Thursday, 24 December 2015

ISU 8: ISU PENGGUNAAN TEKNOLOGI DALAM PENGAJARAN DAN PEMBELAJARAN PENGENALAN

ISU PENGGUNAAN TEKNOLOGI DALAM PENGAJARAN DAN PEMBELAJARAN
PENGENALAN
Information and Communications Technology (ICT) bermaksud sebarang sumber komputer berasakan komputer sama ada melalui rangkaian atau tidak termasuk perkakasan atau perisian yang diperolehi sebagai bahan pengajaran dan pembelajaran seperti internet, emel, video conference, word processing, spreadsheet dan CD. Manakala menurut kamus dewan edisi keempat penggunaan ICT dalam pendidikan ialah menggunakan ICT secara berfikrah, terancang dan bersesuaian untuk meningkatkan kecekapan dan keberkesanan proses pengajaran dan pembelajaran. Dasar ICT dalam pendidikan telah dilancarkan oleh Tan Sri Muhyiddin pada Oktorber 2012. Tujuannya adalah untuk transformasi proses pendidikan melalui penggunaan teknologi. Selain itu, sebagai pembangunan modal insan secara berterusan . keperluan untuk mengintegrasikan ICT dalam pengajaran dan pembelajaran pada era kini kian terdesak. Pada peringkat sekolah rendah, ICT menjadi satu kemestian untuk menarik minat murid dalam pelajaran mereka. Pada peringkat menengah, ICT dilihat untuk melahirkan pelajar yang berpengetahuan dan berkemahiran dalam ICT serta dapat meggunakan maklumat secarakritis dan kreatif bagi meningkatkan pemahaman dalam pelajaran. 

Menurut Harison Bakar (2008), bagi memudahkan guru dalam perlaksanaan pengajaran dan pembelajaran dimana pada tahun 2003 Kementerian Pelajaran Malaysia (KPM) telah memperkenalkan komputer riba sebagai alat teknologi kepada guru. Namun demikian, dalam tinjaun yang dijalankan pada bulan Mac higga Mei 2007 didapati ramai guru tidak mengaplikasikan alat canggih tersebut secara optimum.

Selaras dengan perkembangan teknologi semasa, KPM telah memperkenalkan ICT dalam pendidikan yang meliputi prasarana, pengisisan dan latihan guru. KPM telah melaksanakan pelbagai projek ICT dengan pembekalan komputer sebagai aktiviti utama penyediaan insfrakstruktur. Namun wujudnya isu dan masalah yang menjejaskan usaha penggunaan ICT dalam proses pengajaran dan pembelajaran. Antara isu yang sering dibangkitkan dengan penggunaan teknologi dalam pengajaran dan pembelajaran adalah kekangan masa dalam guru menghasilkan bahan ABM berbentuk ICT,sikap guru terhadap teknologi dalam pengajaran da pembelajaran, kekurangan prasarana serta bahan sokong dan penyalahgunaan makmal komputer dan internet percuma.

(1) KEKANGAN MASA DALAM GURU MENGHASILKAN BAHAN ABM BERBENTUK ICT

Pelbagai isu akan timbul dalam penggunaan ICT dalam pengajaran dan pembelajaran. Hal ini akan timbul apabila seseorang guru mempunyai masalah pengajaran mereka dalam menggunakan ICT. Walaupun penggunaan ICT banyak faedahnya dalam pengajaran dan pembelajaran , namun tidak ramai guru yang menggunakan kemudahan yang disarankan oleh kerajaan ini. Antara alasan yang sering diperdengarkan oleh guru adalah kekangan masa dalam menyediakan bahan ABM dalam membina persembahan dan mengintergrasikan multimedia sekurang-kurangnya menggunakan Powerpoint dengan input-input seperti rakaman suara, memasukkan video, grafik dan bunyi mengikut kreativiti guru itu sendiri. Walaupun dengan penggunaan ICT ini boleh menarik minat pelajar , namun segelintir guru lebih suka menggunakan kaedah tradisonal dalam pengajaran mereka. Bagi mereka kaedah ini lebih mudah dan cepat semasa sesi pengajaran dan pembelajaran berlaku.

Dalam satu kajian pada tahun 2008 menunjukkan kesuntukan masa menggunakan ICT oleh guru menjadi penghalang manakala sikap positif dan keyakinan diri dan kemahiran menggunakan ICT menjadi pendorong dalam perlaksanaan pengajaran dan pembelajaran. Hal ini kerana masa bagi pengajaran adalah singkat dan sekiranya guru tersebut menggunakan ICT dalam pengajaran dan pembelajaran mereka, ia akan memerlukan persediaan sebelum dan selepas pengajaranoleh guru itu sendiri. Hal ini akan mengambil masa guru dalam penyediaan bahan tersebut. Kekangan masa dalam menyediakan bahan dengan menggunakan ICT juga menjadi bebanan tugas guru yang sedia ada bertambah.

Penggunaan komputer dalam pengajaran memerlukan masa yang banyak bagi guru-guru dalam menyediakan bahan ABM. Persediaan yang diperlukan adalah termasuk dari segi aspek penyediaan bahan pengajaran serta setup bahan dalam koputer sebelum kelas dimulakan dengan bilagan waktu mengajar yang banyak. Sesetengah guru mempunyai waktu mengajar sebanyak 27 waktu seminggu. Hal ini sukar bagi guru tersebut untuk membuat persediaan mengajar dan juga untuk setup bahan mengajar dimakmal komputer. Guru-guru juga mempunyai tugas-tugas lain seperti menjadi setiusaha peperiksaan, guru data, ketua-ketua panitia, Ajk PIBG dan sebagainya. Situasi ini sukar bagi guru untuk membuat persediaan yang mantap jika mereka perlu menyediakan bahan sediri dalam pengajaran.

Sekiranya guru tidak menguasai kemahiran ICT, ini akan menyebabkan masa akan terbuang begitu sahaja kerana guru berkenaan terpaksa mengambil masa yang agar lama untuk menyediakan persiapan pengajaran dan pembelajaran. Menurut Sabri Ahmad (2006), penggunaan ICT dalam pengajaran dan pembelajaran bermaksud menggunakan ICT secara fikrah, terancang dan bersesuaian untuk meningkatkan kecekapan dan keberkesanan proses pengajaran dan pembelajaran. Selain itu, dalam kajian Lai Kim Leong, Khaw Ah Hong dan Seah Ai Kuan (2006), menyatakan guru kekurangan masa dalam pelaksanaan aktiviti berpusat pelajar dan guru-guru juga mempunyai masa yang terbatas untuk memberi penumpuan terhadap pelajar-pelajar terutamanya pelajar lemah dalam masa singkat.

Kebanyakkan guru-guru sedar tentang kebaikan dalam menggunakan teknologi dalam pengajaran dan pembelajaran namunkeran kekangan masa, masalah penyelenggaraan dan kemahiran menjadi penghalang bagi mereka.

(2) SIKAP GURU TERHADAP TEKNOLOGI MAKLUMAT DALAM PENGAJARAN DAN PEMBELAJARAN

Terdapat banyak cabaran dalam mengintegrasikan teknologi dalam pendidikan matematik. Bukan sahaja melibat kepada kesesuaian perisian yang digunakan, malah juga melibatkan sikap guru. Menurut Aiken (1976) dan Ajzen (1988) sikap adalah sesuatu gambaran dalaman individu yang merujuk kepada kecenderungan untuk berkelakuan positif atau negatif terhadap benda, situasi, institusi, konsep atau individu lain. Beberapa tinjauan literatur lepas telah menunjukkan bahawa wujudnya perkaitan yang rapat antara sikap dengan penggunaan teknologi maklumat dengan pengajaran dalam bilik darjah (Mohamad Nabzrim & Mohamad Nayan, 1997; Adenan, 1999; Krishnan et al., 2007). Dalam satu kajian yang melibatkan penggunaan komputer di empat buah sekolah di Amerika Syarikat, latihan teknologi maklumat yang konsisten terhadap kakitangan telah dikenal pasti sebagai satu faktor yang penting yang memupuk sikap positif dalam kalangan guru yang seterusnya membawa kepada perubahan dalam aktiviti profesional guru dalam teknologi maklumat selepas dua tahun (Rockman, Pershing & Ware, 1992 dalam Soon Yin & Kooi Guan, 2002).

Jika dianalisis daripada aspek demografi, dapatan oleh Azhar Haji Ahmad (1998) dalam kajiannya mendapati bahawa tidak terdapat perbezaan yang signifikan di antara kumpulan responden lelaki dengan responden perempuan pada enam sub skala sikap terhadap komputer iaitu keyakinan, tingkah laku, kesukaan, penggunaan, kecekapan dan sikap kognitif. Walau bagaimanapun, dapatan oleh Ong dan Lai (2003, dalam Su Luan et al. ,2005) adalah sebaliknya, ia menunjukkan terdapat persepsi yang lebih baik khususnya daripada responden lelaki untuk tahap kemahiran, keupayaan dan pembelajaran secara e-Learning menggunakan komputer berbanding dengan responden perempuan. Dapatan ini juga disokong oleh kajian terdahulu oleh Liaw (2002) dan Chen dan Tsai (2005, dalam Su Luan et al. ,2005) yang mendapati bahawa responden lelaki mempunyai persepsi yang lebih baik terhadap komputer dan teknologi web berbanding responden perempuan. Walau apa pun dapatan daripada kajian lepas, penyelidik bersetuju dengan Kirkpatrick dan Cuban (1998) yang menyatakan bahawa jurang tahap kemahiran dan sikap terhadap jantina akan dapat dikurangkan jika didedahkan kepada pengalaman serta kemahiran yang sama dalam bidang komputer.

Merujuk kepada perkaitan di antara sikap guru dengan umur, Ting Kai Chu (1998) mendapati, secara keseluruhannya guru yang muda mempunyai sikap yang positif terhadap komputer berbanding guru yang lebih berusia. Ini adalah kerana guru-guru muda ini telah terdedah dengan komputer sama ada di sekolah mahupun di universiti sedangkan golongan guru yang lebih berusia tidak mengalaminya. Dapatan yang sama juga diperoleh oleh Mukama dan Andersson (2007), iaitu guru-guru yang berusia enggan untuk berubah ke arah pengintegrasian komputer di sekolah berbanding guru-guru baru yang lebih mesra dengan teknologi maklumat. Ini menunjukkan golongan muda lebih terdedah kepada teknologi baru. Justeru itu, ia meningkatkan tahap penerimaan dan penggunaannya. Ini disokong oleh Mortimer dan Scott (2003: 35) menyatakan pengalaman menggunakan komputer mempengaruhi sikap terhadap komputer. Menurut beliau kebanyakan guru tidak memahami bagaimana hendak menggabungkan kemahiran komputer dengan pengajaran di kelas. Bagaimanapun menurut beliau, sebanyak dua per tiga daripada kalangan guru menyatakan tidak bersedia menggunakan komputer dalam pengajaran, tetapi bagi kumpulan guru yang lebih muda, yang membesar dan belajar dengan menggunakan komputer lebih berkeyakinan menggunakan komputer berbanding guru-guru yang telah lama berkhidmat. Guru yang bersikap positif terhadap komputer juga adalah lebih bersedia menggunakannya berbanding dengan guru yang bersikap negatif terhadap komputer.

Merujuk kepada perkaitan di antara sikap guru dengan taraf dan status jawatan serta bidang pengkhususan (opsyen), kajian oleh Mohamad Nabzrim dan Mohamad Nayan (1997) menunjukkan data yang diperoleh daripada soal selidik dan temu bual terhadap penggunaan komputer dalam kalangan guru bahawa tidak terdapat perbezaan yang signifikan dengan penggunaan komputer. Ini disokong oleh Mukama dan Andersson (2007) yang menyatakan bahawa faktor taraf jawatan dan pengkhususan tidak memberi kesan terhadap sikap guru terhadap komputer. Namun demikian, dapatan kajian oleh Adenan (1999) menyatakan bahawa sikap yakin dalam kalangan guru terhadap penggunaan komputer mempunyai hubungan yang signifikan dengan faktor latihan, kemudahan komputer dan galakan pentadbir.

 Berdasarkan beberapa kajian lepas juga, keengganan guru untuk berubah juga faktor signifikan yang mempengaruhi sikap guru. Ini didorong oleh sikap yakin terhadap teknik pengajaran dan pembelajaran konvensional yang dianggap relevan dengan sistem peperiksaan. Golongan guru ini berpendapat bahawa jika keputusan peperiksaan yang diperoleh pada setiap tahun cukup baik dan cemerlang mengapa harus mengubah apa yang sedia baik untuk pelajar. Ini ditambah lagi dengan kurangnya kursus khususnya guru-guru yang berkhidmat di pedalaman yang seterusnya akan menyemai sifat technophobia (Mukama & Andersson, 2007).

Guru perlu bersedia menerima perubahan ini dengan fikiran terbuka dan positif serta berusaha menangani perubahan dalam proses pengintegrasian teknologi ini. Guru perlu menyesuaikan diri dengan alat teknologi dan menguasai pedagogi untuk mengurus kelas. Ini menyokong pendapat Yushau (2006) iaitu untuk memastikan komputer digunakan secara meluas dalam kelas matematik, guru perlu membina sikap positif terhadap teknologi. Dalam situasi pembelajaran, guru perlu membuat perkaitan yang eksplisit atau jelas antara teknologi dan pengetahuan professional mereka sebagai kaedah, atau kandungan subjek yang diajar. Guru perlu menghubungkan penggunaan teknologi dengan konsep yang diajar (Hughes, 2004).
Daripada kajian lepas juga terdapat sebahagian guru yang telah sebati dengan kaedah tradisional dan sukar untuk membuat penyesuaian dengan teknologi instruksional (Becker & Watt, 1996). Majoriti berpendapat untuk sesetengah tajuk, kaedah chalk and talk lebih berkesan berbanding penggunaan ICT. Ada topik dimana penggunaan ICT tidak membantu. Contohnya tajuk-tajuk yang memerlukan penerangan yang mendalam dan langkah penyelesaian lebih mudah di jelaskan melalui kaedah chalk and talk. Maksud kaedah chalk and talk disini adalah guru menerangkan isi pengajaran dengan hanya berbantukan papan hitam dengan menerangkan mengenai isi pengajaran dan menunjukkan langkah-langkah penyelesaian masalah satu persatu tanpa bantuan komputer dan LCD projektor. Malahan ada kalangan guru yang ‘buta ICT’, menyebabkan timbul sikap negatif dan tidak berminat mengajar menggunakan ICT selain sikap malas menyediakan bahan atau peralatan ICT untuk pengajaran. Hal ini berlaku mungkin disebabkan oleh sikap guru tersebut yang tidak ingin mencuba sesuatu yang baru. Menurut Albaugh (1997), guru lazimnya ragu-ragu dengan idea-idea baru dan terkini kerana mereka berasa selesa dengan apa yang selama ini mereka telah lakukan.

Ledakan teknologi ICT memberi cabaran baharu kepada profesion guru dan sistem pendidikan di sekolah yang masih belum mengalami perubahan yang drastik dari segi pengadaptasian penggunaan teknologi baharu termasuk komputer, digital, e-learning dan sebagainya. Penggunaan ICT dalam sekolah telah membuka perspektif baharu tentang liberalisasi pembelajaran yang tidak lagi terikat kepada sistem dan organisasi bilik darjah. Kemajuan dan kecanggihan teknologi komunikasi maklumat membolehkan pembelajaran menerusi jendela dunia diadaptasikan dalam pembelajaran maya dengan menggunakan internet, melayari website dan sebagainya.
CADANGAN
Guru harus meninggalkan pengajaran-pembelajaran cara lama yang diamalkan selama ini, sebaliknya memikirkan pembelajaran dinamik dalam konteks penggunaan teknologi maklumat. Pemikiran positif perlu wujud di kalangan pelaksana dasar penggunaan ICT di semua peringkat sistem pendidikan di negara ini bagi membolehkan ICT diadaptasikan dan diperluaskan dalam budaya pembelajaran.
           
 Faktor persediaan mental, pengetahuan dan kemahiran dalam kalangan anggota adalah penting ke arah sesuatu perubahan dalam sesebuah organisasi (Steers & Black, 1994). Persediaan mental dalam kalangan anggota organisasi merangkumi sikap yang positif terhadap agenda perubahan yang dicadangkan di samping memahami tujuan atau sebab-sebab di sebalik perubahan yang akan dilaksanakan. Perubahan sikap dan nilai terhadap IT diperlukan oleh guru dalam menghadapi cabaran baru dalam pendidikan (Ambigapathy, 2001). Justeru, para pendidik perlu literasi komputer supaya penggunaan komputer dalam pendidikan tidak terjejas. Dalam mencapai objektif tersebut, guru-guru perlu diberi latihan dalam penggunaan teknologi baru untuk diaplikasikan di dalam bilik darjah. (Ambigapathy & Suthagar, 2003).

Menurut Robiah (2003) menyatakan bahawa sikap guru yang positif akan lebih mendorong dan menggerakkan penggunaan ICT dalam pengajaran dan pembelajaran berjalan secara lancar, pantas dan menyeluruh. Guru perlu menjadi penggerak dan pencetus kepada perubahan masyarakat ICT dan pembentukan masyarakat digital menjelang tahun 2020. Guru perlu bersedia melaksanakan tugas baharu bagi membangunkan ICT dalam pengajaran dan pembelajaran. Guru harus meninggalkan pengajaran-pembelajaran cara lama yang diamalkan selama ini, sebaliknya memikirkan pembelajaran dinamik dalam konteks penggunaan teknologi maklumat. Pemikiran positif perlu wujud di kalangan pelaksana dasar penggunaan ICT di semua peringkat sistem pendidikan di negara ini bagi membolehkan ICT diadaptasikan dan diperluaskan dalam budaya pembelajaran. Selain itu, guru juga perlu bersedia meningkatkan pengetahuan dan kemahiran mereka bagi menjadikan komputer sebagai teknologi pengajaran dan pembelajaran menggantikan pendekatan konvensional yang kurang berasaskan inovasi teknologi.

(3)    KEKURANGAN PRASARANA DAN BAHAN SOKONGAN

            Meluaskan literasi komputer menjadi agenda penting pendidikan selaras dengan dasar ICT negara pada abad ke-21. Era teknologi maklumat memerlukan sistem pendidikan dan institusi sekolah menggubal matlamat utama pendidikan bagi membentuk generasi muda yang celik dan mahir komputer. Satu cabaran penting dalam pendidikan ialah menyediakan kemudahan komputer untuk semua pelajar. Ini bermakna kemudahan komputer tidak terhad kepada golongan tertentu sahaja tetapi melibatkan keseluruhan pelajar tanpa mengira status ekonomi, sosial, kaum dan sebagainya.

Kecanggihan kemudahan ICT yang terdapat di sekolah pada masa ini adalah tidak seragam. Seperti yang kita sedia maklum di setiap sekolah jumlah komputer yang diperuntukkan oleh kerajaan hanyalah sedikit. Hal ini kerana terdapatnya kekangan-kekangan yang memang tidak dapat dielakkan seperti kekangan kewangan dan sebagainya. Implikasinya, tidak semua pelajar bepeluang untuk menggunakan komputer yang terdapat di sekolah. Dalam konteks ini, wujud isu bilangan komputer yang tidak dapat menampung bilangan pelajar di sekolah dan ketiadaan makmal khusus untuk mata pelajaran tertentu.  Untuk mengendalikan sesuatu kelas kemahiran penggunaan komputer, setiap pelajar seharusnya dibekalkan dengan sebuah komputer. Ini bertujuan supaya pelajar dapat berdikari dan menyelesaikan setiap tugasan yang diberikan. Berkongsi komputer tidak digalakkan kerana pelajar sepatutnya diberi peluang menyentuh sendiri perkakasan dan perisian untuk tujuan penghayatan dan merangsang proses kemahiran berfikir pelajar.
            Ada yang meletak komputer di dalam bilik darjah, ada juga yang meletakkan semua komputer ini di dalam makmal. Ketiadaan makmal khusus bagi mata pelajaran tertentu juga telah menyebabkan guru tidak dapat mengintergrasikan ICT dalam P&P. Hal ini kerana guru mempunyai kekangan dalam menempah makmal komputer untuk digunakan semasa proses P&P. Ada yang memiliki sambungan kepada Internet, ada yang tidak. Menurut Williams (1995), penggunaan komputer ataupun internet merupakan buku teks masa depan. Melalui internet, pengguna-pengguna terutamanya pelajar boleh berkongsi sumber yang tidak terbatas. Kekayaan maklumat dalam internet memungkinkan pelajar memperolehi maklumat berkenaan pendidikan untuk meningkatkan kemahiran berfikir. Pada masa kini, terdapat beribu-ribu laman jaring yang amat berguna kepada pelajar dalam internet untuk membantu mereka dalam proses pembelajaran.

Selain itu, penyediaan alatan seperti LCD untuk berfungsi dengan sempurna mengambil masa lama, terutama bagi sekolah yang tidak ada perkhidmatan juruteknik komputer. Kesan daripada permasalahan ini telah menyebabkan proses P&P yang berlangsung membosankan dan akan membawa kepada penurunan prestasi pencapaian pelajar. Hal ini sekaligus akan menyebabkan masalah disiplin dalam kalangan pelajar meningkat serta profesionalisme guru akan dipandang rendah oleh masyarakat. 
Tidak dapat dinafikan bahawa terdapat pihak sekolah yang tidak mempunyai sumber kewangan yang mencukupi bagi membiayai berbagai-bagai kos penggunaan teknologi maklumat dan penyelenggaraan IT. Kelemahan kepimpinan sekolah turut dikesan apabila terdapat sesetengah sekolah yang menunjukkan komited yang kurang terhadap penggunaan ICT, sekaligus mengakibatkan sekolah – sekolah berkenaan tertinggal dari arus perubahan yang berlaku. Justeru, perancangan sekolah perlu mengambil kira perubahan yang berlaku terutama penggunaan ICT. Selain menyediakan kemudahan belajar berasaskan ICT, sekolah perlu merangka belanjawan pendidikan yang semakin meningkat, khususnya perbelanjaan yang melibatkan penggunaan kemudahan, peralatan dan perkakasan teknologi maklumat. Peruntukan untuk penyelenggaraan contohnya wajar ditambah memandangkan kos yang semakin meningkat.

Cabaran masa kini dan akan datang dalam sektor pendidikan ialah penyediaan prasarana komputer yang lengkap untuk kaedah pembelajaran dan pengajaran tersebut. Walau bagaimanapun, penyediaan kemudahan mengakses Internet sahaja tidak menjamin keberkesanan pembelajaran pengajaran secara on-line. Sikap guru dan pelajar terhadap penggunaan teknologi tersebut perlu dipertimbangkan untuk memastikan keberkesanannya sebagai kaedah pengajaran pembelajaran.

CADANGAN
Pihak sekolah perlu memperbaiki infrastruktur komunikasi dan multimedia seperti kemudahan komputer, lebar jalur tinggi yang bersepadu dan sambungan Internet serta makmal komputer. Selain itu, pihak sekolah juga perlu meningkatkan infostruktur seperti rangkaian, kandungan tempatan, insentif dan perundangan untuk membentuk persekitaran yang membolehkan penyediaan infostruktur.

Pihak pentadbir juga, seharusnya menyediakan bahan - bahan sokongan lain seperti buku panduan atau manual pengguna, juruteknik komputer dan guru pakar. Kemudahan bilik darjah atau makmal yang selesa dilengkapi perabot yang mencukupi  memberi galakan dan motivasi kepada guru atau murid.

Guru-guru haruslah mengetahui tahap keupayaan infrastruktur ICT yang terdapat di sekolah masing-masing terlebih dahulu sebelum merancang sebarang aktiviti pembelajaran yang menggunakan ICT. Ini bagi memastikan aktiviti yang dilaksanakan membuahkan hasil yang optimum sesuai dengan objektif pembelajaran.

Kemudahan bilik darjah atau makmal yang selesa dilengkapi perabot yang mencukupi  memberi galakan dan motivasi kepada guru atau murid. Suasana bilik yang ceria yang mempunyai sudut – sudut pembelajaran berkaitan IT dapat memberi kemudahan kepada murid mencari maklumat berkaitan IT.

(4)        PENYALAHGUNAAN MAKMAL KOMPUTER DAN INTERNET PERCUMA

Isu penyalahgunaan makmal komputer dan internet percuma di sekolah di mana guru-guru dan pelajar didapati menyalahgunakan kemudahan internet di sekolah untuk melayari laman-laman web yang tidak berkaitan dengan pengajaran dan pembelajaran seperti laman sosial Facebook, Twiter dan sebagainya. Selain daripada portal-portal sosial, permainan komputer atas talian (Online Games) turut menjadi kegilaan pelajar sekolah masa kini. Penyalahgunaan seperti ini dibimbangi mampu meningkatkan jenayah internet yang sukar dikawal dan ianya boleh meningkatkan tanggapan negatif terhadap penggunaan kemudahan ICT di sekolah.

            Memandangkan internet telah menjadi keperluan utama, melarang mereka daripada menggunakan internet adalah tidak wajar. Namun, langkah-langkah pemantauan amatlah berkesan dalam mengatasi masalah ini. Selain itu, di sekolah juga pemantauan haruslah dilakukan oleh guru-guru yang bertugas, memandangkan proses pembelajaran dan pengajaran sekarang banyak menggunakan internet. Selain itu, nilai-nilai murni juga wajar diterapkan di dalam minda pelajar bagi mengelakkan masalah ini daripada bertambah teruk. Pelajar sekolah hari ini adalah antara pengguna internet di Malaysia. Penyalahgunaan internet di kalangan pelajar sekolah semakin membimbangkan dewasa ini terutamanya membabitkan pelayaran laman web berunsur lucah yang turut menjadi kegilaan pelajar masa kini.

            Dalam konteks ini, guru berperanan sebagai fasilitator dan ICT sebagai alat semasa sesi pembelajaran dan pengajaran dijalankan. Kaedah pembelajaran secara penerokaan membolehkan pelajar mencari maklumat atau bahan-bahan daripada internet yang boleh digunakan untuk menjana dan menguji hipotesis dalam penyelesaian masalah. Guru harus memastikan para pelajar memanipulasi (membanding dan menilai) maklumat yang diperoleh terlebih dahulu sebelum digunakan. Ini bagi mengelakan pelajar keliru dan salah tafsir atau salah guna maklumat yang diperoleh daripada internet kerana adakalanya terdapat perbezaan dengan fakta yang terdapat didalam buku teks sekolah. Kaedah ini, secara tidak langsung dapat mengajar para pelajar cara memproses maklumat dan menganalisis data yang diperolehi.

            Penggunaan ICT semasa proses pengajaran dan pembelajaran membolehkan guru menjalankan pembelajaran secara kolaboratif didalam kelas. Guru dan pelajar dari lokasi atau sekolah yang berbeza boleh menghantar, menerima dan berkongsi maklumat dalam pelbagai bentuk seperti teks, animasi, video dan sebagainya berkaitan sesuatu matapelajaran. Cara ini dapat menerapkan budaya kerja berpasukan disekolah. Dalam ketaksuban menggunakan ICT disekolah, guru perlu menyediakan garis panduan yang jelas untuk memantau dan memastikan disiplin pelajar baik semasa menggunakan internet, komunikasi elektronik (email) dan sebagainya. Guru harus memastikan para pelajar tidak melayari laman sesawang yang boleh meruntuhkan moral mereka. Disamping itu, guru harus bekerjasama dengan penyelaras ICT untuk menyekat laman sesawang yang tidak berkaitan dengan pembelajaran daripada diakses oleh pelajar.


KESIMPULAN

Natijahnya, penggunaan ICT dalam pembelajaran dan pengajaran dapat dilaksanakan dengan jayanya melalui sokongan dan usaha bersungguh-sungguh pelbagai pihak tanpa mengira batasan. Pemimpin sekolah dan guru merupakan nadi kepada perlaksanaan ICT di sekolah. Mereka adalah tunjang kepada kecemerlangan akademik para pelajar dan juga kejayaan penguasaan kemahiran ICT. Badan akademik dari universiti tempatan telah banyak menyumbang kepakaran untuk membantu guru-guru dan pelajar mendalami kemahiran ICT dan komputer. Sokongan moral daripada ibu bapa dalam menjayakan perlaksanaan ICT ini juga penting untuk membakar semangat para pelajar agar sentiasa berusaha mencari ilmu. Di samping itu, kemudahan dan peralatan teknologi yang lengkap merupakan penyumbang utama kepada kejayaan perlaksanaan ICT dalam pengajaran dan pembelajaran. Kementerian pendidikan melaksanakan tanggungjawab dengan sempurna bagi memastikan pada era globalisasi ini tiada lagi pelajar yang tidak mendapat peluang untuk menimba ilmu. Penglibatan pihak swasta dalam perlaksanaan ICT ini menunjukkan mereka peka dengan perkembangan pendidikan negara. Bagi mereka, kecemerlangan pelajar adalah tanggungjawab bersama kerana para pelajar inilah yang akan jadi pemimpin negara pada masa hadapan. Mereka peneraju generasi akan datang.

RUJUKAN

Ambigapathy, P. (2001). “Technology and English Literacy in the Malaysia Classroom.” dalam Ambigapathy, P. (ed.). “Technologies of Learning: Learning Through and about The New Information Technologies.” Australia: Common Ground Publishing.

Ambigapathy, P. Dan Shanti, B. B. (2004). “Technological Literacy for Adults: Insights from Malaysia.” dalam Kell, P., Shore, S. dan Singh, M. (ed). “Adult Education 21st Century.” New York: Peter Lang.

Ambigapathy, P. Dan Suthagar, N. (2003). “Literasi Teknologi Komputer: Persepsi dan Penggunaan di Kalangan Guru.” dalam Pandian, A. (ED.). “Bahasa dan Literasi: Penyelidikan dan Peninjauan untuk Pendidikan.” Serdang: Penerbit Universiti Putra Malaysia.

Becker, W.E. & Watts, M. (1996). “Chalk and Talk: A National Survey on Teaching Undergraduate Economics.” American Economic Review, 86(2) 448-453.

Zhao, Y., Hueyshan, T.S. dan Mishra, P. (2000). “Teaching and Learning: Whose Computer Is It?” di dalam Bruce, B.C. (ed.). “Literacy in the Information Age: Inquries into Meaning Making with New Technogies.” Delaware: International Reading Association.

Penggunaan Teknologi Maklumat dan Komunikasi dalam Pengajaran dan Pembelajaran. (2001).      Kuala Lumpur : Kementerian Pendidikan Malaysia.

Nafisoh, (2010), Maksud ICT. Diperoleh pada 10 Diesember 2015 dari http://pendidikanict.blogspot.com/2010/06/maksud-ict.html

Penggunaan Teknologi dan ICT dalam P&P dalam bilik darjah. Dicapai pada 10 Disember 2015       dari
http://www.slideshare.net/isuict12/penggunaan-ict-dalam-pp



No comments:

Post a Comment