Saturday, 14 November 2015

ISU 4: PANDANGAN DAN CADANGAN BAGI ISU BAHASA DALAM PENGAJARAN DAN PEMBELAJARAN MATEMATIK

PANDANGAN DAN CADANGAN OLEH:

NAMA : FATHIAH BINTI ABDUL RASHID
NO.MATRIK : M20151000754

1) MASALAH PEMBELAJARAN MATEMATIK DALAM BAHASA INGGERIS DI KALANGAN PELAJAR LUAR BANDAR

- Kesukaran pelajar dalam menguasai Matematik telah menyebabkan mata pelajaran ini seringkali menimbulkan kebimbangan bukan sahaja kepada pelajar bahkan guru-guru dan ibu bapa. Kebimbangan ini menjadi semakin serius apabila mata pelajaran tersebut diajarkan dalam Bahasa Inggeris. Malah kebanyakan guru dan pelajar Melayu, terutama di sekolah luar bandar tidak bersemangat dan malas untuk mengajar dan belajar mata pelajaran terbabit dalam bahasa Inggeris. Kegagalan yang berlaku bukan disebabkan mereka tidak mempunyai kebolehan untuk belajar Sains dan Matematik dalam bahasa mereka, tetapi kerana mereka gagal dalam bahasa Inggeris dan kelemahan kaedah pengajaran. Sebahagian besar pelajar gagal menguasai bahasa Inggeris dengan baik, khususnya pelajar-pelajar melayu luar bandar. Antara faktor-faktor tersebut ialah faktor bahasa penghantar, pengajaran guru dalam Bahasa Inggeris, tahap penguasaan Bahasa Inggeris pelajar dan persekitaran pengajaran dan pembelajaran. Masalah-masalah yang dihadapi oleh para pelajar adalah masalah dengan sebutan dan pemahaman istilah Matematik dalam bahasa Inggeris serta masalah dalam menstrukturkan ayat. Ini menyebabkan pelajar jarang bertanya soalan kerana kesukaran untuk berkomunikasi dalam bahasa Inggeris. Bagi murid luar bandar, mereka menggunakan dialek seharian yang jauh bezanya dengan bahasa Inggeris. Pendedahan terhadap bahasa Inggeris amat kurang dan penggunaannya hanyalah terbatas untuk digunakan di sekolah sahaja. Di dalam kelas Matematik, penggunaan bahasa Inggeris telah digunakan secara meluas namun demikian, masih ramai lagi murid yang lemah di dalam bahasa Inggeris dan tidak dapat menggunakan bahasa Inggeris lagi. Hanya sebahagian kecil sahaja yang mahir berkemungkinan daripada kedudukan rumah yang berdekatan dengan bandar dan terdapat kemudahan-kemudahan lain yang membantu memahirkan bahasa Inggeris di rumah seperti internet, televisyen, surat khabar bahasa Inggeris, pusat tuisyen dan sebagainya.

2) SEJAUHMANAKAH PELAKSANAAN MBMMBI DI SEKOLAH JENIS KEBANGSAAN

- Dasar bahasa Melayu melalui sistem pendidikan jelas terlihat dalam pelaksanaan dasar bahasa di sekolah, maktab dan universiti. Cabaran besar bahasa Melayu pada hari ini ialah kemampuan untuk memupuk perpaduan antara pelajar pelbagai kaum. Bagi mencapai matlamat mewujudkan perpaduan antara kaum, Oleh itu, kita perlu akur dengan kewujudan sekolah jenis kebangsaan (SJK) yang telah sekian lama mewarnai sistem pendidikan negara. Isu kegagalan pelajar lepasan sekolah aliran ini menguasai bahasa kebangsaan yang dibangkitkan. Persoalannya, sejauh manakah pengajaran dan pembelajaran mata pelajaran Bahasa Melayu di SJK diambil perhatian selama ini oleh masyarakat? Bukankah tidak adil jika murid di SJK, baik Melayu atau bukan Melayu dibiarkan terkapai-kapai tanpa sebarang bantuan dalam persekitaran yang kurang kondusif untuk mereka menguasai bahasa kebangsaan? Pihak kementerian telah pun mengambil pendekatan awal yang agak berani dengan mencadangkan peningkatan waktu pembelajaran mata pelajaran Bahasa Melayu di SJK ketika melancarkan Pelan Pembangunan Pendidikan Malaysia (PPPM) 2013-2025. Dalam keghairahan sesetengah pihak mengemukakan pelbagai inisiatif bagi meningkatkan penguasaan bahasa Inggeris dalam masyarakat, kita seharusnya sedar bahawa selama ini ada sesuatu yang kita terlepas pandang, iaitu daya usaha yang telah dilaksanakan selama ini untuk memperkasakan bahasa kebangsaan di SJK. Ingatlah bahawa dasar Memartabatkan Bahasa Melayu dan Memperkukuh Bahasa Inggeris (MBMMBI) akan tempang seandainya tindakan yang signifikan tidak direncanakan bagi mengupayakan bahasa Melayu sebagai bahasa pengantar utama dalam sistem pendidikan negara, seterusnya bahasa yang mampu mengungkapkan pelbagai ranah disiplin ilmu. Semoga kedatangan Tahun Baharu 2015 akan memberikan sinar yang meyakinkan kepada sistem pendidikan negara demi manfaat anak bangsa.

3) PENCEMARAN BAHASA SEMAKIN MEMBIMBANGKAN

- Masalah pencemaran bahasa semakin berleluasa dalam kalangan masyarakat pada masa ini. Keadaan ini menyukarkan hasrat kerajaan untuk memartabatkan bahasa Melayu. Satu langkah untuk membendung masalah pencemaran bahasa ialah peranan pihak sekolah. Di peringkatg sekolah, para pelajar sering didedahkan dengan pelbagai kesalahan bahasa oleh guru-guru. Apabila para pelajar melakukan kesalahan dalam berbahasa, guru hendaklah menegur dan membetulkan kesalahan mereka. Biarkan mereka belajar daripada kesalahan mereka sendiri agar kesalahan tersebut tidak akan diulang lagi, Selain itu, pihak sekolah juga perlu menganjurkan aktiviti-aktiviti yang berkaitan dengan bahasa. Di samping itu, peranan ibu bapa juga penting dalam memperkasakan usaha mengatasi masalah pencemaran bahasa. Ibu bapa perlu membudayakan anak-anak mereka dengan budaya membaca sejak mereka kecil lagi. Hal ini akan mempengaruhi minat dan cara anak-anak menulis ayat dan bercakap.

4) SETIAP DASAR PENDIDIKAN YANG DIUBAH ADALAH UNTUK PENAMBAIKAN SISTEM PELAJARAN

- Pada zaman ini Sistem Pendidikan Kebangsaan diperkemas sejajar dengan perkembangan dunia teknologi maklumat. Dengan mengambil kira pelbagai perubahan dan cabaran alaf ke-21, setiap dasar yang dibuat atau diubah adalah untuk penambahbaikan dan pemantapan sistem pendidikan negara kita. Sebagai contoh Dasar PPSMI diambil kerana kerajaan menyedari bahawa penguasaan ilmu Sains dan Matematik serta bahasa Inggeris bertambah penting dalam era globalisasi dan teknologi maklumat. Penggunaan yang kerap di sekolah sudah pasti akan membantu pelajar terutamanya pelajar bumiputera memahirkan diri dalam penggunaan bahasa Inggeris. Cadangan penggunaan bahasa Inggeris bagi mata pelajaran Sains dan Matematik dibuat untuk membantu pelajar meningkatkan penguasaan bahasa itu di samping memantapkan kefahaman kedua-dua mata pelajaran tersebut. Ini adalah alasan yang baik untuk berubah. Ia perlu bagi menyediakan masyarakat Malaysia yang mampu menguasai bahasa Inggeris dan bersedia menghadapi era globalisasi dengan penuh keyakinan.

5) KEPENTINGAN PERANAN GURU DALAM PENGGUNAAN BAHASA SETIAP PELAJAR

- Guru merupakan aspek penting di dalam memastikan proses pengajaran dan pembelajaran supaya berjalan dengan lancar. Guru juga merupakan faktor utama menyumbang kepada kecemerlangan pelajar dalam akademik. Kecekapan dan keberkesanan seseorang guru memainkan peranan yang penting sebagai pembimbing atau model kerana ia akan mempengaruhi pelajar untuk menunjukkan sikap yang positif terhadap pencapaian akademik. Faktor pengajaran guru sangat memberikan kesan kepada corak pembelajaran dan penglibatan pelajar dalam Matematik. Di samping itu, daya tarikan sesuatu pelajaran amat bergantung kepada kemahiran mengajar dan pengajaran. Sesuatu pengajaran yang baik dan berkesan memerlukan guru yang pandai dan berkebolehan mempelbagaikan kaedah, teknik dan aktiviti yang dijalankan dalam pengajarannya.

No comments:

Post a Comment