Wednesday, 23 December 2015

ISU 6: ISU YANG BERKAITAN DENGAN STANDARD PENGAJARAN PROFESIONAL

EMPAT ISU YANG BERKAITAN DENGAN STANDARD PENGAJARAN PROFESIONAL

1.0 PENGENALAN

Menurut laman sesawang NSW Institute of Teachers (2005), definisi bagi Standard Pengajaran Profesional ialah satu rujukan utama bagi bidang tugas seorang guru di mana ia menerangkan tentang apa yang guru boleh lakukan serta menyediakan hala tuju dan struktur untuk menyokong penyediaan dan pembangunan guru. Di Malaysia, Standard Guru Malaysia (SGM) dijadikan sebagai panduan oleh para guru, agensi dan institusi latihan perguruan, pensyarah serta guru besar dan pengetua sekolah. SGM meliputi standard dan keperluan di mana kedua-dua aspek ini dilaksana berasaskan Misi Nasional, Falsafah Pendidikan Kebangsaan, Falsafah Pendidikan Guru, Tatasusila Profesion Keguruan dan Etika Kerja Kementerian Pelajaran Malaysia bagi melahirkan guru unggul yang dapat membentuk modal insan kelas pertama. SGM bertujuan menggariskan kompetensi professional yang patut dicapai oleh guru dan keperluan yang patut disediakan oleh agensi dan institusi latihan perguruan bagi mencapai tahap yang ditetapkan. Ia juga bertujuan untuk melestarikan guru berkualiti.

Walaupun dengan kewujudan SGM, masih terdapat isu-isu berkaitan Standard Pengajaran Profesional ini yang meniti di dada-dada akhbar malah dalam kalangan pendidik sendiri. Ternyata mengaplikasi SGM sahaja tidak cukup untuk menghasilkan guru yang berkualiti kerana pada diri pendidik itu sendiri masih terdapat perkara yang menghalang mereka untuk mencapai tahap profesional. Beberapa isu berkaitan dengan Standard Pengajaran Profesional yang akan dikupas ialah isu guru masih menggunakan kaedah tradisional, isu disiplin guru, isu guru tidak mahir dalam ICT, dan isu guru mengajar subjek bukan opsyen.

2.0 ISU-ISU MENGENAI STANDARD PENGAJARAN PROFESIONAL

2.1 ISU GURU MASIH MENGGUNAKAN KAEDAH TRADISIONAL

Setelah KBSM berusia lebih dari 10 tahun, didapati amalan guru dalam melaksanakan kurikulum tersebut, pada keseluruhannya adalah masih berpusatkan kepada guru dan terikat dengan kaedah tradisional (Abdul Razak & rakan-rakan 1996). Masalah keberkesanan pengajaran dan pembelajaran bukan sahaja dihadapi oleh pelajar di Malaysia tetapi ia juga adalah masalah sejagat. Walaupun pelbagai kaedah telah didedahkan namun terdapat sebilangan guru yang masih menggunakan kaedah tradisional seperti pengajaran yang berpusatkan guru dan bukannya berpusatkan pelajar. Kaedah pengajaran dan pembelajaran yang lebih berpusatkan guru dan bergantung seratus peratus kepada buku teks adalah antara faktor yang dikenal pasti menyebabkan pelajar cepat merasa bosan dan hilang minat. Sememangnya para guru dinasihatkan menggunakan buku teks tetapi guru juga seharusnya menambah isi pengajaran mereka dari sumber-sumber lain seperti internet, buku rujukan dan persekitaran.

Tambahan pula, ada juga buku teks yang tidak mempunyai ilustrasi menarik sekaligus membuatkan pelajar bosan. Kaedah "chalk and talk" adalah kaedah yang sangat popular di kalangan guru. Kaedah ini bukannya tidak bagus tetapi cikgu sepatutnya pandai mempelbagaikan kaedah pengajaran mereka agar tidak bosan. Para guru juga lebih menekankan pembelajaran yang boleh meningkatkan prestasi sekolah daripada menumpukan pembelajaran sepanjang hayat. Oleh itu kaedah chalk and talk digunakan kerana ia lebih menjimat masa dan peralatan bahan mengajar tidak diperlukan. Terdapat guru yang masih menggunakan pendekatan latih tubi tanpa memberi penerangan konsep yang mencukupi. Misalnya pengajaran dan pembelajaran sains banyak melibatkan kemahiran proses sains dan manipulatif yang memerlukan daya pemikiran dan kreativiti yang tinggi. (Mohamad Khatim, 2001). Pembelajaran memerlukan kefahaman konsep yang lebih tinggi. Tanpa kefahaman, pelajar hanya menghafal. Amalan menghafal ini masih mengikut dasar kurikulum lama (KLSM) yang menekan kaedah ini. Tanpa sedar, para guru menekankan teknik hafalan tanpa penerangan konsep yang betul dan tepat. Teknik ini bukan sahaja menghasilkan pelajar yang kuat menghafal tetapi membantutkan semangat inkuiri mereka. Aspek lain seperti pemahaman, amalan dan penghayatan kurang diberi perhatian sewajarnya.

2.1.1 Kesan

Penggunaan cara tradisional secara seratus peratus di dalam kelas membuatkan pelajar hilang tumpuan seterusnya membuatkan mereka bosan. Mungkin untuk lima belas minit pertama, mereka boleh fokus. Bagi pelajar yang menggunakan imaginasi mereka untuk memahami sesuatu konsep, penggunaan buku teks secara sepenuhnya membantutkan semangat inkuiri mereka. 

Pendekatan hafalan pula yang mana melibatkan pelbagai petua dan cara ringkas telah menyebabkan proses pengajaran dan pembelajaran menjadi tidak bermakna (Ibrahim, 1994). Pelajar lebih banyak menghafal rumus yang sedia ada ataupun petua yang dicipta guru tanpa mengetahui konsep sebenar. Tanpa kita sedari, situasi sebegini akan membuatkan pelajar hanya menghafal kandungan pelajaran sebelum masuk ke dewan peperiksaan. Jadi, gagal sudah peranan guru untuk menjadikan proses pengajaran dan pembelajaran yang berpusatkan pelajar malah situasi ini telah menghasilkan pelajar yang exam-oriented. Disebabkan semangat inkuiri pelajar tidak dicungkil dengan lebih mendalam, mereka tidak dapat berfikir secara kritis dan kreatif. Mereka hanya menerima apa sahaja yang diperkatakan guru tanpa ada keraguan.

2.1.2 Langkah Mengatasi

Terdapat banyak kajian yang menunjukkan bahawa kaedah pengajaran guru mempengaruhi pemahaman konsep dan keseronokan untuk belajar. Jadi, untuk mencapai matlamat Wawasan 2020, guru mestilah mempelbagaikan kaedah pengajaran dan pembelajaran. Mereka perlu meningkatkan ilmu pengetahuan seiring dengan perkembangan semasa. Untuk mengelakkan pelajar berasa bosan di dalam kelas, guru perlu mengaplikasikan pembelajaran secara kontekstual. Pembelajaran secara kontekstual ini adalah kaedah pembelajaran yang menggabungkan isi kandungan, pengetahuan sedia ada dan persekitaran. Dengan menggabungkan elemen-elemen tersebut, pelajar tidak akan bosan dan sekaligus guru telah menggalakkan pelajar berfikir dan dapat meningkatkan semangat inkuiri mereka. Brunner (1960), telah menekankan bahawa pembelajaran merupakan satu proses dimana pelajar membina idea baru atau konsep berasaskan kepada pengetahuan semasa mereka. Brooks & Brooks (1993) menyatakan bahawa pelajar membina makna tentang dunia dan mensintesiskan pengalaman baru kepada apa yang mereka fahami sebelum ini. Mereka membentuk peraturan melalui refleksi tentang interaksi mereka dengan objek dan idea. Sehubungan itu wajarlah pengajaran amali berasas inkuiri penemuan diketengahkan bagi meningkatkan pemahaman pelajar.

Seiring dengan zaman moden ini, proses pengajaran dan pembelajaran berpusatkan pelajar sangat bersifat praktikal. Pelbagai aktiviti boleh dijalankan di dalam kelas untuk mengelakkan pelajar hanya menghafal sebelum masuk ke dewan peperiksaan. Oleh itu, kita mampu melahirkan pelajar yang mampu menyelesaikan masalah harian yang melibatkan konsep atau kemahiran berkaitan mana-mana subjek.

2.2 ISU GURU YANG TIDAK MAHIR DAN TIDAK TERLATIH DALAM ICT

Penggunaan Teknologi Maklumat dan Komunikasi (TMK) telah menjadi lumrah di institusi pengajian tinggi. Perubahan yang pesat dalam teknologi moden telah menyebabkan riwayat kitaran produk dan riwayat kitaran ilmu menjadi semakin singkat (Syed Ismail dan Ahmad Subki, 2013). Pembelajaran elektronik ataupun e-learning membawa maksud yang pelbagai kepada individu yang berlainan. Ia boleh didefinisikan sebagai bahan pengajaran ataupun pengalaman pembelajaran yang disampaikan atau dikendalikan dengan teknologi elektronik (Comission on Technologi and Adult Learning, 2001). Sehingga tahun 2000, pembelajaran elektronik juga dikenali sebagai “ Web-based learning” ataupun “Internet-based learning”. 

Killion (1994)(dalam Syed Ismail dan Ahmad Subki, 2013), menjelaskan bahawa guru mestilah berpengetahuan serta berkemahiran dalam menggunakan ICT dan mengintegrasikannya di dalam pengajaran dan pembelajaran untuk diaplikasikan dalam bilik darjah. Namun begitu Cuban (1995) (dalam Syed Ismail dan Ahmad Subki, 2013), pula menjelaskan bahawa apa yang menjadikan masalah adalah kurang penggunaan ICT di sekolah ialah ketidaksediaan guru untuk menggunakan di dalam pengajaran mereka. Sesetengah guru lebih selesa menggunakan kaedah konvesional relevan dengan sistem peperiksaan. Dengan sikap sebegini adalah sukar bagi perubahan dilakukan dengan berkesan.

Kemahiran guru dalam bidang ICT dapat membantu pelajar-pelajar utuk menguasai kemahiran dan ilmu yag bersesuaian dengan minat. Namun dalam kajian Wan Ibrahin (2009) menunjukkan hamper tiga perempat iaitu 78.2% dari guru mengaku mereka masih belum cekap atau tidak tahu untuk melaksanakan PDP dengan menggunakan ICT. Selain itu, kajian Norida (2001) menyatakan bahawa 100 orang guru siswazah dan bukan siswazah mendapati bahawa 10% daripada guru-guru yang menghasilkan bahan pengajaran dalam bentuk multimedia.

Proses pengajaran dengan menggunakan ICT menuntut guru berkemahiran dalam mempersembahkan hasil kerja sekurang-kurangnya menggunakan powerpoint dengan memasukkan bahan-bahan yang diperlukan seperti rakaman suara, memasukkan video, grafik dan bunyi mengikut kreativiti guru itu sendiri. Hal kerana tidak semua bahan pengajaran tersedia untuk digunakan terus, maka dikehendaki menyediakan bahan pengajaran yang lebih menarik namun keinginan guru untuk menambahbaikan PDP hanya tinggal kemahuan sahaja keran guru-guru kekurangan kemahiran komputer dan pengetahuan menggunakan komputer dalam PDP. Selain itu, guru-guru hanya kerap menggunakan hanya satu program sahaja iaitu pemprosesan perkataan dan jarang menggunakan pangkalan data, persembahan multimedia, persembahan grafik, emel elektronik dan laman web dalam pengajaran.

2.3 ISU DISIPLIN GURU

Isu disiplin sering kita akan kaitkan dengan pelajar yang nakal, malah isu disiplin juga ada dalam kalangan guru. Mungkin ada yang merasakan bahawa isu ini bukanlah satu isu yang sangat besar kerana ianya sudah menjadi perkara biasa bagi sesetengah guru yang merasakan disiplin bukan penghalang mereka mencapai tahap professional. Namun, apabila kita fikirkan semula, disiplin inilah yang menjadi titik tolak perjalanan seorang guru tersebut. Sekiranya guru tersebut mempunyai masalah disiplin, maka tidak layaklah guru tersebut untuk menasihat pelajar. Pelajar akan melihat guru tersebut dengan pandangan negatif dengan sikap guru tersebut.

Masalah disiplin dalam kalangan guru biasanya berlaku adalah guru masuk lewat ke dalam kelas. Perkara ini tidak boleh dianggap remeh kerana ianya boleh mengganggu proses pengajaran dan pembelajaran. Selain itu, sesetengah guru yang tidak menjaga etika dan tidak mampu menjaga emosi yang boleh cenderung menjadi contoh yang tidak baik kepada pelajar. Guru juga perlu kawal emosi yang baik supaya tidak melepaskan kemarahan yang berpunca dari luar dan melepaskan kemarahan kepada pelajar terutamanya semasa pembelajaran dan pengajaran di jalankan.Tambahan pula, penampilan guru itu sendiri memberi impresi pertama kepada orang yang melihatnya.

Kesan daripada disiplin guru ini akan membawa kepada pelajar itu sendiri dimana pelajar akan mula rasa hilang hormat terhadap guru tersebut. Dengan itu, guru-guru akan mula mempersalahkan ibu bapa dengan sikap anak-anak mereka yang bersikap kurang ajar. Guru adalah menyuluh dalam kegelapan pelajar , maka guru perlulah perbaiki diri terlebih dahulu sekiranya mahu pelajar mereka menjadi baik.

Guru harus sedar tentang tugas dan amanah yang dipikul untuk mendidik generasi baru. Kemahiran dan pengetahuan dalam aspek pedidikan perlu dikemaskini. Guru adalah tangungjawab untuk melaksanakan sepenuhnya cabaran yang telah dibicangkan dalam Akta Pendidikan. Pelaksanaan akta ini adalah selaras dengan dasar KPM untuk menjadikan Malaysia sebagai pusat kecemerlangan akademik di rantau ini.

Sebagai kesimpulannya peningkatan martabat profesion keguruan yang sebagaimana yang dihasratkan oleh kerajaan dapat dilakukan dengan gandingan mantap daripada Kementerian Pelajaran Malaysia, institusi-institusi yang berkaitan serta individu yang terlibat dalam proses pendidikan.

2.4 ISU GURU YANG MENGAJAR SUBJEK YANG BUKAN OPSYEN ATAU LUAR BIDANG

Pendidikan di negara ini adalah satu usaha berterusan untuk melahirkan insan yang seimbang. Untuk mencapai matlamat ini, kerajaan merangka beberapa strategi. Ini termasuklah melahirkan graduan pendidikan di Institusi Pengajian Tinggi. Usaha ini bertujuan menyediakan guru yang berilmu dan berkualiti untuk melaksanakan kurikulum yang sudah digubal. Pengukuhan Falsafah Pendidikan Negara sebagai wadah yang mendasari proses pendidikan memerlukan reformasi yang berterusan. Melabur dalam aktiviti pendidikan bermakna kita melabur untuk pembangunan negara. Ini disebabkan pendidikan berfungsi melatih dan membentuk tenaga manusia yang mahir dan terlatih untuk menggerakkan pelbagai profesion dan sektor pekerjaan yang diperlukan negara. Perkembangan dalam bidang pendidikan telah menambah tekanan terhadap kemampuan Kementerian Pelajaran Malaysia dalam menyediakan bilangan guru yang mencukupi untuk sekolah-sekolah. Dijangkakan bilangan guru di sekolah menengah ialah seramai lebih kurang 90,000 orang. Berdasarkan unjuran pengeluaran guru sekolah menengah seperti yang sedang dirancangkan oleh Kementerian Pelajaran Malaysia, sekolah-sekolah menengah akan mengalami kekurangan guru dalam lingkungan 9900 orang pada tahun 1995 dan menjelang akhir tahun 2000, negara mengalami masalah kekurangan guru yang nyata (Omar, 2003). Berdasarkan pernyataan tersebut, terdapat kemungkinan besar jumlah ini akan meningkat berikutan perkembangan pesat dunia pendidikan seperti pembukaan sekolah-sekolah bestari, sekolah pedalaman untuk orang asli dan sebagainya. Perkembangan positif ini menuntut kepada tenaga kerja keguruan yang ramai dan berkesan.

Pengambilan guru interim oleh Jabatan Pelajaran Negeri (JPN) dibawah Kementerian Pelajaran Malaysia (KPM) tidak sepenuhnya mengikut opsyen pengkhususan graduan pendidikan, sebaliknya mengikut kekosongan guru yang ada. Menurut sumber, setakat ini beberapa negeri seperti Johor, Sabah, Selangor, Kedah dan beberapa negeri lain telah memulakan proses pengambilan guru interim (guru sementara). Namun, tidak semua mereka akan mengajar mengikut pengkhususan yang diambil semasa pengajian. Menurut beberapa graduan, wujud keadaan dimana graduan pendidikan ekonomi dan bukan bersekolah aliran agama diberi tugasan untuk mengajar Pendidikan Islam sewaktu melaporkan diri. Selain itu, sebahagian yang lain terpaksa mengajar subjek Bahasa Inggeris, MUET walau pun hanya mendapat Band 2 dalam MUET semasa pengajian di universiti. Manakala, sebahagian yang lain terpaksa mengajar subjek Sivik , Kemahiran Hidup dan beberapa subjek lain yang bukan pengkhususan mereka. Mereka menyifatkan, keadaan tersebut tidak sepatutnya berlaku, seorang guru yang tak mahir dalam bidang yang tak pernah dipelajari di universiti terpaksa mengajar subjek tersebut. Bagaimanakah mereka hendak mengajar? Ini juga menyebabkan penganaian kepada guru tersebut. Hal ini akan merugikan murid-murid disamping kualiti pendidikan yang diterima tidak berjaya memenuhi kehendak yang sepatutnya. Pihak Kementerian Pelajaran Malaysia (KPM) sewajarnya memikirkan insiatif segera dengan mempercepatkan penempatan graduan pendidikan mengikut opsyen masing-masing agar masa depan pendidikan pelajar disekolah tidak diperjudikan dengan mengambil guru yang bukan mengikut opsyen mereka.

Sehingga hari ini, isu ini masih tidak dapat diselesaikan dan menjadi satu masalah yang semakin menular di setiap sekolah di seluruh negara. Guru luar bidang bermaksud guru yang tidak mempunyai kelayakan sijil atau major dalam mata pelajaran yang diajar. Guru ini dikehendaki mengajar subjek bukan bidang setelah mendapat penempatan. Penempatan mereka mengikut kekosongan guru subjek yang terlibat. Bekas Menteri Pelajaran, Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein telah membuat kenyataan sebagai reaksi kepada rungutan bahawa berlaku masalah kekurangan guru di negara ini; di sebaliknya beliau melaporkan terdapat lebihan 6000 guru (Penempatan guru tidak seimbang, 2006). Beliau dilaporkan memberitahu bahawa lebihan itu berpunca daripada pengagihan penempatan guru yang tidak seimbang(mismatch): kawasan bandar mempunyai terlalu ramai guru sementara kawasan luar bandar tidak mempunyai guru yang mencukupi. Pelbagai kajian yang menunjukkan isu guru luar bidang ini mempengaruhi profesion perguruan. Guru luar bidang ini sama juga dengan guru bukan opsyen. Kenapa isu guru luar bidang ini timbul dan tiada jalan penyelesaian hingga kini. Terdapat juga masalah yang melanda di mana-mana sekolah satu daerah, di mana terdapat beberapa sekolah masih mengalami masalah kekurangan guru dan guru subjek tertentu, sehingga menyebabkan guru bukan opsyen diminta memikul tanggungjawab untuk mengajar mata pelajaran yang bukan pakar mereka. Hal ini akan memberikan kesan terhadap pelajar kerana guru tidak dapat mengajar dengan sebaiknya serta menyampaikan ilmu pengetahuan dengan sepenuhnya dan berkesan. Guru-guru ini terpaksa akur dengan arahan dan perintah pihak sekolah dan pentadbir untuk menggantikan tempat guru yang kekosongan tanpa memikirkan akibat pada masa hadapan. Satu situasi pasti akan berlaku, "pelajar dahagakan ilmu, guru terkejar-kejar mempelajari ilmu terbabit‟. Situasi lain juga turut dialami apabila seorang pelajar bertanya mengenai satu soalan, kemudian guru tidak tahu akan jawapannya. Oleh itu, guru akan menjawab “Kita simpan dulu, esok-esok kita bincang” atau pun “Soalan ini sudah berada di luar pengetahuan awak, tidak perlu tahu pun”. Terdapat juga situasi di mana guru bukan opsyen mengajar Bahasa Inggeris dan Matematik, guru tersebut tidak mengkaji tahap pencapaian para pelajar yang mana berkemungkinan terdapat pelajar yang bijak dalam subjek tersebut. Akhirnya guru yang akan belajar daripada pelajar tersebut. Keadaan ini bukan saja mengaibkan guru berkenaan, malah menjatuhkan kredibiliti guru untuk menjadi penyampai ilmu dan pelaksana kurikulum yang berkesan. Apakah IPT di negara ini gagal memenuhi keperluan guru di negara ini?. Pihak kerajaan perlu memainkan peranan penting dalam menggubal pelaksanaan kurikulum yang berkaitan kreadibiliti serta kualiti guru yang dapat meningkatkan taraf pendidikan di Malaysia. Sehingga hari ini guru-guru yang baru menamatkan pengajian tidak ditempatkan di atas landasan yang sebenar dan khidmat guru GSTT masih diperlukan. Mungkin masalah ini berpunca daripada pengurusan data di sekolah dan mungkin kurangnya pemantauan terhadap isu ini dari pihak yang dipertanggungjawabkan. Sekiranya hal ini tidak dipantau dan diselesaikan, ramai guru yang akur untuk mengajar subjek bukan opsyen, kerana mereka terikat dengan jolokan “Saya yang menurut perintah”. Walaubagaimanapun, guru tersebut boleh mengisi kekosongan dan keperluan mata pelajaran itu, tetapi mungkin gagal menyampaikan sesuatu ilmu itu dengan berkesan.

Terdapat kajian dari luar Negara dan juga di Malaysia mengenai isu guru luar bidang ini. Berdasarkan kajian di luar negara, menurut Ingersoll (20011) iaitu guru terutamanya yang mengajar di sekolah menengah hendaklah mempunyai latar belakang pendidikan dan latihan dalam mata pelajaran yang mereka ajar disekolah. Setiap guru perlu mengajar bidang yang mereka pakar untuk menyampaikan pengetahuan dalam bidang tersebut dengan sepenuhnya serta dapat mencapai matlamat dengan berkesan. Selain itu, terdapat juga kajian di Malaysia yang menyatakan Matematik adalah mata pelajaran teras dalam kurikulum sekolah menengah yang diajar oleh guru pelbagai bidang (Intensification of Research in Priority Areas , 2003-2005). Analisis data menunjukkan 41% (18 orang) daripada 42 orang guru mengajar mata pelajaran pengkhususan Matematik sementara yang selebihnya iaitu 59% (24 orang) bukan berpengkhususan Matematik. Menurut data ini juga menunjukkan hanya 27% (5 orang) daripada 17 orang guru yang didapati mengajar mata pelajaran ini mempunyai pengkhususan dalam bidang Sejarah; 73% (12 orang) lagi terdiri daripada guru yang pengkhususan pertama mereka merangkumi pelbagai bidang yang tidak berkaitan. Rajah 1 menunjukkan 10% (2 orang) daripada mereka terdiri daripada guru yang mempunyai pengkhususan dalam bidang Geografi, masing-masing 11% (2 orang) dalam bidang Ekonomi, Bimbingan dan Kaunseling, dan Sastera Melayu, manakala masing-masing seorang (6%) berlatarbelakangkan Perakaunan, Biologi, Bahasa Melayu, Sains Sukan dan Sains Politik. Hal ini, menunjukkan kadar ketidaksepadanan bidang yang tinggi dibimbangi akan mempengaruhi dan memberikan kesan secara langsung terhadap kualiti pengajaran dan pembelajaran di sekolah.

Kesannya kepada guru, guru tidak dapat mengajar dengan berkualiti dan berkesan. Disebabkan kandungan isi pelajaran yang tidak lengkap untuk mengajar subjek tersebut. Guru ini hanya pakar dalam bidang pengkhususannya sahaja. Semestinya apabila , guru tersebut dapat mengajar bidang pengkhususannya tiada lagi masalah guru menghadapi kesukaran untuk menyampaikan ilmu pengetahuan yang berguna dan berkualiti. Hal ini, menyebabkan guru merasa tertekan kernan mereka perlu belajr mengenai subjek yang bukan bidang mereka. Mereka menganggap ia satu bebanan tugas bukannya sebagai satu tanggunggjawab. Seterusnya, guru akan menjadi malas untuk belajar mengenai subjek bukan opsyen dan mengajar pelajar dengan pengetahuan yan sedia ada sahaja tanpa menjana idea pelajar. Justeru, ia membuktikan guru kurang berkeyakinan, kompetensi dan komited dalam pengajaran. Kesan kepada pelajar pula, pelajar merasa bosan dengan isi pengajaran guru. Guru tidak menggunakan kaedah pengajaran yang dapat menarik minat pelajar. Hal ini kerana, guru tidak yakin dengan pengajaran yang disampaikan. Manakala pelajar pula merasa tidak yakin dengan pengajaran yang disampaikan oleh guru tersebut. Seterusnya, ia akan melibatkan prestasi pelajar dalam subjek Matematik yang mengakibatkan keputusan peperiksaan subjek Matematik tidak memuaskan. Disebabkan itu, pelajar menganggap mata pelajaran Matematik susah disebabkan tidak boleh menguasai subjek Matematik dengan sepenuhnya. Perkara yang paling merugikan, pelajar akan hilang minat terhadap Matematik.

Langkah untuk mengatasi masalah ini, pihak kerajaan perlu mengkaji semula penempatan guru mengikut opsyen untuk mengelakkan lebihan guru di sesebuah sekolah. Sekiranya terdapat guru yang bukan opsyen, berikan keadilan dan keutamaan terhadap bidang pengkhususannya. Selain itu, untuk mengelakkan masalah graduan guru daripada Institut Pengajian Tinggi (IPT) mengalami masalah pengangguran, unjuran kekosongan penempatan guru perlu mendapat kerjasama antara Kementerian Pelajaran Malaysia (KPM) dengan IPT. Satu lagi usaha yang dilakukan kerajaan perlu dikaji semula umur persaraan bagi pegawai kerajaan untuk memberikan peluang kepada guru yang baru.

KESIMPULAN

Pendidikan adalah kunci utama “pengeluaran” atau “hasil” kehidupan. Pelaburan dalam pendidikan yang bermula daripada peringkat prasekolah hingga ke peringkat pendidikan tertinggi mampu memperbaiki dan meningkatkan kualiti hidup seseorang. Justeru itu, penyediaan individu sebagai tenaga kerja merupakan agenda utama pendidikan. Hal ini kerana, pendidikan boleh menjelaskan keupayaan seseorang individu dalam mengurus hidup yang berkualiti kerana faktor ekonomi dan sosial bergantung kepada pendidikan yang diterima. Standard Pengajaran Profesional ialah satu rujukan utama bagi bidang tugas seorang guru di mana ia menerangkan tentang apa yang guru boleh lakukan serta menyediakan hala tuju dan struktur untuk menyokong penyediaan dan pembangunan guru. Di Malaysia, Standard Guru Malaysia (SGM) dijadikan sebagai panduan oleh para guru, agensi dan institusi latihan perguruan, pensyarah serta guru besar dan pengetua sekolah. SGM meliputi standard dan keperluan di mana kedua-dua aspek ini dilaksana berasaskan Misi Nasional, Falsafah Pendidikan Kebangsaan, Falsafah Pendidikan Guru, Tatasusila Profesion Keguruan dan Etika Kerja Kementerian Pelajaran Malaysia bagi melahirkan guru unggul yang dapat membentuk modal insan kelas pertama. SGM bertujuan menggariskan kompetensi professional yang patut dicapai oleh guru dan keperluan yang patut disediakan oleh agensi dan institusi latihan perguruan bagi mencapai tahap yang ditetapkan. Ia juga bertujuan untuk melestarikan guru berkualiti. Walaupun dengan kewujudan SGM, masih terdapat isu-isu berkaitan Standard Pengajaran Profesional ini yang meniti di dada-dada akhbar malah dalam kalangan pendidik sendiri. Ternyata mengaplikasi SGM sahaja tidak cukup untuk menghasilkan guru yang berkualiti kerana pada diri pendidik itu sendiri masih terdapat perkara
yang menghalang mereka untuk mencapai tahap profesional. Kesimpulannya, sokongan, komitmen, kerjasama, dan keterbukaan semua warga pendidik dalam menyahut cabaran semasa merupakan kunci kejayaan warga pendidik dan sistem pendidikan yang sedia ada.

RUJUKAN

Chek Mat. (2003). Kemahiran Memimpin: Kuala Lumpur: Utusan. Kementerian Pelajaran Malaysia (1990). Falsafah Pendidikan dan Kurikulum Bersepadu Sekolah Rendah Tahun Lima. Kuala Lumpur : Pusat Perkembangan Kurikulum

Kementerian Pelajaran Malaysia. (1979). Laporan Jawatan Kuasa Kabinet Mengkaji Dasar Pelajaran Kebangsaan 1979. Kuala Lumpur: Jabatan Percetakan Negara.

Kuberan, M. (2008). Kesediaan Bakal Guru Siswazah Yang Mengikuti Program Khas Pensiswazahan Guru Untuk Mengajar Mata Pelajaran Lukisan Kejuruteraan. Satu Kajian Kes. Universiti Teknologi Malaysia: Projek Ijazah Sarjana Muda

Penempatan Guru Tidak Seimbang. (2006). Utusan Malaysia. Dicapai pada Mei 20, 2007, dari
http://www.utusan.com.my


Syed Ismail, S., & Ahmad Subki, M. (2013). Guru dan Cabaran Semasa (pp. 78-87). Selangor Darul Ehsan: Penerbitan Multimedia Sdn Bhd.

No comments:

Post a Comment