Pendidikan
matematik adalah pendidikan yang memberi penekanan kepada perkembangan pelajar
secara menyeluruh termasuk perkembangan kognitif, sikap, psikomotor dan
penerapan nilai-nilai murni untuk menjadikan rakyat berguna selaras dengan
Falsafah Pendidikan Kebangsaan. Matlamat pendidikan matematik pula adalah untuk
membentuk individu yang berfikiran matematik, berketrampilan mengaplikasikan
pengetahuan matematik dengan berkesan, bertanggungjawab dalam menyelesaikan
masalah dan membuat keputusan, berupaya menangani cabaran dalam kehidupan
harian hasil perkembangan sains dan teknologi. Seperti yang kita ketahui,
matematik berkait rapat dengan kehidupan seharian manusia yang mana penggunaan
matematik telah meliputi pelbagai jenis aktiviti. Kemajuan negara bergantung
kepada kemajuan sains dan teknologi, perkembangan perdagangan dan ekonomi yang
berkait rapat dengan penggunaan matematik. (Mok Soon Sang, 1996). Justeru itu
adalah penting sekiranya setiap pelajar diberikan peluang untuk menikmati
pendidikan matematik yang bukan sahaja luas tetapi juga adil, saksama serta
bermutu. Akses dan ekuiti dalam pendidikan matematik didefinisikan sebagai hak
semua individu mendapatkan pengetahuan matematik dengan sempurna dan mendapat
peluang seluasnya bagi mencapai tahap tertinggi dalam pengetahuan matematik
melalui pendidikan sama rata.
Dalam proses pengajaran dan
pembelajaran (P&P) matematik, dua elemen penting yang terlibat adalah guru
dan juga pelajar. Proses pengajaran dan pembelajaran matematik seharusnya
melibatkan secara aktif antara guru dan pelajar supaya penyampaian guru dan
penerimaan pelajar terhadap perkara yang dipelajari berjaya tanpa berlaku
sebarang halangan. Namun begitu, sehingga kini ialah masih terdapat pelbagai
isu yang timbul berkaitan dengan akses dan ekuiti dalam pendidikan yang membawa
kepada halangan atau cabaran dalam pendidikan matematik di institusi-institusi
pengajian di Malaysia. Keadaan ini dinyatakan oleh Noraini Idris, (2005) dalam
buku beliau, dalam proses P&P matematik, terdapat kekuatan dan kekurangan
serta halangan dalam proses pengajaran. Pelan Pembangunan Pendidikan Malaysia
2013-2025 dihasilkan berhasrat untuk mencapai lima keberhasilan bagi sistem
pendidikan Malaysia secara keseluruhan, iaitu akses, kualiti, ekuiti,
perpaduan, dan kecekapan. Keberhasilan yang ditetapkan ini adalah selari dengan
aspirasi yang turut disuarakan oleh peserta semasa Dialog Nasional dan
setanding juga dengan keberhasilan yang ditetapkan oleh sistem pendidikan
berprestasi tinggi yang lain.
ISU-ISU
BERKAITAN PERGURUAN
1.1
PENEMPATAN GURU
Mengikut statistik Kementerian
Pelajaran pada April 2010 mendapati bilangan guru lelaki berkhidmat di sekolah
kini ialah 126,580 manakala guru wanita 279,650 orang.(Rifaat, 2010). Salah
satu isu hangat yang diperbincangkan adalah Kementerian Pelajaran Malaysia
(KPM) menghadapai masalah untuk menempatkan guru perempuan di sekolah luar
bandar khususnya di pedalaman dan pulau. Tambahan pula penempatan guru menjadi
lebih sukar apabila terdapat rungutan dari guru-guru yang ditawarkan ke kawasan
luar bandar. Kebanyakan mereka sukar menerima tawaran tersebut kerana faktor
kedudukan sekolah yang jauh dan kemudahan yang terhad, malah ada yang sanggup
memilih untuk menganggur daripada dihantar bertugas di bahagian pedalaman. Hal ini menyebabkan timbul
permasalahan dalam ketidaksepadanan pengagihan guru mengikut opsyen sebenar.
Guru yang mengajar tidak mengikut opsyen menyebabkan akses dan ekuiti dalam
pendidikan menjadi tidak berjaya. Tambahan pula jika melibatkan subjek-subjek
kritikal seperti Matematik, Sains dan Bahasa Inggeris. Guru bukan opsyen
mempunyai pengetahuan yang agak terbatas dan tidak mampu menyampaikan ilmu
tersebut secara menyeluruh. Akibatnya, murid merasa kurang berkeyakinan
terhadap guru tersebut dan seterusnya menghilangkan minat pelajar untuk
mempelajari subjek yang diajar oleh guru berkenaan.
1.2
TUNTUTAN TEMPAT KERJA
Laporan Nilai Prestasi Tahunan
(LNPT) diwujudkan bagi menentukan kecemerlangan dan kenaikan pangkat penjawat
awam. Markah LNPT tersebut akan dinilai oleh Ketua jabatan masing-masing. Namun
begitu, salah satu isu yang hangat diperbincangkan ialah apabila Ketua Jabatan
menetapkan markah LNPT bergantung dengan keputusan pembelajaran pelajar.
Apabila guru terikat dengan situasi tersebut, ada kemungkinan timbul
pemasalahan di mana guru hanya memfokuskan pembelajaran ke atas tajuk-tajuk di
dalam subjek matematik yang akan diuji dalam peperiksaan sahaja. Tambahan pula,
soalan yang ditanya lebih menjurus persoalan teori berbanding persoalan
kemahiran. Selaras dengan status dan pentingnya mata
pelajaran matematik, pihak Kementerian Pelajaran Malaysia telah berusaha
mempertingkatkan bilangan pelajar dalam aliran sains dan bukan sains kepada
nisbah 60:40 dengan harapan mampu mencapai sebuah negara maju seperti yang
tercatat dalam Wawasan 2020. Namun begitu, hasrat kerajaan ini tidak akan
tercapai jika gaya pengajaran guru hanya memfokuskan pembelajaran matematik
berdasarkan penguasaan konsep atau memfokuskan pembelajaran sekadar untuk
menjawab soalan peperiksaan. Ini adalah kerana gaya pengajaran seperti ini
tidak akan dapat membantu pelajar untuk mengaplikasikan pengetahuan matematik
mereka kelak.
1.3
KEMAHIRAN KOMUNIKASI
Pengajaran yang berkesan
memerlukan komunikasi yang bersesuaian bagi membolehkan proses pengajaran dan
pembelajaran berjaya. Penggunaan bahasa yang sesuai di dalam kelas mampu
mempertingkatkan kefahaman pelajar dengan lebih baik. Adalah menjadi perkara
utama bagi setiap guru perlu mengenal pasti terlebih dahulu latar belakang
pelajar agar pemilihan bahasa yang bakal digunakan dalam kelas dapat difahami
oleh semua pelajar. Sebagai contoh, penggunaan Bahasa
Inggeris sebagai medium penyampaian pengajaran matematik adalah kurang sesuai
jika pelajar di dalam kelas majoriti lemah dalam penguasaan Bahasa Inggeris.
Ini kerana dikhuatiri konsep di dalam ilmu matematik yang ingin disampaikan
tidak sampai kepada pelajar. Maka sudah pasti berlaku kegagalan akses dan
ekuiti dalam pendidikan matematik. Menurut Ketua Pengarah Pertubuhan
Pendidikan, Saintifik, Kebudayaan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNESCO), Irina Bokova,
secara prinsipnya UNESCO menggalakkan pihak sekolah mengajar dalam bahasa
ibunda terutama bagi murid di peringkat sekolah rendah. Masalah lain yang turut
menyumbang kepada kemerosotan prestasi murid ialah kelemahan dalam kalangan
guru sendiri yang tidak mampu menyampaikan ilmu itu dalam bahasa Inggeris
dengan baik.
1.4
INTERAKSI SOSIAL
Pendidikan adalah lebih sinonim
dengan suatu proses pengajaran dan pembelajaran yang melibatkan perhubungan
atau komunikasi dan interaksi di antara guru dan murid-muridnya. Di dalam
kelas, guru merupakan medium utama dalam mendidik pelajar untuk berjaya. Guru
sering dianggap model kepada pelajar. Namun begitu, apabila guru menunjukkan sikap
negatif pada murid maka kepercayaan pelajar kepada guru akan menurun. Sebagai
contoh, penggunaan bahasa yang kasar dan kesat di dalam kelas hanya membuatkan
pelajar berasa tidak selesa di dalam kelas sekaligus mengakibatkan pelajar
hilang motivasi untuk menuntut ilmu. Selain itu, sikap guru yang garang serta
suka menghukum juga boleh membantutkan minat pelajar untuk belajar apatah lagi
untuk berinteraksi dengan guru bagi bertanyakan soalan yang kurang faham.
Secara tidak langsung, situasi tersebut boleh menimbulkan masalah kebimbangan
dikalangan pelajar untuk mempelajari matematik. Tambahan pula, mata pelajaran
matematik sering dianggap mata pelajaran yang membosankan dan kurang digemari
dikalangan pelajar. Sehubungan itu, akan mengakibatkan kegagalan akses dan
ekuiti dalam pendidikan khususnya pendidikan matematik. Guru perlu sentiasa
bersikap positif kepada pelajar-pelajar, dengan menggunakan
percakapan-percakapan yang baik, budi pekerti yang halus dan lemah lembut,
sehinnga terbukalah hati para pelajar untuk menerima ilmu guru dengan baik.
ISU-ISU
BERKAITAN PELAJAR
2.1
PELAJAR KURANG UPAYA
Salah satu jenis masalah
pembelajaran pelajar matematik ialah mempunyai masalah Diskalkulia.
Pelajar-pelajar yang mempunyai masalah ini sukar untuk memahami konsep nombor
walaupun yang mudah, selain itu mereka juga sukar untuk mengingati simbol
matematik seperti tambah, darab, tolak dan bahagi. Pelajar Diskalkulia juga
tidak dapat membezakan nilai besar dan nilai kecil. Kebolehcapaian
pelajar-pelajar Diskalkulia ini terhadap subjek matematik akan terus
berkurangan kerana guru-guru tidak mengasingkan pelajar-pelajar ini daripada
pelajar normal kerana guru-guru beranggapan pelajar-pelajar ini juga normal
kerana mereka boleh mempelajari subjek vokasional dengan baik. Kos yang tinggi
juga diperlukan untuk proses pengajaran dan pembelajaran (P&P) pelajar
kurang upaya (OKU). Pemerhatian daripada pakar kepada pelajar OKU sangat
kurang, walaupun secara realitinya pelajar-pelajar OKU ini lebih memerlukan
pakar-pakar untuk memastikan mereka tidak terus ketinggalan dalam menguasai
mata pelajaran matematik.
2.2
PENGHAFALAN SEBELUM KEFAHAMAN
Pelajar masa kini lebih senang
menghafal jalan kerja tanpa memahami konsep terlebih dahulu. Oleh itu mereka
tidak akan dapat menguasai keseluruhan topik, mereka juga akan mempunyai
masalah jika diberikan soalan aplikasi, selain itu mereka tidak akan dapat
menerangkan mengapa mereka menggunakan sesuatu langkah jalan kerja untuk
menyelesaikan sesuatu soalan itu. Apabila pelajar-pelajar ini menghafal, mereka
tidak akan dapat memberi anggaran untuk menyemak jawapan. Dapat dikatakan
bahawa pelajar yang menghafal akan mempunyai kebolehcapaian yang terhad
terhadap mata pelajaran matematik.
2.3
PELAJAR BERPENCAPAIAN RENDAH
Guru-guru yang sibuk mengejar
silibus secara realitinya akan meninggalkan pelajar yang lemah terus
dibelakang. Pelajar-pelajar yang lemah ini dapat dikenalpasti melalui rekod
prestasi mereka, pemerhatian guru ataupun melalui ujian. Pelajar lemah atau
yang berpencapaian rendah ini menghadapi kesukaran untuk memberi perhatian
kepada langkah yang terlibat dalam penyelesaian masalah. Mereka dapat
menyelesaikan soalan yang melibatkan satu langkah tetapi tidak dapat
menyelesaikan soalan yang melibatkan banyak langkah penyelesaian. Pelajar
berpencapaian rendah juga mempunyai masalah untuk mengingati langkah
penyelesaian dan mempunyai masalah keupayaan visual-ruang, iaitu lemah untuk sistem
garis lurus, garis nombor, menentukan arah dan mengagak jarak. Pelajar
berpencapaian rendah akan menerima pendekatan P&P yang sama dengan pelajar
normal lain. Oleh sebab itu, mereka akan terus lemah dalam matematik dan yang
paling penting mereka juga akan lemah dalam kemahiran asas seperti pecahan dan
peratus yang penting untuk meneruskan pengajian ke peringkat tinggi dan untuk
kegunaan seharian.
2.4
KECERDASAN LOGIK-MATEMATIK
Pelajar yang tidak mempunyai
kecerdasan logik-matematik ataupun lebih dikenali sebagai pelajar otak kanan
lebih cenderung untuk subjek-subjek seni seperti muzik dan lukisan. Melalui
teori otak Triune, setiap individu akan lebih cenderung untuk menggunakan salah
satu belahan otak yang dominan dan sebelah otak lagi akan berada dalam keadaan
tenang. Oleh itu pelajar otak kanan akan menganggap matematik sebagai satu mata
pelajaran yang mana para pelajar perlu mengikuti peraturan yang diajar oleh
guru walaupun mereka tidak memahami peraturan tersebut (Noraini Idris, 2005).
Seterusnya pelajar-pelajar ini hanya akan menggunakan strategi yang diajar oleh
guru sahaja tanpa memikirkan kaedah lain. Kesannya mereka tidak akan
berkeupayaan tinggi dan cemas apabila berhadapan dengan soalan aplikasi. Oleh
itu, pelajar otak kanan ini perlu diberi lebih bimbingan untuk memastikan
kebolehcapaian mereka terhadap subjek matematik meningkat.
2.5
LATAR BELAKANG KELUARGA
Pelajar yang mempunyai ibu bapa
yang tidak berpelajaran selalunya akan kurang kebolehcapaian mereka terhadap
matematik. Ini kerana ibu bapa mereka tidak dapat membantu mengajar mereka
dirumah. Pelajar juga tidak akan bermotivasi untuk belajar hingga cemerlang
kerana persekitaranya hanya dikelilingi orang tidak berpelajaran tinggi.
Pendapatan keluarga yang kurang juga akan menghalang kebolehcapaian pelajar
terhadap mempelajari matematik. Pelajar yang tidak mampu untuk kesekolah akan
terus tidak mempelajari matematik. Ada juga pelajar-pelajar ini ke sekolah,
tetapi mereka tidak mampu untuk mengikuti kelas tambahan ataupun membeli buku
rujukan. Oleh itu kebolehcapaian mereka terhadap mata pelajaran matematik tidak
akan sama dengan pelajar yang lahir dari keluarga berpendapatan tinggi.
Pembelajaran pelajar juga dipengaruhi oleh pendidikan keluarga. Sebagai contoh
pelajar yang lahir dari keluarga seni akan lebih cenderung untuk mempelajari
dengan mendalam mata pelajaran yang berkaitan seni. Pelajar ini akan kurang
untuk dibimbing mempelajari mata pelajaran yang sedikit jauh dari bidang mereka
seperti matematik.
CADANGAN
TERHADAP ISU-ISU
Penerapan nilai dalam pengajaran
dan pembelajaran dalam pendidikan Matematik perlu diterap secara tersurat atau
tersirat di dalam bilik darjah supaya kebolehcapaian pengetahuan Matematik
dapat diterima sepenuhnya oleh pelajar. Amalan guru dalam pengajaran bilik
darjah, sama ada melalui tutur kata ataupun tindakan, menggambarkan nilai yang
terterap dalam pengajaran bilik darjah. Sekiranya nilai pengajaran Matematik
diterapkan di dalam bilik darjah berkemungkinan besar pelajar boleh mendapatkan
pengetahuan Matematik dengan sempurna dan mendapat peluang seluasnya bagi
mencapai tahap tertinggi dalam pengetahuan Matematik. Sebagai guru, khususnya
guru subjek Matematik haruslah mempunyai pendekatan pengajaran yang menarik
minat para pelajar untuk mempelajari Matematik.
Hukuman sekiranya digantikan dengan
penghargaan atau kata-kata nasihat yang berguna adalah lebih bermakna kepada
pelajar bagi meningkatkan motivasi pelajar sendiri untuk mempelajari Matematik.
Aspek kesedaran dan kesediaan guru sendiri yang tidak kurang pentingnya bagi
mencapai matlamat pengajaran yang berkesan. Guru perlu benar-benar mengenali
serta faham akan masalah setiap orang murid secara individu, menguasai
kurikulum serta kaedah dan teknik pengajaran, guru sentiasa bermuhasabah untuk
menilai pengajaran sendiri secara ikhlas setiap masa dan sentiasa meluaskan
pengetahuan dan kemahiran melalui pembacaan, peningkatan taraf akademik dan
professional dengan melanjutkan pelajaran, mengikuti kursus, seminar, bengkel
dan seumpamanya.
Vaughn et al. (2003) menyarankan
guru seharusnya memberikan hak kesamaan kepada pelajar berpencapaian rendah di
dalam pengajarannya, antara cadangan dalam memberikan hak kesamaan kepada
pelajar pencapaian rendah di dalam kelas yang pelbagai pencapaian adalah
memanggil pelajar yang berpencapaian rendah sekerap mungkin seperti mana guru
memanggil pelajar yang lain, elakkan daripada sering menyuruh pelajar
berpencapaian tinggi membetulkan kesalahan pelajar berpencapaian rendah dan
guru perlu elakkan daripada membezakan kurikulum, bahan dan kaedah pengajaran,
bagi mengelakkan tanggapan masyarakat bahawa mereka adalah pelajar berpencapaian
rendah. Memberi hak kesamaan kepada pelajar yang berpencapaian rendah ini boleh
memberikan diri mereka rasa dihargai dan memotivasikan mereka supaya lebih
berusaha untuk berjaya khususnya dalam subjek Matematik. Seorang guru perlu kreatif agar menjadikan
pengajaran lebih menarik dan berkesan. Kemahiran juga amat diperlukan dalam
proses pengajaran selain penguasaan ilmu pengetahuan. Fokus perlu diberikan
sepenuhnya terhadap proses pengajaran serta faktor-faktor yang dapat
mempertingkat dan memperkembang ke arah mewujudkan amalan pengajaran guru yang
berkesan.
Penekanan peperiksaan awam yang
berasaskan kandungan diubah kepada peperiksaan yang lebih berasaskan kemahiran
atau daripada bersifat ujian pencapaian kepada ujian kebolehan am. Dengan
penghasilan sistem penilaian ini, maka para guru Matematik seharusnya tidak
terlalu terikat dengan sistem penilaian yang hanya berorientasikan peperiksaan
yang mengakibatkan para pelajar dididik untuk mempelajari subjek Matematik
hanya untuk berjaya di dalam peperiksaan dan tidak dapat mengaplikasikannya
dalam kehidupan seharian. Oleh itu, kajian sistem penilaian seharusnya sentiasa
diperhalusi lagi supaya kemantapannya lebih analitik mengikut peredaran zaman.
Pelaksanaan Memartabatkan Bahasa
Malaysia dan Memperkukuhkan penguasaan Bahasa Inggeris (MBMMBI) mula
dilaksanakan pada tahun 2012. Secara rasionalnya, penggunaan bahasa Inggeris
sebagai bahasa pengantar Sains dan Matematik di sekolah rendah dan menengah
menghakis kepentingan bahasa Malaysia sebagai bahasa ilmu dalam bidang
tersebut. Kebanyakan negara di dunia berusaha keras untuk memartabatkan bahasa
kebangsaan mereka masing-masing sebagai bahasa ilmu jadi negara Malaysia juga
perlu mencontohi negara-negara lain yang menggunakan bahasa ibunda mereka
sebagai bahasa pengantar terutamanya dalam subjek Matematik supaya pengetahuan
ilmu Matematik yang disampaikan oleh pengajar itu dapat diterima dan difahami
pelajar dengan sebaiknya.
Sebagai pelajar seharusnya mereka
belajar bukan hanya untuk berjaya di dalam peperiksaan, malah mereka perlu
belajar bagaimana untuk mengaplikasikan konsep di dalam kehidupan seharian
contohnya dalam pelajaran Matematik khususnya, pelajar harus tahu cara yang
terbaik untuk menggunapakai konsep Matematik yang dipelajari untuk kemudahan di
dalam kehidupannya. Gaya pembelajaran yang diamalkan oleh setiap individu
adalah berbeza di antara satu sama lain. Di samping itu, pelajar juga
menyatakan mereka memerlukan dorongan dan memberi tumpuan yang lebih pada
mempelajari perkara baru atau tugasan yang dinilai. Oleh itu, untuk
keberkesanan pembelajaran adalah dicadangkan para pengajar khususnya subjek
Matematik perlu memberi tumpuan kepada unsur emosi pelajar.
KESIMPULAN
Pendidikan berkait rapat dengan
kehidupan kerana pendidikan memainkan peranan yang penting dalam menentukan
kehidupan manusia sama ada masa kini atau masa depan. Pendidikan yang diberikan
seharusnya memberi tumpuan kepada aspek akses dan ekuiti yang bermaksud peluang
pendidikan sama rata kepada semua dan juga pendidikan berkualiti yang
sepatutnya diterima oleh semua. Dalam konteks pendidikan matematik, guru
matematik dan pelajar khususnya perlu memainkan peranan masing-masing bagi
mencapai akses dan ekuiti pendidikan matematik. Disamping itu, pihak-pihak lain
seperti Kementerian Pelajaran Malaysia, pentadbir sekolah dan juga ibu bapa
perlu bersama-sama menunjukkan sikap yang positif terhadap pendidikan matematik
agar pendidikan yang diberikan dapat melahirkan individu yang cemerlang dan
berdaya saing yang mampu merealisasikan hasrat negara untuk menjadi sebuah
negara maju dalam semua dimensi khususnya ekonomi.
RUJUKAN
Kementerian Pelajaran Malaysia
(2012). Laporan Awal Pelan Pembangunan Pendidikan Malaysia 2013-2025.
Mohd Rifaat Abd Hamid. Harian
Metro . (30/08/2010)Lambakan Guru Wanita – Di mana guru lelaki?
Mok Soon Sang (1996). Siri
Pendidikan Perguruan Pengajian Matematik Untuk Diploma Perguruan . Selangor:
Kumpulan Budiman Sdn Bhd.
Noraini Idris. (2005). Pedagogi
Dalam Pendidikan Matematik. Kuala Lumpur: Utusan Publications &
Distributors Sdn. Bhd.
Vaughn, S. B. (2003). Teaching
Exceptional, Diverse, And At-Risks Students In The General Education Classroom
(3rd Ed). Boston: Allyn And Bacon.
No comments:
Post a Comment