah. Dengan penguasaan Bahasa Inggeris yang baik, perubahan ini bertujuan supaya pelajar dapat mengakses maklumat untuk tujuan pembelajaran dengan mudah, seiring dengan perkembangan teknologi maklumat.

No comments:

Post a Comment