Thursday, 24 December 2015

ISU 7: ISU YANG BERKAITAN DENGAN PENILAIAN

EMPAT ISU YANG BERKAITAN DENGAN PENILAIAN

1.0 PENGENALAN

Malaysia merupakan sebuah negara yang sedang giat membangun ke arah mencapai Wawasan 2020. Pelbagai usaha telah dijalankan bagi memperbaiki, mengekalkan dan meningkatkan kemajuan seiring dengan perkembangan dunia pada masa kini terutama dalam sistem pendidikan negara. Pendidikan berperanan dalam membangunkan modal insan yang mempunyai jati diri, berketrampilan, berkeperibadian mulia, berpengetahuan dan berkemahiran tinggi. Modal insan yang ingin dilahirkan ini juga berupaya untuk berfikir secara kreatif dan kristis, berkemahiran menyelesaikan masalah dan mempunyai ketahanan serta kebolehan untuk berhadapan dengan cabaran dunia global yang sering berubah-ubah mengikut peredaran zaman.

Dalam Falsafah Pendidikan Negara, banyak penekanan dalam perkembangan secara menyeluruh, seimbang, dan bersepadu bagi membentuk modal insan yang baik dari segi jasmani, emosi, rohani dan intelek. Oleh itu, sebagai pendidik haruslah sentiasa bersedia dalam pelbagai perkara untuk memastikan matlamat pendidikan ini berjaya. Pengujian,penilaian dan pentaksiran adalah di antara beberapa konsep yang penting dalam dunia pendidikan. Secara khususnya, ketiga-tiga istilah tersebut membawa maksud dan tujuan yang berbeza. Walaubagaimanapun, ketiga-tiga perkara ini membantu untuk mencapai matlamat yang sama. Sistem Penilaian Prestasi pelajar sentiasa menjadi tumpuan ahli akademik dan pengamalnya. 

Perkara utama yang sering dibahas ialah bagaimana penilaian dapat dilaksanakan dengan berkesan. Kepentingan penilaian dalam proses pengajaran dan pembelajaran adalah ketara dan sangat penting. Para pelajar sering mengalami trauma bila berhadapan dengan ujian. Apatah tidaknya, kejayaan mahupun kegagalan mereka bertitik-tolak daripada ujian yang menilai mereka sebagai orang yang pandai atau lemah. Begitu juga guru, mereka selalunya resah apabila menerima keputusan ujian pelajarnya. Kejayaan dan kegagalan mereka mengajar terletak pada keputusan pencapaian pelajarnya. Tinggi peratus yang lulus bermakna berjayalah seseorang guru itu mengajar pelajarnya. Sebaliknya, rendah peratus lulus, seseorang guru itu perlu bertindak membaiki cara pengajarannya.

Umumnya, penilaian dilakukan atas dua objektif utama iaitu untuk membantu pembelajaran dan untuk memperbaiki pengajaran. Walaupun penilaian adalah penting bagi menentukan keberkesanan suatu proses pengajaran dan pembelajaran seperti yang disebutkan, ia juga akan bertukar menjadi sesuatu yang negatif jika kaedah perlaksanaannya tidak tepat. Kajian akademik menunjukkan sistem ini telah menjadi tidak berkesan bukan disebabkan oleh sistem itu tetapi pelaksanaannya.Terdapat beberapa isu yang sering diutarakan mengenai sistem penilaian berkaitan dengan prestasi murid-murid di sekolah. Antaranya adalah bias dalam penilaian,

2.0 ISU-ISU YANG BERKAITAN DENGAN PENILAIAN

2.1. ISU BIAS DALAM PENILAIAN

Isu yang pertama ialah bias dalam penilaian. Terdapat beberapa perspektif yang menjelaskan tentang definisi bias dalam penilaian. Menurut Hambleton, Ronald dan Janne(1995), bias adalah kewujudan kriteria-kriteria tertentu dalam memberi kesan yang berbeza terhadap pencapaian individu dengan kebolehan yang sama dari kumpulan, etnik, jantina ,budaya dan agama yang berbeza. Jika sesuatu item itu berfungsi berbeza kepada sesuatu kumpulan dengan yang lain, ia secara terangan adalah bias (Dorans dan Holland, 1993).Definisi bias menurut The American Heritage Dictionary pula adalah sebagai kecenderungan atau kecondongan yang menghalang penilaian yang adil. Berdasarkan ketiga-tiga perspektif tersebut, dapatlah disimpulkan bahawa bias dalam penilaian adalah ketidakadilan yang wujud dalam sesuatu penilaian. Terdapat empat aspek yang dapat menjelaskan kewujudan bias dalam penilaian iaituitem soalan ujian, penilaian melalui pemerhatian, penilaian secara lisan dan penilaian melalui penulisan.

i. Bias Dalam Item Soalan Ujian

Aspek yang pertama ialah bias dalam item soalan ujian. Zaubedah (2007) dalam kajiannya yang bertajuk mengesan dif dalam item peperiksaan mata pelajaran perdagangan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) sukatan pelajaran tingkatan empat menyatakan bahawa, sesuatu item itu bias apabila seseorang individu yang sama tahap kebolehan,daripada kumpulan yang berbeza tidak mempunyai kebarangkalian yang sama untukmenjawab item tersebut dengan betul. Terdapat beberapa kajian yang telah dilakukan bagi mengesan item-item ujian yang bias atau tidak memihak kepada responden mengikut jantina, lokasi sekolah, agama, bangsa dan linguistik. Jantina dan lokasi sekolah merupakan dua faktor yang sering dikaitkan dengan kewujudan bias dalam item soalan. Item soalan akan menjadi bias mengikut jantina apabila item soalan yang dibina cenderung kepada satu jantina sahaja.

Menurut Black (1998), pengujian yang menggunakan soalan yang berkaitan dengan permainan mekanikal lebih cenderung kepada pelajar lelaki manakala set yang menggunakan contoh dan situasi daripada anak patung atau kerja-kerja dapur lebih cenderung kepada pelajar perempuan. Beliau juga menyatakan bahawa pelajar perempuan secara umumnya tidak begitu pandai dalam soalan objektif berbanding soalan esei kerana mereka tidak suka meneka (guessing) apabila tidak boleh menjawab seperti yang dilakukan oleh pelajar lelaki.

Kajian TIMSS-R (1998) pula menyatakan item-item matematik yang berbentuk ayat panjang memerlukan calon membaca dan memahami maksud lebih memihak kepada pelajar perempuan. Manakala item-item yang memerlukan keupayaan ‘visualization’ lebih kepada pelajar lelaki. Pelajar lelaki dan perempuan mempunyai kekuatan dan kelemahan masing-masing dalam sesuatu subjek. Oleh itu, guru haruslah mengambil beberapa tindakan bagi mengelakkan bias berlaku dalam pembinaan item soalan ujian. Antaranya ialah guru haruslah mengimbangi bilangan topik dalam kertas soalan, seimbangkan bentuk soalan iaitu terdapat soalan objektif dan soalan subjektif dan seimbangkan corak soalan iaitu mengambil kira tentang sterotaip jantina pelajar dan tidak mendatangkan bias.

ii. Bias Dalam Penilaian Melalui Pemerhatian

Aspek yang kedua ialah bias dalam penilaian melalui pemerhatian. Penilaian melalui pemerhatian adalah satu proses untuk menentukan apa yang pelajar tahu, bagaimana hendak melakukan sesuatu tugasan atau operasi dalam masa sebenar. Tujuan penilaian ini adalah untuk membekalkan data yang bersifat objektif tentang kualiti pencapaian pelajar, termasuk proses dan prosedur dalam menyiapkan tugasan dan cabaran yang dihadapi sepanjang proses tersebut. Ianya merupakan satu alat penaksiran yang sesuai untuk mentaksir aspek afektif dan psikomotor pelajar.

Pemerhatian hasil kerja, tingkah laku, komunikasi dan interaksi pelajar adalah antara perkara yang sering dinilai oleh guru melalui mata kasar. Namun begitu, persepsi guru terhadap pelajar menyebabkan bias berlaku dalam penilaian melalui pemerhatian. Persepsi guru akan mempengaruhi cara penilaian atau pemarkahan dan mata kasar guru hanyalah pandangan luaran sahaja yang tidak dapat membuktikan atau menyatakan keadaan sebenar pelajar. Penilaian yang di buat hanya dengan mata kasar menyukarkan guru untuk menilai tahap kefahaman sebenar pelajar.

iii. Bias Dalam Penilaian Melalui Penulisan

Di samping itu, persepsi guru terhadap pelajar juga menimbulkan bias dalam penilaian melalui penulisan. Penilaian melalui penulisan adalah satu proses yang melibatkan aktiviti menyemak tugasan bertulis. Perkara yang dapat di nilai secara penulisan bergantung kepada tugasan yang diberi, tetapi secara umumnya terdapat beberapa perkara yang dapat di nilai seperti kronologi penulisan, kreativiti penulisan, susunan ayat atau penggunaan bahasa, kaedah atau formula yang digunakan serta kekemasan. Penilaian ini dianggap sebagai satu medium yang boleh dipercayai dalam menilai pelajar kerana mempunyai hasil atau produk yang dapat di lihat oleh guru. Namun begitu, pemarkahan penulisan adalah bergantung kepada kebolehpercayaan seseorang guru untuk menilai secara adil ataupun tidak. Oleh itu, guru tidak seharusnya mengamalkan sikap bias kerana ianya dianggap tidak professional dan perlu mengambil inisiatif untuk mengatasinya jika bersikap bias dalam penilaian.

iv. Bias Dalam Penilaian Secara Lisan

Selain itu, aspek yang seterusnya ialah bias dalam penilaian secara lisan. Penilaian secara lisan adalah satu proses untuk mengumpul maklumat semasa interaksi dalam pengajaran dan pembelajaran (P&P). Ianya bertujuan untuk mengetahui pemahaman dan penguasaan pelajar secara serta merta. Perkara yang dapat dinilai secara lisan ialah kefahaman konsep, kecekapan mendengar, keyakinan, tahap pemikiran, pengetahuan fakta, kecekapan mengcongak dan penggunaan bahasa yang tepat. Kebiasaannya guru menganggap pelajar yang mengalami kesukaran dalam berbahasa tidak mencapai tahap pemahaman yang baik dalam sesuatu konsep walhal ianya berpunca daripada kelemahan pelajar dalam berbahasa dan tidak mempengaruhi pemahaman pelajar. Malah pelajar juga gagal berkomunikasi dengan baik dalam penilaian lisan kerana ketakutan mereka terhadap guru seterusnya mengakibatkan pelajar kurang berani menyuarakan pendapat mereka.

Terdapat beberapa cadangan yang dapat guru laksanakan bagi mengurangkan bias dalam penilaian iaitu:

a) guru perlu bijak dan teliti dalam memilih item soalan ujian
b) gunakan borang penilaian yang standard
c) buat penilaian berulang kali
d) kurangkan sifat bias dalam diri.

2.2 ISU PENTAKSIRAN BERASASKAN SEKOLAH (PBS)

Isu yang kedua ialah pentaksiran berasakan sekolah (PBS). PBS merupakan satu bentuk pentaksiran yang bersifat holistic iaitu menilai aspek kognitif (intelek), afektif (emosi dan rohani) dan psikomotor (jasmani) selaras dengan Falsafah Pendidikan Kebangsaan dan Kurikulum Standard Sekolah Rendah (KSSR). PBS akan mentaksir bidang akademik dan bukan akademik. Selain itu, PBS akan dikendalikan oleh pihak sekolah dan pentaksiran dilaksanakan oleh guru-guru mata pelajaran secara berterusan dalam P&P mengikut prosedur yang ditetapkan oleh Lembaga Peperiksaan. Antara komponen PBS adalah pentaksiran sekolah, pentaksiran pusat, pentaksiran aktiviti jasmani, sukan dan kokurikulum dan pentaksiran psikometrik. PBS terbahagi kepada dua bentuk format pentaksiran iaitu kerja kursus (PEKA) dan pentaksiran lisan berasakan sekolah (PLBS).

Menurut Kementerian Pelajaran Malaysia (KPM), PBS bukanlah sesuatu yang baru keran pentaksiran inilah yang selama ini dilaksanakan oleh guru di sekolah (kerja rumah, projek, kuiz, soal-jawab dan lain-lain). PBS yang terbaru ini adalah lebih holistik dan memberi penekanan kepada kesemua aspek JERI iaitu jasmani, emosi, rohani dan intelek berbanding kepada pentaksiran sedia ada yang lebih memberi penumpuan kepada pencapaian akademik melalui peperiksaan. PBS akan mentaksir proses dan produk secara formatif dan sumatif iaitu mengamalkan konsep assessment for learning dan assessment of learning manakala fokus utama pentaksiran sedia ada lebih kepada pencapaian akademik murid di akhir pembelajaran yang merupakan assessment of learning, PBS yang dicadangkan ini merupakan penambahbaikan kepada PBS yang telah sedia dilaksana dengan memperkenalkan pentaksiran merujuk standard dan aplikasi Sistem Pengurusan PBS (SPPBS) untuk membantu guru merekod pencapaian murid secara berterusan.

Walaupun PBS merupakan salah satu langkah untuk menambahbaik sistem penaksiran supaya bersifat lebih adil, tetapi terdapat juga isu yang timbul mengenai pelaksanaan PBS. Terdapat dua isu dalam pelaksanaan PBS iaitu kepimpinan guru besar atau pengetua dan guru akademik. Guru besar atau pengetua merupakan ketua dalam pelaksanaan PBS di sekolah yang bertanggungawab untuk memastikan PBS dilaksanakan mengikut prosedur pelaksanaan PBS dan mempunyai pengetahuan yang luas dalam bidang pentaksiran. Walaubagaimanapun, terdapat juga segelintir guru besar atau pengetua yang kurang faham mengenai prosedur pelaksanaan. Selain itu, ada juga segelintir guru besar yang kurang mengetahui ilmu dalam bidang pentaksiran termasuklah prinsip asas dalam pentaksiran pendidikan, pengendalian, penentuan standard dan penggunaan hasil pentaksiran.

Isu yang seterusnya ialah guru akademik. Guru Akademik merupakan individu yang penting dalam menjalankan PBS keran merekalah yang akan menjalankan atau mengendalikan PBS. Terdapat empat pula isu yang timbul mengenai guru akademik sebagai pelaksana PBS iaitu guru kurang pemahaman tentang pelaksanaan dan konsep PBS, guru mengajar tidak mengikut opsyen yang sebenar, guru tidak terlatih dan persepsi guru terhadapa PBS.

Guru yang kurang pemahaman tentang pelaksanaan dan konsep PBS akan menyukarkan merka untuk merancang strategi bagi menjalankan PBS. Selain itu, isu guru pelaksana PBS mengajar tidak mengikut opsyen sebenar dan guru tidak terlatih merupakan isu yang sering dipersoalkan kerana kompetensi guru sebagai pembimbing dan pemudahcara dalam melaksanakan pentaksiran di dalam bilik darjah yang kurang professional. Hal ini demikian kerana mereka kurang mahir dalam subjek yang bukan opsyen dan keadaan ini akan menghasilkan penaksiran yang tidak berkualiti.

Seterusnya adalah isu persepsi guru terhadap PBS. Terdapat segelintir guru yang menganggap PBS sebagai beban kepada mereka. Persepsi guru ini disokong oleh Gan (2000) yang menyatakan bahawa kebanyakan guru merasakan perubahan pendidikan telah meningkatkan beban kerja mereka. Guru juga perlu mentaksir dan mengajar dalam masa yang sama. Tan (2010) juga menyatakan perkara yang sama bahawa PBS menambah beban tugas guru di sekolah yang memang telah dibebani dengan tugas-tugas pentadbiran dan kokurikulum. Ini menyebabkan guru melaksanakan pentaksiran sebagai satu produk dan bukan sebagai satu proses.

2.3 ISU PENILAIAN MENENGAH RENDAH (PMR) DIGANTI KEPADA PENTAKSIRAN TINGKATAN (PT3)

Kajian secara ‘online’ yang dijalankan oleh KPM untuk melihat persetujuan guru dalam pelaksanaan PBS mendapati hampir 75 peratus guru setuju ia dihapuskan. Oleh itu, pada 11 Februari 2014, PBS diberhentikan seketika bagi penilaian semula. Namun begitu, pada 1 April 2014, KPM menjalankan semula PBS dengan mengumumkan tiga penambahbaikan pada PBS iaitu dokumen standard prestasi ditukar kepada Panduan Perkembangan Pembelajaran Murid (PPPM), SPPBS adalah secara ‘offline’ dan Penilaian Menengah Rendah (PMR) digantikan dengan Pentaksiran Tingkatan 3 (PT3). Malah melalui penambahbaikan ini guru tidak lagi perlu menyediakan Fail Perkembangan Murid (FPM) dan melengkapkan Rekod Transit yang tidak jelas sehingga mengganggu tugas mengajar dan perekodan perkembangan pembelajaran murid boleh dilakukan mengikut kesesuaian masa guru selepas ini.

Kemerosotan pencapaian pelajar dalam Trends in International Mathematics and Science Study (TIMSS) dan Programme for International Student Assesment (PISA) telah menyebabkan PMR digantikan dengan PT3. PT3 merupakan pentaksiran sumatif yang setara di tingkatan tiga bagi menilai pencapaian akademik murid. Ini bermakna PT3 mentaksir aspek pengetahuan, kemahiran dan nilai secara menyeluruh di peringkat menengah rendah (KPM, 2014). 

PT3 diwujudkan adalah bagi menggalakkan pelajar berfikir secara kreatif dan proaktif. Soalan PMR banyak menumpukan peperiksaan apabila pelajar hanya memilih jawapan yang betul atau tidak betul dengan pilihan yang diberikan. Sementara soalan PT3 dapat menggalakkan pelajar untuk berfikir secara kreatif dan kritis. Hal ini dapat menilai tahap kebolehan pemikiran para pelajar. Namun begitu, pelaksanaaan PT3 juga dianggap terburu-buru oleh guru mahupun ibu bapa kerana ianya diperkenalkan pada bulan April 2014 dan terus dilaksanakan pengujiaannya pada bulan Oktober 2014.

2.4 ISU PENILAIAN BERASASKAN PEPERIKSAAN

Guru-guru diarahkan memberikan latihan yang sebanyak yang mungkin kepada pelajar kerana sistem pendidikan kita berorientasikan peperiksaan. Buku latihan pelajar-pelajar akan dipantau dari masa ke semasa oleh pihak pentadbir sekolah bagi memastikan guru menjalankan arahan yang diberikan. Penekanan ini menyebabkan guru tidak berminat menggunakan perisian di dalam pengajaran dan pembelajaran.

Penekanan yang berlebihan kepada peperiksaan menyebabkan guru-guru mengabaikan aspek lain seperti pengajaran menggunakan ICT. Peperiksaan ini dianggap perkara yang sangat penting sama ada oleh guru, pelajar dan ibubapa. Media massa turut memainkan peranan dengan menghebahkan pencapaian pelajar dan sekolah. Ini menyebabkan timbulnya budaya atau fenomena guru mengajar hanya menfokuskan kepada isi kanduagan dan kemahiran yang akan dinilai di dalam peperiksaan. Pelajar pula akan diajar untuk mengingati model jawapan dan pengiraan dengan menggunakan rumus sehingga guru akan memberikan latihan berterusan dan mengabaikan kaedah pengajaran.

Kebiasaannya, guru matematik hanya dapat menilai prestasi pelajar melalui pencapaian ujian, tetapi menilai pemikiran matematik pelajar masih dipersoalkan. Budaya "ajar untuk ujian" dalam pengajaran dan pembelajaran matematik telah menjadi satu bentuk penilaian yang biasa digunakan oleh guru matematik. Walaupun pentaksiran berasaskan sekolah (PBS) telah dibina dengan baik oleh Kementerian Pendidikan Malaysia bagi penilaian yang lebih holistik, tetapi penyelidik mendedahkan bahawa guru masih belum berupaya melaksanakannya dengan baik. Dengan itu, penyelidik mencadangkan satu kerangka yang dikenali sebagai Mathematical Thinking Assessment (MaTA) untuk menilai pemikiran matematik pelajar.Terdapat empat aspek yang amat sesuai digunakan dalam menilai pemikiran matematik pelajar iaitu penilaian prestasi, skala pengukuran metakognitif, skala pengukuran pelupusan matematik dan Pemarkahan Rubric Pemikiran Matematik.

Selain itu, juga fenomena ini juga menyebabkan pelajar hanya belajar untuk lulus dalam peperiksaan dan mendapat keputusan yang cemerlang sahaja. Hal ini pelajar susah menggunakan apa yang dipelajari di sekolah untuk digunakan dalam kehidupan harian mereka mahupun di alam pekerjaan mereka. Bagi mereka hanya mendapat keputusan yang cemerlang sudah boleh menentukan arah masa depan mereka. Bagi guru-guru- pula, mereka hanya menekan soalan yang akan keluar dalam peperiksaan sahaja dan menyebabkan para pelajar sudah menjangka soalan yang bakal akan keluar pada peperiksaan nanti. Tambahan pula guru-guru lebih suka membina soalan berbentuk objektif aneka pilihan untuk diberikan kepada pelajar dan sesetengah akan suka dengan soalan berbentuk sebegini kerana mereka hanya tanda sahaja jawapan yang telah diberikan oeleh guru tanpa menggunakan ayat atau kefahaman mereka sendiri dalam membina ayat untuk jawapan mereka.

3.0 KESIMPULAN

Justeru itu, bagi melaksanakan bentuk penilaian secara berterusan ini, guru-guru harus mempunyai pengetahuan yang cukup berkaitan dengan penilaian kerana dengan pengetahuan dan pengetahuan yang mencukupi maka guru-guru akan dapat melaksanakan tujuan penilaian ini dengan sewajarnya. Selain itu, guru-guru harus melaksanakan tangungjawab yang diamanah dengan jujur dalam penilaian yang melibatkan pelajar apabila sesuatu keputusan yang dibuat ke atas masa depan dan pendidikan mereka. Oleh yang sedemikian, berbagai-bagai jenis alat pengukuran perlu digunakan untuk tujuan mengukur dan membuat penilaian. Guru-guru harus mengamalkan penggunaan berbagai alat pengukuran ini untuk memastikan maklumat diperolehi dapat menggambarkan kebolehan pelajar dengan lebih menyeluruh.

RUJUKAN

Arsaythamby Veloo (2006). Bias Ujian Aneka Pilihan Matematik KBSM Berdasarkan Perbezaan Individu Dan Orientasi Pembelajaran Matematik. Tesis Doktor Falsafah (Ph.D.), Sintok : Universiti Utara Malaysia.

Daliyani (2011). Pelaksanaan Pembelajaran Berasaskan Masalah (PBM) Dalam Matematik Di Peringkat Sekolah Menengah. Tesis Sarjana Muda, Johor : Universiti Teknologi Malaysia.

Noraini Idris (2005). Pedagogi Dalam Pendidikan Matematik. Kuala Lumpur : Penerbit Utusan Publications & Distributors Sdn Bhd.

Zaubedah (2007). Mengesan Dif Dalam Item Peperiksaan Mata Pelajaran Perdagangan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) Sukatan Pelajaran Tingkatan Empat. Tesis Sarjana, Universiti Sains Malaysia.

No comments:

Post a Comment