Wednesday, 23 December 2015

ISU 6: ULASAN DAN PENDAPAT MENGENAI ISU BERKAITAN STANDARD PENGAJARAN PROFESIONAL

NUR ASYATULMAILA BINTI MOHAMAD ASRI
M20151000721
M. EDU MATHEMATICS

ULASAN DAN PENDAPAT MENGENAI ISU BERKAITAN STANDARD PENGAJARAN PROFESIONAL 

1. Guru Mengajar Subjek Bukan Opsyen

Isu ini berlaku disebabkan oleh penempatan guru-guru baru atau guru pelatih yang bergantung kepada kekosongan sekolah. Kebiasaannya, isu ini terjadi di sekolah yang terletak di kawasan luar bandar dan pedalaman. Guru- guru yang mengajar subjek bukan opsyen ini terpaksa mengajar subjek mengikut keperluan sekolah yang mana berlainan daripada bidang utama guru tersebut. Hal ini menyebabkan guru tersebut kurang berkeyakinan dalam mengajar subjek yang mereka kurang mahir dan terpaksa meningkatkan kemahiran dan kefahaman mereka terlebih dahulu. Situasi ini akan menyebabkan proses pengajaran dan pembelajaran yang berlangsung akan terganggu dan turut menjejaskan sesi pembelajaran pelajar. Bagi mengatasi masalah ini, pihak Kementerian Pelajaran Malaysia seharusnya memberikan penempatan yang lebih sesuai kepada semua guru mengikut subjek utama guru. Pihak pentadbiran sekolah juga seharusnya memainkan peranan dengan menyediakan kursus persediaan awal kepada guru yang diberikan penempatan mengajar yang tidak mengikut opsyen. Dari segi guru pula, persediaan mental dan fizikal dari guru amatlah perlu bagi memastikan setiap guru sentiasa bersedia walaupun ditugaskan mengajar mata pelajaran bukan opsyen. 

2. Guru Tidak Mahir Atau Tidak Terlatih Dalam Bidang ICT 

Isu ini terjadi disebabkan terdapat sebahagian guru yang berminat dalam bidang ICT manakala yang selebihnya tidak menunjukkan sebarang minat atau mengambil kisah mengenai penggunaan ICT. Bagi guru kurang kemahiran ICT dan kurang berminat terhadap ICT, mereka berpendapat bahawa masa yang akan di ambil untuk menguasai ICT akan mengambil masa yang lama dan mereka harus mengikuti kursus ICT untuk menambah kemahiran. Perkara ini akan menyebabkan guru terpaksa mengambil cuti untuk mengikuti kursus seterusnya menyebabkan sesi pengajaran dan pembelajaran di dalam kelas akan terganggu. Kadang-kala, masa yang di ambil untuk untuk memulakan pengajaran juga terpaksa di tangguhkan sekiranya berlaku masalah teknikal terhadap ICT, jadi ini akan menyebabkan berlakunya masalah kepada guru terutamanya bagi guru yang kurang mahir mengenai ICT. 

3. Kemahiran Pedagogi Guru 

Aspek pedagogi dapat dilihat melalui pengetahuan pedagogi guru terhadap isi kandungan pengajaran dan pembelajaran. Selain itu, aspek pedagogi juga meliputi pengetahuan yang ada dalam diri guru dan cara untuk guru menyampaikan maklumat tersebut. Timbulnya isu mengenai pedagogi guru apabila guru tidak dapat menerangkan sesuatu topik atau konsep sesuatu tajuk dalam mata pelajaran yang di ajar dengan betul dan tepat. Sekiranya dilihat dari segi kaedah pengajaran guru cemerlang, guru tersebut akan mengaitkan ilmu pengajaran dengan aktiviti seharian pelajar. timbulnya isu dalam pedagogi guru adalah guru tidak dapat mengaitkan pembelajaran dengan aplikasi seharian kepada pelajar. Insentif guru dalam mengajar juga menjadi perhatian apabila terdapat sebahagian guru yang hanya mengggap profesion perguruan sebagai satu kerja semata-mata dan bukan disebabkan oleh tanggungjawab untuk menyampaikan ilmu 

4. Kebocoran Soalan UPSR 

Isu kebocoran soalan UPSR ini dapat dinilai melalui konsep ibadah dalam profesion perguruan yang semakin hilang. Disebabkan timbulnya masalah ini, masyarakat semakin hilang kepercayaan terhadap guru dalam mendidik anak-anak mereka. Malahan profesion perguruan juga dipandang remeh oleh masyarakat. Kebanyakan guru juga lebih terarah untuk mencari kekayaan berbanding menumpukan terhadap pengajaran bagi mendidik anak-anak bangsa. Disebabkan perkembangan teknologi, kebanyakan guru mengambil kesempatan dengan mencari pendapatan lebih melalui menjalankan aktiviti perniagaan secara atas talian malahan ada juga yang sanggup membawa barangan jualan ke sekolah untuk dijual kepada rakan guru yang lain. Situasi ini bukan sahaja menjejaskan kredibiliti guru malahan pada masa yang sama melalikan guru dalam menjalankan tanggungjawab mereka sebagai seorang pendidik. 

5. Perkembangan Pusat Tuisyen Menggugat Peranan Guru 

Isu ini terjadi disebabkan oleh pandangan ibubapa yang berpendapat bahawa pembelajaran yang di ajar oleh guru di sekolah adalah tidak sepenuhnya ditumpukan terhadap pelajar berbanding di pusat tuisyen. Ini juga menunjukkan bahawa guru di sekolah seolah-olah tidak memainkan peranan yang betul dalam mendidik pelajar berbanding di pusat tuisyen yang memberikan sepenuh perhatian terhadap pembelajaran dan pengajaran. Perkara ini terjadi disebabkan oleh guru di pusat tuisyen hanya memfokuskan terhadap pengajaran sahaja dan berlainan pula di sekolah yang mempunyai banyak tumpuan iaitu pembelajaran berasaskan pentaksiran dan silibus yang menjadi fokus utama. 

6. Guru Masih Menggunakan Kaedah Tradisional di Dalam Kelas 

Kebanyakan guru di sekolah lebih suka menggunakan kaedah tradisional berbanding kaedahkaedah baru. Kaedah tradisional yang sering digunakan di sekolah adalah sesi pengajaran dan pembelajaran yang berpusatkan guru dan buku teks sahaja dan tidak mengutamakan pembelajaran berpusatkan murid. Terdapat juga di sesetengah sekolah yang masih menggunakan susun atur yang lama berbanding susun atur yang baru iaitu berbentuk kumpulan. Pengajaran guru juga lebih terarah kepada peperiksaan dan tidak mengaplikasikan sepenuhnya terhadap aktiviti seharian. Hal ini dapat dilihat melalui sesi pengajaran yang di lakukan di dalam kelas yang lebih terarah kepada penerangan konsep dan berfokus kepada bentuk soalan sahaja berbanding melakukan aktiviti secara berkumpulan untuk menarik minat pelajar terhadap sesuatu topik tersebut.

No comments:

Post a Comment