Saturday, 14 November 2015

ISU 4: EMPAT ISU BAHASA DALAM PENGAJARAN DAN PEMBELAJARAN MATEMATIK

EMPAT ISU BAHASA DALAM PENGAJARAN DAN PEMBELAJARAN MATEMATIK

PENGENALAN

Bahasa ialah suatu sistem lambang bunyi suara yang arbitrari yang digunakan oleh anggota sesuatu kelompok manusia untuk berhubungan. Bunyi suara ini disebut bunyi bahasa. Bunyi-bunyi bahasa dilahirkan manusia dengan dengan alat-alat pertuturannya dan digabungkan untuk membentukkan kata. Bahasa pengantar ialah bahasa yang digunakan untuk berkomunikasi dan menyampaikan pemikiran manusia dalam bentuk visual. Bahasa pengantar ialah alat yang paling penting dalam pendidikan yang membolehkan guru menyampaikan pengetahuan kepada pelajar. Bahasa pengantar yang digunakan di sekolah Malaysia terdiri daripada Bahasa Tamil, Bahasa Cina dan Bahasa Malaysia. Antara isu-isu yang wujud dalam bahasa pengantar di sekolah ialah :

i. Penggunaan Bahasa Ibunda Di Sekolah
ii. Pengajaran Dan Pembelajaran Sains Dan Matematik Dalam Bahasa Inggeris (PPSMI)
iii. Memartabatkan Bahasa Melayu Dan Memperkukuhkan Bahasa Ingeris (MBMMBI)
iv. Penggunaan Bahasa Matematik

1.0 PENGGUNAAN BAHASA IBUNDA DI SEKOLAH

Pengenalan

Bahasa ibunda merupakan bahasa sendiri yang dipakai sejak kecil. Bahasa ibunda adalah penting dalam meningkatkan komunikasi sesama kaum dan merapatkan hubungan kekeluargaan dan kejiranan. Pengajaran dan pembelajaran yang menggunakan bahasa ibunda dapat meningkatkan kefahaman pelajar dalam pengajaran dan pembelajaran. Memaksimakan komunikasi dalam bilik darjah dan membolehkan pelajar lebih banyak berfikir. Di Malaysia terdapat tiga kaum yang majoriti iaitu Melayu, Cina dan India. Terdapat tiga jenis aliran sekolah iaitu Sekolah Kebangsaan, Sekolah Jenis Kebangsaan Cina dan Sekolah Jenis Kebangsaan Tamil.

1.1 Kesan Positif Penggunaan Bahasa Ibunda dalam Pengajaran

Guru lebih yakin dalam pengajaran dengan bahasa ibunda. Penyampaian konten menjadi lebih berkesan. Komunikasi antara guru dengan pelajar dapat dimaksimakan dan berlaku dengan berkesan. Pelajar juga lebih mudah memahami proses pembelajaran dan lebih berani menanyakan soalan. Justeru itu, keputusan pelajar dapat dipertingkatkan. Menurut Ketua Pengarah UNESCO, Irina Bokova di Paris pada 12 Mei 2011, kanakkanak akan lebih cemerlang jika didedahkan dengan pelajaran yang menggunakan bahasa ibunda khususnya di peringkat rendah. Beliau turut menyatakan bahawa terdapat bahawa terdapat bukti menunjukkan kanak-kanak di seluruh dunia seperti di Mexico dan Peru yang mendapat pendidikan peringkat rendah dalam bahasa ibunda akan cemerlang di bilik darjah. (Laman Utusan Malaysia Online 12 Mei 2011)

1.2 Kesan Negatif Penggunaan Bahasa Ibunda dalam Pengajaran

Salah satu kesukaran dalam melaksanakan pengajaran dalam Bahasa Ibunda ialah kesukaran guru, guru juga perlu menguasai Bahasa Ibunda dengan baik supaya dapat menyampaikan pengajaran dengan berkesannya. Oleh kerana Malaysia terdiri daripada pelbagai kaum, maka perkahwinan campur merupakan satu perkara yang biasa. Pelajar daripada keluarga yang mana ibu dan bapa daripada etnik yang berbeza akan mengalami kekeliruan memilih Bahasa Ibunda. Bahan rujukan yang digunakan di Malaysia kebanyakan dalam Bahasa Malaysia dan Bahasa Inggeris, ini akan menyebabkan guru menggunakan bahasa campur / rojak dalam pengajaran. Keadaan ini akan menyebabkan pelajar kurang menguasai bahasa sekunder seperti Bahasa Malaysia atau Bahasa Inggeris. Peringkat kolej dan universiti menggunakan Bahasa Malaysia atau Bahasa Inggeris sebagai bahasa pengantar. Pelajar yang belajar dalam Bahasa Ibunda akan mengalami kesukaran memahami pengajaran dalam bahasa yang kurang biasa digunakan.

1.3 Langkah Penyelesaian

Sekolah mewakili setiap kaum iaitu Sekolah Kebangsaan, Sekolah Jenis Kebangsaan Cina dan Sekolah Jenis Kebangsaan Tamil ditubuhkan. Penubuhan tiga jenis aliran sekolah membolehkan Pengajaran lebih berkesan tetapi menjejaskan pencapaian perpaduan. Oleh itu, cara penyelesaian yang paling baik ialah menubuhkan satu jenis sekolah sahaja di peringkat rendah dan menengah yang terdiri daripada berbilang kaum bagi menyelaraskan bahasa pengantar dalam pengajaran sains dan matematik. Ini dapat mewujudkan perpaduan antara kaum dan menyeragamkan bahasa yang digunakan dalam pengajaran sains dan matematik iaitu Bahasa Malaysia. Tetapi dengan menubuhkan satu jenis sekolah sahaja, pelajar bukan Melayu sukar memahami isi pengajaran. Bangsa Cina dan Tamil juga akan rasa tergugat. Mantan Perdana Menteri yang ke-4, Tun Dr. Mahathir Mohd telah mencadangkan penubuhan sekolah wawasan pada tahun 1997. Sekolah wawasan adalah sekolah rendah yang berkonsepkan belajar bersama-sama dalam satu kawasan yang sama tanpa mengira kaum atau agama. Dalam konsep ini, dua atau tiga buah sekolah berlainan aliran akan ditempatkan dalam kawasan yang sama. Setiap sekolah akan mempunyai bangunan sendiri yang boleh disambung antara satu sama lain dengan menggunakan jambatan berhubung. Tujuan dan matlamat sekolah wawasan adalah untuk mewujudkan perpaduan di kalangan pelajar yang berbagai bangsa dan latar belakang. Memupuk semangat integrasi antara pelajar dari pelbagai aliran. Melahirkan generasi yang mempunyai sifat toleransi dan persefahaman yang tinggi demi mewujudkan sebuah Negara yang bersatu padu. Mengalakkan interaksi yang maksimum antara semua warga sekolah melalui perkongsian kemudahan sekolah.

2.0 PENGAJARAN DAN PEMBELAJARAN SAINS DAN MATEMATIK DALAM BAHASA INGGERIS (PPSMI)

Pengajaran dan Pembelajaran Sains dan Matematik dalam Bahasa Inggeris yang lebih dikenali sebagai PPSMI telah dilaksanakan pada tahun 2003 setelah mantan Perdana Menteri Tun Dr. Mahathir Muhamad membuat pengumuman pada 10 Mei 2002. Tujuan pelaksanaan PPSMI adalah dengan matlamat supaya murid dapat menguasai ilmu Sains dan Matematik yang cepat berkembang dan kebanyakkanya adalah dalam Bahasa Inggeris. Dasar ini adalah persediaan murid untuk berdaya saing dengan negara lain pada masa hadapan yang penuh dengan cabaran. Namun, pelaksanaan ini di tentang oleh Domg Jiao Zong dan pertubuhan Cina agak kerajaan membenarkan Sekolah Rendah Jenis Kebangsaan Cina (SRJKC) terus menggunakan bahasa Cina untuk mengajar Sains dan Matematik (Keong, 2010). Lantaran itu, permohonan mereka diluluskan dengan menggunakan bahasa Cina dan Inggeris untuk mengajar dengan merangkakan formula PPSMI dwibahasa untuk pelajar tahap pertama. Sesetengah pelajar menganggapkan bahawa mata pelajaran matematik merupakan salah satu matapelajaran yang sukar kerana terdapat pelbagai rumus dan konsep yang perlu difahami. Tambahan pula, apabila sesi pembelajaran dan pengajaran dilakukan dalam Bahasa Inggeris dan lebih menyukarkan lagi bagi mereka. Akhirnya, dasar ini dimansuhkan sepenuhnya pada
tahun 2012 seperti yang diumumkan oleh Menteri Pelajaran Tan Sri Muhyiddin Yassin pada 8 Julai 2009 dan digantikan dengan dasar Memartabatkan Bahasa Melayu Memperkukuhkan Bahasa Inggeris (MBMMBI).

2.1 Kesan PPSMI

Pelbagai kesan yang kita dapati daripada pelaksanaan PPSMI sama ada dari sudut positif dan negatif. Namun, pelaksanaan ini mendapat tentangan hebat daripada masyarakat kerana boleh merosotkan keputusan pelajar dalam mata pelajaran matematik sekiranya diajar dalam bahasa Inggeris. Hasil kajian mendapati bahawa pencapaian matematik UPSR pada tahun 2009 untuk murid bandar telah merosot daripada 84.8% kepada 80.9% manakala pencapaian murid luar bandar merosot daripada 80.9% kepada 77 % (Malaysiakini, 8 Julai 2009). Masalah-masalah yang dihadapi pelajar adalah dengan sebutan dan pemahaman istilah matematik dalam bahasa Inggeris dalam menstrukturkan ayat. Ini menyebabkan pelajar jarang bertanya soalan kerana kesukara mereka berkomunikasi dalam bahasa Inggeris. Perubahan ini menyebabkan pelajar perlu mengambil masa untuk memahami perkataan- perkataan baru, konsep, simbol matematik yang terdapat dalam soalan. Laporan Trends in Mathematics Science Study (TIMSS) 2007 menunjukkan pencapaian murid Malaysia telah merosot dari tempat ke 10 pada tahun 2003 ke 20 bagi matematik dan bagi mata pelajaran sains dari tempat ke 20 pada tahun 2003 ke-21 pada tahun 2007. Hasil daripada kajian itu menunjukkan bahawa pelajar luar Bandar lebih sukar untuk memahami pembelajaran dan pengajaran dalam Bahasa Inggeris. Sekiranya kita lihat dari sudut pandangan positif dengan pelaksanaan PPSMI adalah penguasaan bahasa Inggeris di kalangan pelajar dapat ditingkat terutamanya pelajar luar bandar yang kebanyakkan lemah dalam Bahasa Inggeris. Mungkin pada permulaan pembelajaran agar susah bagi mereka untuk menerima perkataan Bahasa Inggeris, tetapi akan memberi satu kesan yang mendalam kepada mereka. Sebagai satu contoh kita akan berusaha untuk mencari maksud perkataan bahasa Inggeris dalam bahasa melayu sekaligus akan menambahkan lagi vocab kita . Tetapi, sekiranya kita belajar dalam Bahasa Melayu untuk kemungkinan kita untuk mencari dalam bahasa Inggeris agar tipis. Menurut Ketua Pengarah Pelajaran Datuk Alimuddin Mohd Dom, beliau berkata seramai 178,751 pelajar yang mengambil kertas matematik dalam Sijil Pelajaran Malaysia (SPM), 89.1% daripadanya menjawab dalam Bahasa Inggeris berbanding 4.7% dalam Bahasa Melayu. Ini bermakna
keyakinan mereka dalam menjawab soalan dalam Bahasa Inggeris semakin meningkat.(Berita Harian, 2009). Dalam kajian Keong pula (2010) menyatakan pada 9 Julai 2008, mantan Menteri Pendidikan Dato‟Seri Hishamuddin pula mengatakan keputusan peperiksaan Penilaian Menengah Rendah (PMR) dari tahun 2005 hingga 2007 menunjukkan pelaksanaan PPSMI di Sekolah Menengah tidak mempengaruhi keputusan pencapaian Sains dan Matematik. Dalam subjek matematik, peratusan yang lulus telah meningkat daripada 84.1% pada 2005 kepada 87% pada tahun 2007.

3.0 MEMARTABATKAN BAHASA MELAYU DAN MEMPERKUKUHKAN BAHASA INGERIS (MBMMBI)

Setelah pemansuhan PPSMI secara soft landing maka kedua-dua mata pelajaran tersebut diajar dalam dwibahasa mulai tahun 2010 di sekolah rendah dan menengah sebelum Memartabatkan Bahasa Melayu dan Memperkukuhkan Bahasa Inggeris (MBMMBI) dilaksanakan pada tahun 2011. Tujuan MBMMBI adalah untuk memastikan penggunaan Bahasa Melayu sebagai bahasa pengantar di semua sekolah rendah dan sekolah menengah serta memastikan murid boleh menguasai Bahasa Melayu dan Bahasa Inggeris dengan fasih dan betul. Memartabatkan Bahasa Melayu adalah meletakkan Bahasa Melayu pada tempat yang sepatutnya yang sesuai dengan kedudukan sebagai bahasa kebangsan yang termaktub dalam Perkara 152 Perlembagaan Malaysia. Bahasa Melayu juga merupakan bahasa pengantar utama pendidikan berdasarkan Akta Pendidikan 1996. Manakala memperkukuhkan Bahasa Inggeris adalah memantapkan penguasaan Bahasa Inggeris sebagai bahasa wajib dipelajari, bahasa komunikasi dan bahasa ilmu di peringkat nasional dan antarabangsa. Selain itu, adalah kerana Bahasa Inggeris merupakan bahasa komunikasi antarabangsa yang perlu dikuasai dengan baik dan berkesan dengan penerokaan di peringkat antarabangsa.

3.1 Antara Strategi MBMMBI Yang Dilakukan Oleh Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM)

1) Memartabatkan Bahasa Melayu

Pelbagai usaha kerajaan dalam memperkukuhkan Bahasa Melayu dengan penguasaan asas kemahiran berbahasa dengan melalui pendekatan modular yang bersepadu, seimbang dan holistik menerusi modul pembelajaran dan pengajaran. Selain itu, pengukuhan asas berbahasa dilakukan secara berstruktur dan sistematik dimana melului modul P&P dengan penerapan elemen dalam seni bunyi diperkukuhkan dalam asas berbahasa (Back to Basics) seperti pradengar, prabunyi, prabaca dan pratulis. Di samping itu, guru yang mengajar mata pelajaran ini perlu beropsyen Bahasa Melayu untuk memastikan kualiti dari segi pedagogi. Guru digalakkan menghadiri kursus peningkatan profesionalisme yang memberikan pendedahan tentang perkembangan terkini ilmu pedagogi dan juga perkembangan bahasa daripada pakar dan luar negara. 

2) Memperkukuhkan Bahasa Inggeris

Bagi memperkukuhkan Bahasa Inggeris, transformasi kurikulum Bahasa Inggeris sekolah rendah menitikberatkan penguasaan literasi asas dan pengukuhan Bahasa Inggeris melalui pendekatan modular. Manakala asas berbahasa (Back to Basic) memberi penekanan kepada Phonics di samping menerapankan elemen pembelajaran yang menyeronokkan dalam modul Language Arts. Selain itu, Model Standard British English digunakan sebagai panduan supaya setiap guru dapat merujuk kepada standard yang sama dari segi sebutan, penulisan dan tatabahasa. 

4.0 BAHASA MATEMATIK

Perkembangan matematik sentiasa selari dengan perkembangan tamadun manusia itu sendiri. Matematik bukan sahaja penting dalam kehidupan seharian, malah ia sering dihayati sebagai satu kesenian dan keindahan serta sebagai alat komunikasi. Dalam matematik, perhubungan idea-idea adalah melalui bahasa istimewa dan khusus. Kebanyakan orang beranggapan bahawa matematik itu terdiri daripada nombor, tanda dan simbol sahaja, yang disusun dalam bentuk persamaan. Mereka juga beranggapan bahawa matematik bersifat kuantitatif yang tiada unsur-unsur kualitatif dan bahasa dalamnya (Sufean, 1992). Bidang matematik mempunyai bahasanya tersendiri yang perlu dikembangkan dan diberi perhatian, khususnya oleh pendidik matematik. Persoalan utama dalam pendidikan matematik adakah para pendidik memahami akan apa yang dimaksudkan dengan matematik. Kalau ditanya, rata-rata pendidik mengatakan bahawa matematik adalah satu cabang ilmu yang berkait rapat dengan nombor. Pemahaman sedemikian rupa adalah sangat sempit. Matematik bukanlah sekadar berinteraksi dengan nombor semata-mata. Ianya mencakupi skop yang jauh lebih luas daripada itu. Matematik sebenarnya adalah bahasa universal yang unik yang menjangkau batasan sosial, budaya dan bahasa menggunakan simbol dan sintaksis yang diterima secara global. Menurut Inder (1982), Matematik adalah bahasa yang merupakan satu cara untuk menggambarkan, rakaman dalam ayat matematik dan menginterpretasi simbol yang digunakan untuk perhubungan. Matematik sebagai satu bentuk bahasa kerana matematik melibatkan komunikasi antara konsep dan simbol. Matematik boleh dikatakan sebagai bahasa kedua bagi seseorang individu selepas bahasa ibundanya seperti Kantonis, Tamil, Melayu dan Inggeris. Matematik dianggap sebagai bahasa segajat kerana penggunannya yang melibatkan pelbagai aplikasi dalam kehidupan seharian, samada mengira perbelanjaan harian di rumah, di tempat kerja ataudi kedai. Jadi boleh dikatakan bahawa bahasa Matematik adalah sangat unik. Beberapa perkara bagi memahami pembinaan bahasa Matematik dibincangkan secara terperinci dari segi idea matematik yang mempunyai tiga komponen utama iaitu linguistik, konsep dan prosedur.

1. Komponen Linguistik (bahasa Matematik)

Bahasa Matematik ialah bahasa kedua kepada seseorang individu ang mana bahasa matematik ini melibatkan komunikasi konsep melalui simbol. Konsep-konsep yang terdapat dalam bahasa Matematik adalah seperti klasifikasi, kuantiti, saiz, susunan, perhubungan, ruang, jarak, masa dan lain-lain. Menurut Ibrahim Md Noh (1994), apabila seseorang pelajar tidak dapat menyelesaikan masalah bercerita, punca masalah bukan daripada kelemahan dalam aritmetik sahaja, tetapi mungkin disebabkan oleh kelemahan penguasaan bahasa matematik. Bahasa matematik terdiri daripada tiga iaitu perbendaharaan kata matematik, sntaksis dan terjemahan dua hala.

a) Perbendaharaan Kata Matematik

Penguasaan perbendaharaan kata matematik pelajar bergantung kepada:

 Pengalaman sehariannya dengan kawan, keluarga dan persekitaran

 Perbendaharaan kata yang digunakan oleh guru sewaktu proses pengajaran
dan pembelajaran di dalam kelas.

 Tahap bahasa matematik yang digunakan oleh buku teks

b) Sintaksis

Sintaksis merupakan refleks kepada tatabahasa yang berhubungan antara perkataan dan ayat, ia menjadi formula kepada transformasi terhadap ayat bahasa melayu seperti ayat aktif, pasif atau ayat nyata. Secara analoginya, ia adalah sama formulanya dengan sesetengah transformasi dalam matematik. Dalam algebra, boleh dilihat bagaimana simbol dimanipulasi mengikut formula bahasa, tatabahasa bagi perwakilan simbol. Jadi, untuk meningkatkan penguasaan bahasa matematik pelajar guru perlu menngunakan pelbagai bentuk ayat yang mempunyai maksud yang sama dalam sesi pengajaran dan pembelajaran. 

Contohnya:

Soalan 20 - 8 = ?, boleh ditanya dalam beberapa cara seperti

 Cari beza antara 20 dengan 8

 Cari selisih antara 20 dengan 8

 Tolak 8 daripada 20

 Ambil 8 daripada 20

 20 dikurangkan 8 sama dengan berapa?

Sekiranya guru hanya menggunakan satu bentuk ayat sahaja (misalnya 20 tolak 8 sama dengan berapa?) pelajar akan mendapat masalah dalam peperiksaan di mana soalan mungkin ditanya dalam pelbagai entuk yang tidak pernah dijumpai oleh pelajar

c) Terjemahan Dua Hala

Antara kesulitan besar yang dialami oleh pelajar semasa menyelesaikan masalah bercerita ialah pelajar tidak dapat menukarkan maklumat yang terkandung dalam soalan (bahasa Melayu) kepada ayat matematik (bahasa matematik). Jadi, untuk menguasai kemahiran penyelesaian masalah pelajar perlu ada kemahiran dalam menterjemahkan masalah bercerita (dalam bahasa Melayu) kepada bahasa matematik dan sebaliknya. Guru juga perlu melatih pelajar supaya mereka dapat berfikir dalam bahasa matematik. Guru matematik juga perlu memberi soalan berbentuk soalan masalah bercerita berdasarkan ayat matematik (bahasa matematik ke bahasa melayu) selain daripada soalan penyelesaian masalah.

Tujuan utama memahami konsep asas bahasa ialah untuk mengenal pasti sesetengah komponen untuk berkomunikasi dengan bahasa matematik. Menurut Pimm (1987), di dalam kelas matematik, terdapat tiga dasar yang perlu diberi penekanan dalam subjek matematik iaitu makna, simbol atau cara perwakilan dan sintaksis.

2. Komponen Konsep

Dalam matematik, konsep merupakan satu perkara yang amat penting. Melalui pemahaman konsep, pelajar dapat menghurai dan mengetahui bagaimana, kenapa sesuatu simbol dan sesuatu tatacara (aritmetik) itu sedemikian. Pemahaman konsep membolehkan pelajar menerangkan dan mengesan tentang logik ilmu matematik. Pelajar boleh merujuk kepada konsep untuk mengetahui permasalahan dan memperbaikinya apabila ada sesuatu masalah yang timbul. Konsep dalam matematik diajar dan dikembangkan mengikut perkembangan kognitif pelajar. Jadi, konsep dalam matematik berubah-ubah mengikut situasi dan kondisi yang tertentu.

KESIMPULAN

Bahasa merupakan alat yang digunakan untuk berkomunikasi dalam pengajaran dan pembelajaran matematik. Melalui kemahiran berbahasa, komunikasi dalam pembelajaran dan pengajaran berjalan dengan lancar. Penggunaan bahasa yang beul di dalam kelas menjadikan pelajar itu dapat memahami matematik dan dapat menyelesaikan masalah dengan mudah. Di samping itu juga, penggunaan bahasa yang betul di dalam kelas membolehkan pelajar memperbetulkan salah faham mereka terhadap konsep istilah matematik yang digunakan di dalam kelas. Guru sepatutnya perlu tahu cara untuk berkomunikasi dengan pelajar dan seterusnya menggunakan pelbagai perkataan dan perbendaharaan kata bagi sesuatu istilah. Proses pembelajaran yang berkesan ialah pembelajaran yang melibatkan perhubungan dan perkongsian idea antara pelajar dan guru yang boleh dilihat melalui penggunaan bahasa oleh guru semasa berkomunikasi dengan pelajar.

Rujukan:

Abdullah Hassan dan Ainon Mohd (2000). Komunikasi Untuk Guru. Kuala Lumpur: Utusan Publications&Distributors Sdn Bhd.

Goldhaber, G.M. (1990). Komunikasi dalam organisasi. Kuala Lumpur. Dewan Bahasa dan Pustaka.

Harian Metro, Jumaat 13 Mac 2009

Ibrahim Md. Noh, 1994. “Reformasi Pendidikan Matematik: Keperluan -keperluanya” dalam Jurnal Matematik dan Sains. Bahagian Pendidikan Guru. Jilid I

Kementerian Pelajaran Malaysia (2012). Soalan Lazim MBMMBI. Dimuat Turun pada 25 Oktober 2015 http://www.moe.gov.my/my/soalan-lazim?cat=28

Keong., C.Y.(2010).Impak Pengajaran Sains dan Matematik dalam Bahasa Inggeris ke atas Pelajar Sekolah Rendah Jenis Kebangsaan Cina. 1:2(2010) 21-28

Laman Utusan Malaysia Online 12 Mei 2011

Malaysiakini , 8 Julai 2009

Sabri Ahmad, Tengku Zawawi Tengku Zainal & Aziz Omar (2006). “Isu-Isu Dalam Pendidikan Matematik”, Utusan Publication & Distributors Sdn Bhd, Kuala Lumpur

Trends in Mathematics and Science Study 2003 (TIMSS) International Press release. http://nces.ed.gov/timss/results03.asp

ISU 3: ISU MENYEDIAKAN KESAMARATAAN AKSES KEPADA PENDIDIKAN BERKUALITI BERTARAF ANTARABANGSA

Pendidikan matematik adalah pendidikan yang memberi penekanan kepada perkembangan pelajar secara menyeluruh termasuk perkembangan kognitif, sikap, psikomotor dan penerapan nilai-nilai murni untuk menjadikan rakyat berguna selaras dengan Falsafah Pendidikan Kebangsaan. Matlamat pendidikan matematik pula adalah untuk membentuk individu yang berfikiran matematik, berketrampilan mengaplikasikan pengetahuan matematik dengan berkesan, bertanggungjawab dalam menyelesaikan masalah dan membuat keputusan, berupaya menangani cabaran dalam kehidupan harian hasil perkembangan sains dan teknologi. Seperti yang kita ketahui, matematik berkait rapat dengan kehidupan seharian manusia yang mana penggunaan matematik telah meliputi pelbagai jenis aktiviti. Kemajuan negara bergantung kepada kemajuan sains dan teknologi, perkembangan perdagangan dan ekonomi yang berkait rapat dengan penggunaan matematik. (Mok Soon Sang, 1996). Justeru itu adalah penting sekiranya setiap pelajar diberikan peluang untuk menikmati pendidikan matematik yang bukan sahaja luas tetapi juga adil, saksama serta bermutu. Akses dan ekuiti dalam pendidikan matematik didefinisikan sebagai hak semua individu mendapatkan pengetahuan matematik dengan sempurna dan mendapat peluang seluasnya bagi mencapai tahap tertinggi dalam pengetahuan matematik melalui pendidikan sama rata.

Dalam proses pengajaran dan pembelajaran (P&P) matematik, dua elemen penting yang terlibat adalah guru dan juga pelajar. Proses pengajaran dan pembelajaran matematik seharusnya melibatkan secara aktif antara guru dan pelajar supaya penyampaian guru dan penerimaan pelajar terhadap perkara yang dipelajari berjaya tanpa berlaku sebarang halangan. Namun begitu, sehingga kini ialah masih terdapat pelbagai isu yang timbul berkaitan dengan akses dan ekuiti dalam pendidikan yang membawa kepada halangan atau cabaran dalam pendidikan matematik di institusi-institusi pengajian di Malaysia. Keadaan ini dinyatakan oleh Noraini Idris, (2005) dalam buku beliau, dalam proses P&P matematik, terdapat kekuatan dan kekurangan serta halangan dalam proses pengajaran. Pelan Pembangunan Pendidikan Malaysia 2013-2025 dihasilkan berhasrat untuk mencapai lima keberhasilan bagi sistem pendidikan Malaysia secara keseluruhan, iaitu akses, kualiti, ekuiti, perpaduan, dan kecekapan. Keberhasilan yang ditetapkan ini adalah selari dengan aspirasi yang turut disuarakan oleh peserta semasa Dialog Nasional dan setanding juga dengan keberhasilan yang ditetapkan oleh sistem pendidikan berprestasi tinggi yang lain.

ISU-ISU BERKAITAN PERGURUAN

1.1 PENEMPATAN GURU

Mengikut statistik Kementerian Pelajaran pada April 2010 mendapati bilangan guru lelaki berkhidmat di sekolah kini ialah 126,580 manakala guru wanita 279,650 orang.(Rifaat, 2010). Salah satu isu hangat yang diperbincangkan adalah Kementerian Pelajaran Malaysia (KPM) menghadapai masalah untuk menempatkan guru perempuan di sekolah luar bandar khususnya di pedalaman dan pulau. Tambahan pula penempatan guru menjadi lebih sukar apabila terdapat rungutan dari guru-guru yang ditawarkan ke kawasan luar bandar. Kebanyakan mereka sukar menerima tawaran tersebut kerana faktor kedudukan sekolah yang jauh dan kemudahan yang terhad, malah ada yang sanggup memilih untuk menganggur daripada dihantar bertugas di bahagian pedalaman. Hal ini menyebabkan timbul permasalahan dalam ketidaksepadanan pengagihan guru mengikut opsyen sebenar. Guru yang mengajar tidak mengikut opsyen menyebabkan akses dan ekuiti dalam pendidikan menjadi tidak berjaya. Tambahan pula jika melibatkan subjek-subjek kritikal seperti Matematik, Sains dan Bahasa Inggeris. Guru bukan opsyen mempunyai pengetahuan yang agak terbatas dan tidak mampu menyampaikan ilmu tersebut secara menyeluruh. Akibatnya, murid merasa kurang berkeyakinan terhadap guru tersebut dan seterusnya menghilangkan minat pelajar untuk mempelajari subjek yang diajar oleh guru berkenaan.

1.2 TUNTUTAN TEMPAT KERJA

Laporan Nilai Prestasi Tahunan (LNPT) diwujudkan bagi menentukan kecemerlangan dan kenaikan pangkat penjawat awam. Markah LNPT tersebut akan dinilai oleh Ketua jabatan masing-masing. Namun begitu, salah satu isu yang hangat diperbincangkan ialah apabila Ketua Jabatan menetapkan markah LNPT bergantung dengan keputusan pembelajaran pelajar. Apabila guru terikat dengan situasi tersebut, ada kemungkinan timbul pemasalahan di mana guru hanya memfokuskan pembelajaran ke atas tajuk-tajuk di dalam subjek matematik yang akan diuji dalam peperiksaan sahaja. Tambahan pula, soalan yang ditanya lebih menjurus persoalan teori berbanding persoalan kemahiran. Selaras dengan status dan pentingnya mata pelajaran matematik, pihak Kementerian Pelajaran Malaysia telah berusaha mempertingkatkan bilangan pelajar dalam aliran sains dan bukan sains kepada nisbah 60:40 dengan harapan mampu mencapai sebuah negara maju seperti yang tercatat dalam Wawasan 2020. Namun begitu, hasrat kerajaan ini tidak akan tercapai jika gaya pengajaran guru hanya memfokuskan pembelajaran matematik berdasarkan penguasaan konsep atau memfokuskan pembelajaran sekadar untuk menjawab soalan peperiksaan. Ini adalah kerana gaya pengajaran seperti ini tidak akan dapat membantu pelajar untuk mengaplikasikan pengetahuan matematik mereka kelak.

1.3 KEMAHIRAN KOMUNIKASI

Pengajaran yang berkesan memerlukan komunikasi yang bersesuaian bagi membolehkan proses pengajaran dan pembelajaran berjaya. Penggunaan bahasa yang sesuai di dalam kelas mampu mempertingkatkan kefahaman pelajar dengan lebih baik. Adalah menjadi perkara utama bagi setiap guru perlu mengenal pasti terlebih dahulu latar belakang pelajar agar pemilihan bahasa yang bakal digunakan dalam kelas dapat difahami oleh semua pelajar. Sebagai contoh, penggunaan Bahasa Inggeris sebagai medium penyampaian pengajaran matematik adalah kurang sesuai jika pelajar di dalam kelas majoriti lemah dalam penguasaan Bahasa Inggeris. Ini kerana dikhuatiri konsep di dalam ilmu matematik yang ingin disampaikan tidak sampai kepada pelajar. Maka sudah pasti berlaku kegagalan akses dan ekuiti dalam pendidikan matematik. Menurut Ketua Pengarah Pertubuhan Pendidikan, Saintifik, Kebudayaan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNESCO), Irina Bokova, secara prinsipnya UNESCO menggalakkan pihak sekolah mengajar dalam bahasa ibunda terutama bagi murid di peringkat sekolah rendah. Masalah lain yang turut menyumbang kepada kemerosotan prestasi murid ialah kelemahan dalam kalangan guru sendiri yang tidak mampu menyampaikan ilmu itu dalam bahasa Inggeris dengan baik.

1.4 INTERAKSI SOSIAL

Pendidikan adalah lebih sinonim dengan suatu proses pengajaran dan pembelajaran yang melibatkan perhubungan atau komunikasi dan interaksi di antara guru dan murid-muridnya. Di dalam kelas, guru merupakan medium utama dalam mendidik pelajar untuk berjaya. Guru sering dianggap model kepada pelajar. Namun begitu, apabila guru menunjukkan sikap negatif pada murid maka kepercayaan pelajar kepada guru akan menurun. Sebagai contoh, penggunaan bahasa yang kasar dan kesat di dalam kelas hanya membuatkan pelajar berasa tidak selesa di dalam kelas sekaligus mengakibatkan pelajar hilang motivasi untuk menuntut ilmu. Selain itu, sikap guru yang garang serta suka menghukum juga boleh membantutkan minat pelajar untuk belajar apatah lagi untuk berinteraksi dengan guru bagi bertanyakan soalan yang kurang faham. Secara tidak langsung, situasi tersebut boleh menimbulkan masalah kebimbangan dikalangan pelajar untuk mempelajari matematik. Tambahan pula, mata pelajaran matematik sering dianggap mata pelajaran yang membosankan dan kurang digemari dikalangan pelajar. Sehubungan itu, akan mengakibatkan kegagalan akses dan ekuiti dalam pendidikan khususnya pendidikan matematik. Guru perlu sentiasa bersikap positif kepada pelajar-pelajar, dengan menggunakan percakapan-percakapan yang baik, budi pekerti yang halus dan lemah lembut, sehinnga terbukalah hati para pelajar untuk menerima ilmu guru dengan baik.

ISU-ISU BERKAITAN PELAJAR

2.1 PELAJAR KURANG UPAYA

Salah satu jenis masalah pembelajaran pelajar matematik ialah mempunyai masalah Diskalkulia. Pelajar-pelajar yang mempunyai masalah ini sukar untuk memahami konsep nombor walaupun yang mudah, selain itu mereka juga sukar untuk mengingati simbol matematik seperti tambah, darab, tolak dan bahagi. Pelajar Diskalkulia juga tidak dapat membezakan nilai besar dan nilai kecil. Kebolehcapaian pelajar-pelajar Diskalkulia ini terhadap subjek matematik akan terus berkurangan kerana guru-guru tidak mengasingkan pelajar-pelajar ini daripada pelajar normal kerana guru-guru beranggapan pelajar-pelajar ini juga normal kerana mereka boleh mempelajari subjek vokasional dengan baik. Kos yang tinggi juga diperlukan untuk proses pengajaran dan pembelajaran (P&P) pelajar kurang upaya (OKU). Pemerhatian daripada pakar kepada pelajar OKU sangat kurang, walaupun secara realitinya pelajar-pelajar OKU ini lebih memerlukan pakar-pakar untuk memastikan mereka tidak terus ketinggalan dalam menguasai mata pelajaran matematik.

2.2 PENGHAFALAN SEBELUM KEFAHAMAN

Pelajar masa kini lebih senang menghafal jalan kerja tanpa memahami konsep terlebih dahulu. Oleh itu mereka tidak akan dapat menguasai keseluruhan topik, mereka juga akan mempunyai masalah jika diberikan soalan aplikasi, selain itu mereka tidak akan dapat menerangkan mengapa mereka menggunakan sesuatu langkah jalan kerja untuk menyelesaikan sesuatu soalan itu. Apabila pelajar-pelajar ini menghafal, mereka tidak akan dapat memberi anggaran untuk menyemak jawapan. Dapat dikatakan bahawa pelajar yang menghafal akan mempunyai kebolehcapaian yang terhad terhadap mata pelajaran matematik.

2.3 PELAJAR BERPENCAPAIAN RENDAH

Guru-guru yang sibuk mengejar silibus secara realitinya akan meninggalkan pelajar yang lemah terus dibelakang. Pelajar-pelajar yang lemah ini dapat dikenalpasti melalui rekod prestasi mereka, pemerhatian guru ataupun melalui ujian. Pelajar lemah atau yang berpencapaian rendah ini menghadapi kesukaran untuk memberi perhatian kepada langkah yang terlibat dalam penyelesaian masalah. Mereka dapat menyelesaikan soalan yang melibatkan satu langkah tetapi tidak dapat menyelesaikan soalan yang melibatkan banyak langkah penyelesaian. Pelajar berpencapaian rendah juga mempunyai masalah untuk mengingati langkah penyelesaian dan mempunyai masalah keupayaan visual-ruang, iaitu lemah untuk sistem garis lurus, garis nombor, menentukan arah dan mengagak jarak. Pelajar berpencapaian rendah akan menerima pendekatan P&P yang sama dengan pelajar normal lain. Oleh sebab itu, mereka akan terus lemah dalam matematik dan yang paling penting mereka juga akan lemah dalam kemahiran asas seperti pecahan dan peratus yang penting untuk meneruskan pengajian ke peringkat tinggi dan untuk kegunaan seharian.

2.4 KECERDASAN LOGIK-MATEMATIK

Pelajar yang tidak mempunyai kecerdasan logik-matematik ataupun lebih dikenali sebagai pelajar otak kanan lebih cenderung untuk subjek-subjek seni seperti muzik dan lukisan. Melalui teori otak Triune, setiap individu akan lebih cenderung untuk menggunakan salah satu belahan otak yang dominan dan sebelah otak lagi akan berada dalam keadaan tenang. Oleh itu pelajar otak kanan akan menganggap matematik sebagai satu mata pelajaran yang mana para pelajar perlu mengikuti peraturan yang diajar oleh guru walaupun mereka tidak memahami peraturan tersebut (Noraini Idris, 2005). Seterusnya pelajar-pelajar ini hanya akan menggunakan strategi yang diajar oleh guru sahaja tanpa memikirkan kaedah lain. Kesannya mereka tidak akan berkeupayaan tinggi dan cemas apabila berhadapan dengan soalan aplikasi. Oleh itu, pelajar otak kanan ini perlu diberi lebih bimbingan untuk memastikan kebolehcapaian mereka terhadap subjek matematik meningkat.

2.5 LATAR BELAKANG KELUARGA

Pelajar yang mempunyai ibu bapa yang tidak berpelajaran selalunya akan kurang kebolehcapaian mereka terhadap matematik. Ini kerana ibu bapa mereka tidak dapat membantu mengajar mereka dirumah. Pelajar juga tidak akan bermotivasi untuk belajar hingga cemerlang kerana persekitaranya hanya dikelilingi orang tidak berpelajaran tinggi. Pendapatan keluarga yang kurang juga akan menghalang kebolehcapaian pelajar terhadap mempelajari matematik. Pelajar yang tidak mampu untuk kesekolah akan terus tidak mempelajari matematik. Ada juga pelajar-pelajar ini ke sekolah, tetapi mereka tidak mampu untuk mengikuti kelas tambahan ataupun membeli buku rujukan. Oleh itu kebolehcapaian mereka terhadap mata pelajaran matematik tidak akan sama dengan pelajar yang lahir dari keluarga berpendapatan tinggi. Pembelajaran pelajar juga dipengaruhi oleh pendidikan keluarga. Sebagai contoh pelajar yang lahir dari keluarga seni akan lebih cenderung untuk mempelajari dengan mendalam mata pelajaran yang berkaitan seni. Pelajar ini akan kurang untuk dibimbing mempelajari mata pelajaran yang sedikit jauh dari bidang mereka seperti matematik.

CADANGAN TERHADAP ISU-ISU

Penerapan nilai dalam pengajaran dan pembelajaran dalam pendidikan Matematik perlu diterap secara tersurat atau tersirat di dalam bilik darjah supaya kebolehcapaian pengetahuan Matematik dapat diterima sepenuhnya oleh pelajar. Amalan guru dalam pengajaran bilik darjah, sama ada melalui tutur kata ataupun tindakan, menggambarkan nilai yang terterap dalam pengajaran bilik darjah. Sekiranya nilai pengajaran Matematik diterapkan di dalam bilik darjah berkemungkinan besar pelajar boleh mendapatkan pengetahuan Matematik dengan sempurna dan mendapat peluang seluasnya bagi mencapai tahap tertinggi dalam pengetahuan Matematik. Sebagai guru, khususnya guru subjek Matematik haruslah mempunyai pendekatan pengajaran yang menarik minat para pelajar untuk mempelajari Matematik.

Hukuman sekiranya digantikan dengan penghargaan atau kata-kata nasihat yang berguna adalah lebih bermakna kepada pelajar bagi meningkatkan motivasi pelajar sendiri untuk mempelajari Matematik. Aspek kesedaran dan kesediaan guru sendiri yang tidak kurang pentingnya bagi mencapai matlamat pengajaran yang berkesan. Guru perlu benar-benar mengenali serta faham akan masalah setiap orang murid secara individu, menguasai kurikulum serta kaedah dan teknik pengajaran, guru sentiasa bermuhasabah untuk menilai pengajaran sendiri secara ikhlas setiap masa dan sentiasa meluaskan pengetahuan dan kemahiran melalui pembacaan, peningkatan taraf akademik dan professional dengan melanjutkan pelajaran, mengikuti kursus, seminar, bengkel dan seumpamanya.

Vaughn et al. (2003) menyarankan guru seharusnya memberikan hak kesamaan kepada pelajar berpencapaian rendah di dalam pengajarannya, antara cadangan dalam memberikan hak kesamaan kepada pelajar pencapaian rendah di dalam kelas yang pelbagai pencapaian adalah memanggil pelajar yang berpencapaian rendah sekerap mungkin seperti mana guru memanggil pelajar yang lain, elakkan daripada sering menyuruh pelajar berpencapaian tinggi membetulkan kesalahan pelajar berpencapaian rendah dan guru perlu elakkan daripada membezakan kurikulum, bahan dan kaedah pengajaran, bagi mengelakkan tanggapan masyarakat bahawa mereka adalah pelajar berpencapaian rendah. Memberi hak kesamaan kepada pelajar yang berpencapaian rendah ini boleh memberikan diri mereka rasa dihargai dan memotivasikan mereka supaya lebih berusaha untuk berjaya khususnya dalam subjek Matematik.  Seorang guru perlu kreatif agar menjadikan pengajaran lebih menarik dan berkesan. Kemahiran juga amat diperlukan dalam proses pengajaran selain penguasaan ilmu pengetahuan. Fokus perlu diberikan sepenuhnya terhadap proses pengajaran serta faktor-faktor yang dapat mempertingkat dan memperkembang ke arah mewujudkan amalan pengajaran guru yang berkesan.

Penekanan peperiksaan awam yang berasaskan kandungan diubah kepada peperiksaan yang lebih berasaskan kemahiran atau daripada bersifat ujian pencapaian kepada ujian kebolehan am. Dengan penghasilan sistem penilaian ini, maka para guru Matematik seharusnya tidak terlalu terikat dengan sistem penilaian yang hanya berorientasikan peperiksaan yang mengakibatkan para pelajar dididik untuk mempelajari subjek Matematik hanya untuk berjaya di dalam peperiksaan dan tidak dapat mengaplikasikannya dalam kehidupan seharian. Oleh itu, kajian sistem penilaian seharusnya sentiasa diperhalusi lagi supaya kemantapannya lebih analitik mengikut peredaran zaman.

Pelaksanaan Memartabatkan Bahasa Malaysia dan Memperkukuhkan penguasaan Bahasa Inggeris (MBMMBI) mula dilaksanakan pada tahun 2012. Secara rasionalnya, penggunaan bahasa Inggeris sebagai bahasa pengantar Sains dan Matematik di sekolah rendah dan menengah menghakis kepentingan bahasa Malaysia sebagai bahasa ilmu dalam bidang tersebut. Kebanyakan negara di dunia berusaha keras untuk memartabatkan bahasa kebangsaan mereka masing-masing sebagai bahasa ilmu jadi negara Malaysia juga perlu mencontohi negara-negara lain yang menggunakan bahasa ibunda mereka sebagai bahasa pengantar terutamanya dalam subjek Matematik supaya pengetahuan ilmu Matematik yang disampaikan oleh pengajar itu dapat diterima dan difahami pelajar dengan sebaiknya.

Sebagai pelajar seharusnya mereka belajar bukan hanya untuk berjaya di dalam peperiksaan, malah mereka perlu belajar bagaimana untuk mengaplikasikan konsep di dalam kehidupan seharian contohnya dalam pelajaran Matematik khususnya, pelajar harus tahu cara yang terbaik untuk menggunapakai konsep Matematik yang dipelajari untuk kemudahan di dalam kehidupannya. Gaya pembelajaran yang diamalkan oleh setiap individu adalah berbeza di antara satu sama lain. Di samping itu, pelajar juga menyatakan mereka memerlukan dorongan dan memberi tumpuan yang lebih pada mempelajari perkara baru atau tugasan yang dinilai. Oleh itu, untuk keberkesanan pembelajaran adalah dicadangkan para pengajar khususnya subjek Matematik perlu memberi tumpuan kepada unsur emosi pelajar.

KESIMPULAN

Pendidikan berkait rapat dengan kehidupan kerana pendidikan memainkan peranan yang penting dalam menentukan kehidupan manusia sama ada masa kini atau masa depan. Pendidikan yang diberikan seharusnya memberi tumpuan kepada aspek akses dan ekuiti yang bermaksud peluang pendidikan sama rata kepada semua dan juga pendidikan berkualiti yang sepatutnya diterima oleh semua. Dalam konteks pendidikan matematik, guru matematik dan pelajar khususnya perlu memainkan peranan masing-masing bagi mencapai akses dan ekuiti pendidikan matematik. Disamping itu, pihak-pihak lain seperti Kementerian Pelajaran Malaysia, pentadbir sekolah dan juga ibu bapa perlu bersama-sama menunjukkan sikap yang positif terhadap pendidikan matematik agar pendidikan yang diberikan dapat melahirkan individu yang cemerlang dan berdaya saing yang mampu merealisasikan hasrat negara untuk menjadi sebuah negara maju dalam semua dimensi khususnya ekonomi.

RUJUKAN

Kementerian Pelajaran Malaysia (2012). Laporan Awal Pelan Pembangunan Pendidikan Malaysia 2013-2025.
Mohd Rifaat Abd Hamid. Harian Metro . (30/08/2010)Lambakan Guru Wanita – Di mana guru lelaki?
Mok Soon Sang (1996). Siri Pendidikan Perguruan Pengajian Matematik Untuk Diploma Perguruan . Selangor: Kumpulan Budiman Sdn Bhd.
Noraini Idris. (2005). Pedagogi Dalam Pendidikan Matematik. Kuala Lumpur: Utusan Publications & Distributors Sdn. Bhd.
Vaughn, S. B. (2003). Teaching Exceptional, Diverse, And At-Risks Students In The General Education Classroom (3rd Ed). Boston: Allyn And Bacon.


ISU 3: ISU MENYEDIAKAN KESAMARATAAN AKSES KEPADA PENDIDIKAN BERKUALITI BERTARAF ANTARABANGSA

Pada Oktober 2011, Kementerian Pendidikan telah melancarkan kajian semula sistem pendidikan negara secara menyeluruh dalam usaha membangunkan Pelan Pembangunan Pendidikan Malaysia yang baharu. Dalam tempoh 15 bulan (Oktober 2011 hingga Disember 2012), Kementerian telah memperoleh input daripada pelbagai sumber seperti laporan penyelidikan yang dijalankan oleh pakar pendidikan dari UNESCO, Bank Dunia, OECD, dan enam Institusi Pengajian Tinggi Awam. Kajian ini juga melibatkan pemimpin sekolah, guru, ibu bapa, murid, dan orang ramai di seluruh negara. Pelan Pembangunan Pendidikan Malaysia 2013-2025  dihasilkan dengan menilai prestasi semasa sistem pendidikan negara dengan mengambil kira pencapaian lampau dan membandingkannya dengan tanda aras antarabangsa. Pelan ini melakarkan visi sistem pendidikan dan aspirasi murid yang dapat memenuhi keperluan negara pada masa depan. Pelan ini juga mencadangkan 11 anjakan strategik dan operasi yang perlu dilaksanakan oleh Kementerian bagi mencapai visi yang dihasratkan.
11 ANJAKAN UNTUK TRANSFORMASI SISTEM PENDIDIKAN
Anjakan 1: Menyediakan kesamarataan akses kepada pendidikan berkualiti bertaraf Antarabangsa
Anjakan 2: Memastikan setiap murid menguasai kemahiran dalam bahasa malaysia dan bahasa inggeris
 dan digalakkan mempelajari bahasa tambahan
Anjakan 3: Melahirkan rakyat  yang menghayati  nilai
Anjakan 4: Mentransformasi profesion keguruan menjadi profesion pilihan
Anjakan 5: Memastikan kepimpinan berprestasi tinggi ditempatkan di setiap sekolah
Anjakan 6: Mengupaya jpn, ppd dan sekolah untuk menyediakan penyelesaian khusus berasaskan keperluan
Anjakan 7: Memanfaatkan ict  bagi meningkatkan kualiti pembelajaran di malaysia
Anjakan 8: Mentransformasi kebolehan dan keupayaan penyampaian kementerian
Anjakan 9: Bekerjasama dengan ibubapa, komuniti, dan.sektor swasta secara meluas
Anjakan 10: Memaksimumkan keberhasilan murid bagi setiap ringgit
Anjakan 11: Meningkatkan ketelusan untuk kebertanggungjawaban awam secara langsung

Aspirasi sistem Pelan Pembangunan Pendidikan Malaysia 2013-2025 berhasrat untuk mencapai lima keberhasilan bagi sistem pendidikan Malaysia secara keseluruhan, iaitu akses, kualiti, ekuiti, perpaduan, dan kecekapan. Keberhasilan yang ditetapkan ini adalah selari dengan aspirasi yang turut disuarakan oleh peserta semasa Dialog Nasional dan setanding juga dengan keberhasilan yang ditetapkan oleh sistem pendidikan berprestasi tinggi yang lain. Kementerian berhasrat memastikan kadar akses sejagat dalam kalangan kanak-kanak dari peringkat prasekolah hingga ke peringkat menengah atas (Tingkatan 5) menjelang tahun 2020. Dari segi kualiti, kementerian berharap kedudukan sistem pendidikan negara diletakkan dalam kelompok sepertiga teratas dalam pentaksiran antarabangsa mengikut pengukuran Kajian Trend Pendidikan Matematik dan Sains Antarabangsa (TIMSS) dan Program Penilaian Pelajar Antarabangsa (PISA) yang menguji bacaan, Matematik dan Sains dalam tempoh 15 tahun. Selain itu, jurang pencapaian antara murid bandar dengan luar bandar, tahap sosioekonomi dan pencapaian antara gender sehingga 50 peratus menjelang 2020 juga diharap dapat dirapatkan serta menjana suatu sistem pendidikan yang memberi peluang kepada murid berkongsi pengalaman berinteraksi dengan pelbagai etnik bagi memperkukuh asas perpaduan rakyat. Dari segi kecekapan, walaupun kerajaan terus mengekalkan tahap pelaburan semasa, kementerian berhasrat untuk memaksimum keberhasilan murid mengikut tahap peruntukan semasa. Selain keberhasilan sistem pendidikan, setiap murid juga perlu berupaya untuk bersaing pada peringkat global.
ISU MENYEDIAKAN KESAMARATAAN AKSES KEPADA PENDIDIKAN BERKUALITI BERTARAF ANTARABANGSA
Asas kejayaan sistem persekolahan bergantung kepada apa yang murid mesti tahu, faham, dan mampu lakukan. Sejak dahulu lagi, murid Malaysia berkebolehan mengemukakan semula kandungan mata pelajaran yang diikuti. Walau bagaimanapun, kemahiran ini kurang penting dalam ekonomi yang sentiasa berubah pada masa ini. Sebaliknya, murid perlu ada keupayaan menaakul, membuat unjuran, dan mengaplikasi pengetahuan secara kreatif dalam suasana baharu yang berlainan. Murid juga memerlukan ciri kepimpinan untuk bersaing di peringkat global.
Pentaksiran antarabangsa TIMSS dan PISA menunjukkan murid di Malaysia sukar mengaplikasi kemahiran berfikir aras tinggi. Sepanjang dua dekad yang lalu, pentaksiran antarabangsa seperti Programme for International Student Assessment (PISA) dan Trends in International Mathematics and Science Study (TIMSS), telah muncul sebagai kaedah perbandingan langsung tentang kualiti keberhasilan pendidikan merentas pelbagai sistem. Kaedah ini mentaksir pelbagai kemahiran kognitif seperti aplikasi dan penaakulan. Ketika Malaysia mengambil bahagian dalam TIMSS buat julung kalinya pada 1999, skor purata murid mengatasi purata antarabangsa dalam Matematik dan Sains. Statistik terbaru daripada Trends in International Mathematics and Science Study (TIMSS) bagi tahun 2011 yang menunjukkan purata skor Matematik telah jatuh dari 474 mata pada tahun 2007 kepada 440 pada tahun 2011. Manakala skor purata mata pelajaran Sains pula telah jatuh merudum pada skala yang lebih besar lagi iaitu dari 471 mata pada tahun 2007 kepada 426 mata pada tahun lepas. Di dalam laporan tersebut, ranking Malaysia dalam pembelajaran Matematik juga telah jatuh pada kedudukan 26 pada tahun 2011 daripada kedudukan 20 pada tahun 2007. Ranking dalam pembelajaran Sains juga telah merudum jatuh daripada kedudukan di ranking 21 pada tahun 2007 kepada ranking 32 pada tahun 2011. Murid ini dikenal pasti memiliki penguasaan konsep asas matematik dan sains yang terhad.

Keputusan PISA (Programme for International Student Assessment) pada tahun 2009 (penyertaan kali pertama Malaysia) juga tidak memberangsangkan kerana kedudukan Malaysia terletak dalam kelompok sepertiga terbawah dalam kalangan 74 negara peserta. Pencapaian ini juga meletakkan Malaysia di bawah pencapaian purata antarabangsa dan Organisation for Economic Co-operation and Development (OECD). Hampir 60% murid berumur 15 tahun yang menyertai PISA (2009) gagal mencapai tahap kemahiran minimum dalam Matematik, manakala 44% dalam Bacaan dan 43% dalam Sains tidak mencapai tahap kemahiran minimum. Perbezaan skor sebanyak 38 mata dalam skala PISA adalah bersamaan dengan satu tahun persekolahan. Perbandingan skor ini menunjukkan murid berumur 15 tahun di Singapura, Korea Selatan, Hong Kong dan Shanghai mempunyai prestasi tiga atau lebih tahun persekolahan berbanding murid berumur 15 tahun di Malaysia. Malaysia nampaknya terperangkap di tangga sepertiga terbawah di kalangan negara-negara yang mengambil bahagian dalam penilaian antarabangsa dan tidak mencatatkan sebarang kemajuan. Ini boleh dilihat pada keputusan PISA 2012 Malaysia yang lebih buruk berbanding PISA 2010:
Matematik
Sains
Bacaan
2010
2012
2010
2012
2010
2012
Skor
404
421
422
420
414
398
Tangga
57
52
52
53
55
59

Selain berada di tangga sepertiga terbawah, Malaysia dipintas oleh negara-negara lain dalam kelompok itu, misalnya Kazakhstan yang perbezaan skor matematiknya dengan Malaysia semakin meningkat, iaitu dari hanya satu mata dalam PISA 2010 (Kazakhstan 405, Malaysia 404) kepada 11 mata dalam PISA 2012 (Kazakhstan 432, Malaysia 421) selain memintas Malaysia dalam subjek sains (PISA 2009: Kazakhstan 400, Malaysia 422; PISA 2012: Kazakhstan 425, Malaysia 420). Satu lagi contoh ialah Thailand yang mengatasi Malaysia dan melebarkan jurang perbezaan dalam ketiga-tiga subjek:
(2012 PISA)
Matematik
Sains
Bacaan
Thailand
427
444
441
Malaysia
421
420
398

Lebih membimbangkan, jurang perbezaan antara Malaysia dan negara-negara yang berpencapaian terbaik semakin lebar dalam PISA 2012. Menurut keputusan PISA pada 2012, pelajar Malaysia hanya mendapat markah di bawah purata atau berada di tangga 52 daripada 65 negara. Malah, pelajar Vietnam berada di tangga ke-17 daripada 65 negara itu.  Malaysia pula hanya mendapat 0.9% pecahan pencapai tinggi berbanding 29.3% diperoleh Singapura. Pecahan Malaysia di bawah peratusan purata iaitu 11.4%. Ini menunjukkan hanya seorang daripada 10 pelajar Malaysia, berusia 15 tahun, yang mampu menyelesaikan masalah paling kompleks, dibandingkan dengan seorang daripada lima pelajar di Singapura, Korea Selatan dan Jepun. Malaysia memperolehi 29.1 dalam kadar penyelesaian bagi tugasan mengukur pemerolehan pengetahuan dan 29.3 untuk tugasan penggunaan pengetahuan sementara Singapura mendapat markah 62 dan 55.4 masing-masing bagi tugasan berkenaan, jauh lebih tinggi daripada markah purata semua negara iaitu 45.5 dan 46.4.

Dalam kajian Kementerian Pendidikan dikatakan terdapat tiga faktor yang menyumbang kepada keputusan terendah berbanding negara-negara lain iaitu:
1.      Sikap pelajar yang tidak menjawab dengan bersungguh-sungguh
·         Dalam hal ini, ramai murid yang menyertai PISA tidak bersungguh-sungguh menjawab soalan PISA kerana mereka menganggap penilaian ini tidak penting. Oleh yang demikian, semasa pelaksanaan ujian PISA dijalankan, banyak soalan yang tidak dijawab oleh murid.
2.      Format soalan PISA yang berbeza daripada format soalan peperiksaan Malaysia yang lebih ringkas
·         Jika dilihat dan diteliti, soalan PISA lebih berbentuk teks panjang yang memerlukan pemahaman, terjemahan dan refleksi dengan kehidupan sebenar. Soalan peperiksaan awam adalah lebih ringkas dan berdasarkan rajah serta jadual. Oleh sebab itu, pelajar lebih menunpukan perhatian kepada peperiksaan awam dan kurang  serius ketika menjawab soalan-soalan ujian PISA. Selain itu, bentuk jawapan dalam peperiksaan awam tertumpu kepada jawapan pilihan dan tidak banyak berbentuk penulisan seperti dalam ujian PISA.
3.      Keutamaan guru dalam menghabiskan sukatan berbanding menerangkan konsep sebenar pengetahuan. 
·         Faktor penyumbang yang seterusnya adalah keutamaan guru yang mana kebanyakan guru lebih mengutamakan untuk menghabiskan sukatan mata pelajaran dengan cepat dan mereka tidak mengambil masa untuk memahamkan murid dengan konsep. Guru juga menggunakan banyak jalan pintas iaitu menyuruh murid supaya menghafal terutamnya melalui latihan latih tubi. Oleh sebab itu, murid hanya menghafal tetapi tidak memahami konsep.
Kementerian Pendidikan Malaysia telah merancang beberapa strategi untuk mengatasi masalah ini bertujuan melonjakkan sistem pendidikan negara agar berada dalam kalangan negara sepertiga teratas sistem pendidikan terbaik di dunia.
a)      Sistem Pentaksiran Berasaskan Sekolah (PBS)
Sejak beberapa tahun yang lepas Kementerian Pendidikan berusaha menangani masalah kemerosotan ini, salah satunya dengan mengenalkan Sistem Pentaksiran Berasaskan Sekolah(PBS). Sistem PBS ini telah agak lama diperkenalkan di peringkat antarabangsa dan banyak dikaji dan dibincang di Bangsa-bangsa bersatu. Ianya telah dilaksanakan di banyak negara di dunia termasuk negara-negara maju seperti Australia, Britain, Hong Kong dan juga mulai diperkenalkan di Singapura. Pada masa kini pentadbiran sistem PBS dipermudahkan lagi dengan adanya sistem telekomunikasi dan ICT yang canggih di sesebuah negara. Tujuan utama sistem PBS ialah untuk menambah-baik hasil daripada institusi pendidikan negara. Ianya bertujuan mengeluarkan graduan-graduan yang lebih baik bukan sahaja dari segi akademik, tetapi juga di segi akitiviti ko-kurrikulum disamping mengumpul data tentang kelebihan dan kelemahan seseorng pelajar. Ia bertujuan mengubah sistem sekarang yang berorientasikan peperiksaan kepada yang lebih berorientasikan prestasi seseorang pelajar berasaskan pentaksiran dibuat diperingkat sekolah.
b)      Kurikulum Standard Sekolah Rendah (KSSR) / Kurikulum Standard Sekolah Menengah (KSSM)
Penambahan elemen baharu seperti inovasi dan kreativiti dengan subjek keusahawanan dan teknologi maklumat komunikasi (ICT). Setiap murid akan menerima asas literasi dan numerasi, iaitu kemahiran asas untuk pembelajaran pada masa hadapan, serta dalam mata pelajaran Sains, iaitu bidang pertumbuhan utama bagi ekonomi Malaysia KSSR (Kurikulum Standard Sekolah Rendah) diperkenalkan pada tahun Januari 2011 dan akan diteruskan dengan KSSM (Kurikulum Standard Sekolah Menengah) pada tahun 2017. Kementerian juga menambah baik sistem penilaian kebangsaan dengan memasukkan unsur KBAT dalam ujian. Pada 2016, 40 peratus soalan KBAT akan dimasukkan ke dalam kertas peperiksaan Ujian Penilaian Sekolah Rendah (UPSR) manakala 50 peratus untuk kertas peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM).
c)      i-Think
Kerjasama antara KPM dengan Agensi Inovasi Malaysia. i-Think perupakan kaedah pembelajaran dengan menggunakan lapan Peta Pemikiran. Dirintis pada tahun 2012 di sepuluh buah sekolah, dan dilaksanakan di seluruh Malaysia pada 2014.
d)      Kajian Susulan
KPM menjalankan kajian kes di sekolah yang mendapat keputusan yang cemerlang pada Ujian PISA 2009. Hasil dapatan daripada kajian kes tersebut akan dikongsikan sebagai amalan terbaik pengajaran. Murid akan diajar mengikut kurikulum yang digubal berdasarkan standard sistem pendidikan berprestasi tinggi dan tanda aras ini perlu disahkan oleh badan bebas untuk meyakinkan ibu bapa. Pentaksiran tambahan yang mengambil kira dimensi kualiti lain yang relevan dengan konteks Malaysia, boleh dimasukkan apabila dibina dan diterima di peringkat antarabangsa.
e)      Pelan Pembangunan Pendidikan Malaysia (PPPM)
Hasil kajian PISA dan TIMSS juga menjadi input utama dalam merangka Pelan Pembangunan Pendidikan Malaysia (PPPM). Ini kerana PISA dan TIMSS merupakan penanda aras kepada pencapaian pelajar seluruh dunia dalam penguasaan Matematik, Sains dan Membaca. Kementerian sudah mengenal pasti kelemahan dalam pelaksanaan kurikulum sebelum ini yang kurang menekankan unsur Kemahiran Berfikir Aras Tinggi (KBAT), menyebabkan murid kurang berkemampuan untuk mengaplikasi kemahiran itu semasa menjawab soalan pentaksiran berkenaan. Peperiksaan peringkat sekolah dan kebangsaan akan diubahsuai dengan menambahkan bilangan soalan aras tinggi yang menggunakan Kemahiran Berfikir Aras Tinggi (KBAT).
f)       Menubuhkan Jawatankuasa Kajian Trend Pendidikan Matematik dan Sains Antarabangsa (TIMSS) dan PISA atau dikenali sebagai Task Force TIMSS dan PISA
Kementerian juga akan menetapkan dan memantau sasaran pencapaian murid dalam pentaksiran antarabangsa PISA dan TIMSS. Sebagai langkah segera, kementerian menubuhkan Jawatankuasa Kajian Trend Pendidikan Matematik dan Sains Antarabangsa (TIMSS) dan Pisa yang diterajui Bahagian Pembangunan Kurikulum dan dianggotai kesemua bahagian profesional kementerian.Pasukan khas ini ditubuhkan bagi memberi tumpuan dalam meningkatkan kemahiran berfikir aras tinggi dalam kalangan murid dan guru. Jawatankuasa itu akan mengenal pasti dan memantau inisiatif yang perlu dijalankan untuk penambahbaikan program penilaian murid antarabangsa.


Secara keseluruhannya, anjakan ini akan memberikan impak yang besar kepada peningkatan kualiti pendidikan negara. Sekiranya dilaksanakan dengan cekap dan berkesan, untuk tempoh akan datang kita akan menyaksikan satu anjakan besar dalam sistem pendidikan negara seterusnya merealisasikan wawasan negara demi melahirkan insan yang berilmu pengetahuan, bertanggungjawab, inovatif, kreatif, progresif dan berakhlak mulia selaras dengan falsafah pendidikan negara. Semua pihak harus berganding bahu dalam menyokong pendidikan di negara kita untuk menjadi sebuah negara yang maju dan setanding dengan negara luar.

RUJUKAN

Kementerian Pelajaran Malaysia (2012), Dasar Pendidikan Kebangsaan Edisi Ketiga, Shah Alam: Giga Wise Network Sdn. Bhd.

Noraini Idris. (2005), Pedagogi Dalam Pendidikan Matematik. Kuala Lumpur: Utusan Publications & Distributors Sdn. Bhd.

Pelan Pembangunan Pendidikan Malaysia 2013-2025. Kementerian Pelajaran Malaysia.

Ringkasan Eksekutif Pelan Pembangunan Pendidikan 2013-2025: Pendidikan Prasekolah Hingga Lepasan Menengah. Kementerian Pendidikan Malaysia.

Sudut Pandang Muhyiddin Yassin. Isu, Kontroversi, Pandangan Serta Harapan.  Sebuah Wawancara (2011), Kuala Lumpur: Institut Terjemahan Negara Malaysia Berhad.