Saturday, 14 November 2015

ISU 3: ISU MENYEDIAKAN KESAMARATAAN AKSES KEPADA PENDIDIKAN BERKUALITI BERTARAF ANTARABANGSA

Pendidikan matematik adalah pendidikan yang memberi penekanan kepada perkembangan pelajar secara menyeluruh termasuk perkembangan kognitif, sikap, psikomotor dan penerapan nilai-nilai murni untuk menjadikan rakyat berguna selaras dengan Falsafah Pendidikan Kebangsaan. Matlamat pendidikan matematik pula adalah untuk membentuk individu yang berfikiran matematik, berketrampilan mengaplikasikan pengetahuan matematik dengan berkesan, bertanggungjawab dalam menyelesaikan masalah dan membuat keputusan, berupaya menangani cabaran dalam kehidupan harian hasil perkembangan sains dan teknologi. Seperti yang kita ketahui, matematik berkait rapat dengan kehidupan seharian manusia yang mana penggunaan matematik telah meliputi pelbagai jenis aktiviti. Kemajuan negara bergantung kepada kemajuan sains dan teknologi, perkembangan perdagangan dan ekonomi yang berkait rapat dengan penggunaan matematik. (Mok Soon Sang, 1996). Justeru itu adalah penting sekiranya setiap pelajar diberikan peluang untuk menikmati pendidikan matematik yang bukan sahaja luas tetapi juga adil, saksama serta bermutu. Akses dan ekuiti dalam pendidikan matematik didefinisikan sebagai hak semua individu mendapatkan pengetahuan matematik dengan sempurna dan mendapat peluang seluasnya bagi mencapai tahap tertinggi dalam pengetahuan matematik melalui pendidikan sama rata.

Dalam proses pengajaran dan pembelajaran (P&P) matematik, dua elemen penting yang terlibat adalah guru dan juga pelajar. Proses pengajaran dan pembelajaran matematik seharusnya melibatkan secara aktif antara guru dan pelajar supaya penyampaian guru dan penerimaan pelajar terhadap perkara yang dipelajari berjaya tanpa berlaku sebarang halangan. Namun begitu, sehingga kini ialah masih terdapat pelbagai isu yang timbul berkaitan dengan akses dan ekuiti dalam pendidikan yang membawa kepada halangan atau cabaran dalam pendidikan matematik di institusi-institusi pengajian di Malaysia. Keadaan ini dinyatakan oleh Noraini Idris, (2005) dalam buku beliau, dalam proses P&P matematik, terdapat kekuatan dan kekurangan serta halangan dalam proses pengajaran. Pelan Pembangunan Pendidikan Malaysia 2013-2025 dihasilkan berhasrat untuk mencapai lima keberhasilan bagi sistem pendidikan Malaysia secara keseluruhan, iaitu akses, kualiti, ekuiti, perpaduan, dan kecekapan. Keberhasilan yang ditetapkan ini adalah selari dengan aspirasi yang turut disuarakan oleh peserta semasa Dialog Nasional dan setanding juga dengan keberhasilan yang ditetapkan oleh sistem pendidikan berprestasi tinggi yang lain.

ISU-ISU BERKAITAN PERGURUAN

1.1 PENEMPATAN GURU

Mengikut statistik Kementerian Pelajaran pada April 2010 mendapati bilangan guru lelaki berkhidmat di sekolah kini ialah 126,580 manakala guru wanita 279,650 orang.(Rifaat, 2010). Salah satu isu hangat yang diperbincangkan adalah Kementerian Pelajaran Malaysia (KPM) menghadapai masalah untuk menempatkan guru perempuan di sekolah luar bandar khususnya di pedalaman dan pulau. Tambahan pula penempatan guru menjadi lebih sukar apabila terdapat rungutan dari guru-guru yang ditawarkan ke kawasan luar bandar. Kebanyakan mereka sukar menerima tawaran tersebut kerana faktor kedudukan sekolah yang jauh dan kemudahan yang terhad, malah ada yang sanggup memilih untuk menganggur daripada dihantar bertugas di bahagian pedalaman. Hal ini menyebabkan timbul permasalahan dalam ketidaksepadanan pengagihan guru mengikut opsyen sebenar. Guru yang mengajar tidak mengikut opsyen menyebabkan akses dan ekuiti dalam pendidikan menjadi tidak berjaya. Tambahan pula jika melibatkan subjek-subjek kritikal seperti Matematik, Sains dan Bahasa Inggeris. Guru bukan opsyen mempunyai pengetahuan yang agak terbatas dan tidak mampu menyampaikan ilmu tersebut secara menyeluruh. Akibatnya, murid merasa kurang berkeyakinan terhadap guru tersebut dan seterusnya menghilangkan minat pelajar untuk mempelajari subjek yang diajar oleh guru berkenaan.

1.2 TUNTUTAN TEMPAT KERJA

Laporan Nilai Prestasi Tahunan (LNPT) diwujudkan bagi menentukan kecemerlangan dan kenaikan pangkat penjawat awam. Markah LNPT tersebut akan dinilai oleh Ketua jabatan masing-masing. Namun begitu, salah satu isu yang hangat diperbincangkan ialah apabila Ketua Jabatan menetapkan markah LNPT bergantung dengan keputusan pembelajaran pelajar. Apabila guru terikat dengan situasi tersebut, ada kemungkinan timbul pemasalahan di mana guru hanya memfokuskan pembelajaran ke atas tajuk-tajuk di dalam subjek matematik yang akan diuji dalam peperiksaan sahaja. Tambahan pula, soalan yang ditanya lebih menjurus persoalan teori berbanding persoalan kemahiran. Selaras dengan status dan pentingnya mata pelajaran matematik, pihak Kementerian Pelajaran Malaysia telah berusaha mempertingkatkan bilangan pelajar dalam aliran sains dan bukan sains kepada nisbah 60:40 dengan harapan mampu mencapai sebuah negara maju seperti yang tercatat dalam Wawasan 2020. Namun begitu, hasrat kerajaan ini tidak akan tercapai jika gaya pengajaran guru hanya memfokuskan pembelajaran matematik berdasarkan penguasaan konsep atau memfokuskan pembelajaran sekadar untuk menjawab soalan peperiksaan. Ini adalah kerana gaya pengajaran seperti ini tidak akan dapat membantu pelajar untuk mengaplikasikan pengetahuan matematik mereka kelak.

1.3 KEMAHIRAN KOMUNIKASI

Pengajaran yang berkesan memerlukan komunikasi yang bersesuaian bagi membolehkan proses pengajaran dan pembelajaran berjaya. Penggunaan bahasa yang sesuai di dalam kelas mampu mempertingkatkan kefahaman pelajar dengan lebih baik. Adalah menjadi perkara utama bagi setiap guru perlu mengenal pasti terlebih dahulu latar belakang pelajar agar pemilihan bahasa yang bakal digunakan dalam kelas dapat difahami oleh semua pelajar. Sebagai contoh, penggunaan Bahasa Inggeris sebagai medium penyampaian pengajaran matematik adalah kurang sesuai jika pelajar di dalam kelas majoriti lemah dalam penguasaan Bahasa Inggeris. Ini kerana dikhuatiri konsep di dalam ilmu matematik yang ingin disampaikan tidak sampai kepada pelajar. Maka sudah pasti berlaku kegagalan akses dan ekuiti dalam pendidikan matematik. Menurut Ketua Pengarah Pertubuhan Pendidikan, Saintifik, Kebudayaan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNESCO), Irina Bokova, secara prinsipnya UNESCO menggalakkan pihak sekolah mengajar dalam bahasa ibunda terutama bagi murid di peringkat sekolah rendah. Masalah lain yang turut menyumbang kepada kemerosotan prestasi murid ialah kelemahan dalam kalangan guru sendiri yang tidak mampu menyampaikan ilmu itu dalam bahasa Inggeris dengan baik.

1.4 INTERAKSI SOSIAL

Pendidikan adalah lebih sinonim dengan suatu proses pengajaran dan pembelajaran yang melibatkan perhubungan atau komunikasi dan interaksi di antara guru dan murid-muridnya. Di dalam kelas, guru merupakan medium utama dalam mendidik pelajar untuk berjaya. Guru sering dianggap model kepada pelajar. Namun begitu, apabila guru menunjukkan sikap negatif pada murid maka kepercayaan pelajar kepada guru akan menurun. Sebagai contoh, penggunaan bahasa yang kasar dan kesat di dalam kelas hanya membuatkan pelajar berasa tidak selesa di dalam kelas sekaligus mengakibatkan pelajar hilang motivasi untuk menuntut ilmu. Selain itu, sikap guru yang garang serta suka menghukum juga boleh membantutkan minat pelajar untuk belajar apatah lagi untuk berinteraksi dengan guru bagi bertanyakan soalan yang kurang faham. Secara tidak langsung, situasi tersebut boleh menimbulkan masalah kebimbangan dikalangan pelajar untuk mempelajari matematik. Tambahan pula, mata pelajaran matematik sering dianggap mata pelajaran yang membosankan dan kurang digemari dikalangan pelajar. Sehubungan itu, akan mengakibatkan kegagalan akses dan ekuiti dalam pendidikan khususnya pendidikan matematik. Guru perlu sentiasa bersikap positif kepada pelajar-pelajar, dengan menggunakan percakapan-percakapan yang baik, budi pekerti yang halus dan lemah lembut, sehinnga terbukalah hati para pelajar untuk menerima ilmu guru dengan baik.

ISU-ISU BERKAITAN PELAJAR

2.1 PELAJAR KURANG UPAYA

Salah satu jenis masalah pembelajaran pelajar matematik ialah mempunyai masalah Diskalkulia. Pelajar-pelajar yang mempunyai masalah ini sukar untuk memahami konsep nombor walaupun yang mudah, selain itu mereka juga sukar untuk mengingati simbol matematik seperti tambah, darab, tolak dan bahagi. Pelajar Diskalkulia juga tidak dapat membezakan nilai besar dan nilai kecil. Kebolehcapaian pelajar-pelajar Diskalkulia ini terhadap subjek matematik akan terus berkurangan kerana guru-guru tidak mengasingkan pelajar-pelajar ini daripada pelajar normal kerana guru-guru beranggapan pelajar-pelajar ini juga normal kerana mereka boleh mempelajari subjek vokasional dengan baik. Kos yang tinggi juga diperlukan untuk proses pengajaran dan pembelajaran (P&P) pelajar kurang upaya (OKU). Pemerhatian daripada pakar kepada pelajar OKU sangat kurang, walaupun secara realitinya pelajar-pelajar OKU ini lebih memerlukan pakar-pakar untuk memastikan mereka tidak terus ketinggalan dalam menguasai mata pelajaran matematik.

2.2 PENGHAFALAN SEBELUM KEFAHAMAN

Pelajar masa kini lebih senang menghafal jalan kerja tanpa memahami konsep terlebih dahulu. Oleh itu mereka tidak akan dapat menguasai keseluruhan topik, mereka juga akan mempunyai masalah jika diberikan soalan aplikasi, selain itu mereka tidak akan dapat menerangkan mengapa mereka menggunakan sesuatu langkah jalan kerja untuk menyelesaikan sesuatu soalan itu. Apabila pelajar-pelajar ini menghafal, mereka tidak akan dapat memberi anggaran untuk menyemak jawapan. Dapat dikatakan bahawa pelajar yang menghafal akan mempunyai kebolehcapaian yang terhad terhadap mata pelajaran matematik.

2.3 PELAJAR BERPENCAPAIAN RENDAH

Guru-guru yang sibuk mengejar silibus secara realitinya akan meninggalkan pelajar yang lemah terus dibelakang. Pelajar-pelajar yang lemah ini dapat dikenalpasti melalui rekod prestasi mereka, pemerhatian guru ataupun melalui ujian. Pelajar lemah atau yang berpencapaian rendah ini menghadapi kesukaran untuk memberi perhatian kepada langkah yang terlibat dalam penyelesaian masalah. Mereka dapat menyelesaikan soalan yang melibatkan satu langkah tetapi tidak dapat menyelesaikan soalan yang melibatkan banyak langkah penyelesaian. Pelajar berpencapaian rendah juga mempunyai masalah untuk mengingati langkah penyelesaian dan mempunyai masalah keupayaan visual-ruang, iaitu lemah untuk sistem garis lurus, garis nombor, menentukan arah dan mengagak jarak. Pelajar berpencapaian rendah akan menerima pendekatan P&P yang sama dengan pelajar normal lain. Oleh sebab itu, mereka akan terus lemah dalam matematik dan yang paling penting mereka juga akan lemah dalam kemahiran asas seperti pecahan dan peratus yang penting untuk meneruskan pengajian ke peringkat tinggi dan untuk kegunaan seharian.

2.4 KECERDASAN LOGIK-MATEMATIK

Pelajar yang tidak mempunyai kecerdasan logik-matematik ataupun lebih dikenali sebagai pelajar otak kanan lebih cenderung untuk subjek-subjek seni seperti muzik dan lukisan. Melalui teori otak Triune, setiap individu akan lebih cenderung untuk menggunakan salah satu belahan otak yang dominan dan sebelah otak lagi akan berada dalam keadaan tenang. Oleh itu pelajar otak kanan akan menganggap matematik sebagai satu mata pelajaran yang mana para pelajar perlu mengikuti peraturan yang diajar oleh guru walaupun mereka tidak memahami peraturan tersebut (Noraini Idris, 2005). Seterusnya pelajar-pelajar ini hanya akan menggunakan strategi yang diajar oleh guru sahaja tanpa memikirkan kaedah lain. Kesannya mereka tidak akan berkeupayaan tinggi dan cemas apabila berhadapan dengan soalan aplikasi. Oleh itu, pelajar otak kanan ini perlu diberi lebih bimbingan untuk memastikan kebolehcapaian mereka terhadap subjek matematik meningkat.

2.5 LATAR BELAKANG KELUARGA

Pelajar yang mempunyai ibu bapa yang tidak berpelajaran selalunya akan kurang kebolehcapaian mereka terhadap matematik. Ini kerana ibu bapa mereka tidak dapat membantu mengajar mereka dirumah. Pelajar juga tidak akan bermotivasi untuk belajar hingga cemerlang kerana persekitaranya hanya dikelilingi orang tidak berpelajaran tinggi. Pendapatan keluarga yang kurang juga akan menghalang kebolehcapaian pelajar terhadap mempelajari matematik. Pelajar yang tidak mampu untuk kesekolah akan terus tidak mempelajari matematik. Ada juga pelajar-pelajar ini ke sekolah, tetapi mereka tidak mampu untuk mengikuti kelas tambahan ataupun membeli buku rujukan. Oleh itu kebolehcapaian mereka terhadap mata pelajaran matematik tidak akan sama dengan pelajar yang lahir dari keluarga berpendapatan tinggi. Pembelajaran pelajar juga dipengaruhi oleh pendidikan keluarga. Sebagai contoh pelajar yang lahir dari keluarga seni akan lebih cenderung untuk mempelajari dengan mendalam mata pelajaran yang berkaitan seni. Pelajar ini akan kurang untuk dibimbing mempelajari mata pelajaran yang sedikit jauh dari bidang mereka seperti matematik.

CADANGAN TERHADAP ISU-ISU

Penerapan nilai dalam pengajaran dan pembelajaran dalam pendidikan Matematik perlu diterap secara tersurat atau tersirat di dalam bilik darjah supaya kebolehcapaian pengetahuan Matematik dapat diterima sepenuhnya oleh pelajar. Amalan guru dalam pengajaran bilik darjah, sama ada melalui tutur kata ataupun tindakan, menggambarkan nilai yang terterap dalam pengajaran bilik darjah. Sekiranya nilai pengajaran Matematik diterapkan di dalam bilik darjah berkemungkinan besar pelajar boleh mendapatkan pengetahuan Matematik dengan sempurna dan mendapat peluang seluasnya bagi mencapai tahap tertinggi dalam pengetahuan Matematik. Sebagai guru, khususnya guru subjek Matematik haruslah mempunyai pendekatan pengajaran yang menarik minat para pelajar untuk mempelajari Matematik.

Hukuman sekiranya digantikan dengan penghargaan atau kata-kata nasihat yang berguna adalah lebih bermakna kepada pelajar bagi meningkatkan motivasi pelajar sendiri untuk mempelajari Matematik. Aspek kesedaran dan kesediaan guru sendiri yang tidak kurang pentingnya bagi mencapai matlamat pengajaran yang berkesan. Guru perlu benar-benar mengenali serta faham akan masalah setiap orang murid secara individu, menguasai kurikulum serta kaedah dan teknik pengajaran, guru sentiasa bermuhasabah untuk menilai pengajaran sendiri secara ikhlas setiap masa dan sentiasa meluaskan pengetahuan dan kemahiran melalui pembacaan, peningkatan taraf akademik dan professional dengan melanjutkan pelajaran, mengikuti kursus, seminar, bengkel dan seumpamanya.

Vaughn et al. (2003) menyarankan guru seharusnya memberikan hak kesamaan kepada pelajar berpencapaian rendah di dalam pengajarannya, antara cadangan dalam memberikan hak kesamaan kepada pelajar pencapaian rendah di dalam kelas yang pelbagai pencapaian adalah memanggil pelajar yang berpencapaian rendah sekerap mungkin seperti mana guru memanggil pelajar yang lain, elakkan daripada sering menyuruh pelajar berpencapaian tinggi membetulkan kesalahan pelajar berpencapaian rendah dan guru perlu elakkan daripada membezakan kurikulum, bahan dan kaedah pengajaran, bagi mengelakkan tanggapan masyarakat bahawa mereka adalah pelajar berpencapaian rendah. Memberi hak kesamaan kepada pelajar yang berpencapaian rendah ini boleh memberikan diri mereka rasa dihargai dan memotivasikan mereka supaya lebih berusaha untuk berjaya khususnya dalam subjek Matematik.  Seorang guru perlu kreatif agar menjadikan pengajaran lebih menarik dan berkesan. Kemahiran juga amat diperlukan dalam proses pengajaran selain penguasaan ilmu pengetahuan. Fokus perlu diberikan sepenuhnya terhadap proses pengajaran serta faktor-faktor yang dapat mempertingkat dan memperkembang ke arah mewujudkan amalan pengajaran guru yang berkesan.

Penekanan peperiksaan awam yang berasaskan kandungan diubah kepada peperiksaan yang lebih berasaskan kemahiran atau daripada bersifat ujian pencapaian kepada ujian kebolehan am. Dengan penghasilan sistem penilaian ini, maka para guru Matematik seharusnya tidak terlalu terikat dengan sistem penilaian yang hanya berorientasikan peperiksaan yang mengakibatkan para pelajar dididik untuk mempelajari subjek Matematik hanya untuk berjaya di dalam peperiksaan dan tidak dapat mengaplikasikannya dalam kehidupan seharian. Oleh itu, kajian sistem penilaian seharusnya sentiasa diperhalusi lagi supaya kemantapannya lebih analitik mengikut peredaran zaman.

Pelaksanaan Memartabatkan Bahasa Malaysia dan Memperkukuhkan penguasaan Bahasa Inggeris (MBMMBI) mula dilaksanakan pada tahun 2012. Secara rasionalnya, penggunaan bahasa Inggeris sebagai bahasa pengantar Sains dan Matematik di sekolah rendah dan menengah menghakis kepentingan bahasa Malaysia sebagai bahasa ilmu dalam bidang tersebut. Kebanyakan negara di dunia berusaha keras untuk memartabatkan bahasa kebangsaan mereka masing-masing sebagai bahasa ilmu jadi negara Malaysia juga perlu mencontohi negara-negara lain yang menggunakan bahasa ibunda mereka sebagai bahasa pengantar terutamanya dalam subjek Matematik supaya pengetahuan ilmu Matematik yang disampaikan oleh pengajar itu dapat diterima dan difahami pelajar dengan sebaiknya.

Sebagai pelajar seharusnya mereka belajar bukan hanya untuk berjaya di dalam peperiksaan, malah mereka perlu belajar bagaimana untuk mengaplikasikan konsep di dalam kehidupan seharian contohnya dalam pelajaran Matematik khususnya, pelajar harus tahu cara yang terbaik untuk menggunapakai konsep Matematik yang dipelajari untuk kemudahan di dalam kehidupannya. Gaya pembelajaran yang diamalkan oleh setiap individu adalah berbeza di antara satu sama lain. Di samping itu, pelajar juga menyatakan mereka memerlukan dorongan dan memberi tumpuan yang lebih pada mempelajari perkara baru atau tugasan yang dinilai. Oleh itu, untuk keberkesanan pembelajaran adalah dicadangkan para pengajar khususnya subjek Matematik perlu memberi tumpuan kepada unsur emosi pelajar.

KESIMPULAN

Pendidikan berkait rapat dengan kehidupan kerana pendidikan memainkan peranan yang penting dalam menentukan kehidupan manusia sama ada masa kini atau masa depan. Pendidikan yang diberikan seharusnya memberi tumpuan kepada aspek akses dan ekuiti yang bermaksud peluang pendidikan sama rata kepada semua dan juga pendidikan berkualiti yang sepatutnya diterima oleh semua. Dalam konteks pendidikan matematik, guru matematik dan pelajar khususnya perlu memainkan peranan masing-masing bagi mencapai akses dan ekuiti pendidikan matematik. Disamping itu, pihak-pihak lain seperti Kementerian Pelajaran Malaysia, pentadbir sekolah dan juga ibu bapa perlu bersama-sama menunjukkan sikap yang positif terhadap pendidikan matematik agar pendidikan yang diberikan dapat melahirkan individu yang cemerlang dan berdaya saing yang mampu merealisasikan hasrat negara untuk menjadi sebuah negara maju dalam semua dimensi khususnya ekonomi.

RUJUKAN

Kementerian Pelajaran Malaysia (2012). Laporan Awal Pelan Pembangunan Pendidikan Malaysia 2013-2025.
Mohd Rifaat Abd Hamid. Harian Metro . (30/08/2010)Lambakan Guru Wanita – Di mana guru lelaki?
Mok Soon Sang (1996). Siri Pendidikan Perguruan Pengajian Matematik Untuk Diploma Perguruan . Selangor: Kumpulan Budiman Sdn Bhd.
Noraini Idris. (2005). Pedagogi Dalam Pendidikan Matematik. Kuala Lumpur: Utusan Publications & Distributors Sdn. Bhd.
Vaughn, S. B. (2003). Teaching Exceptional, Diverse, And At-Risks Students In The General Education Classroom (3rd Ed). Boston: Allyn And Bacon.


ISU 3: ISU MENYEDIAKAN KESAMARATAAN AKSES KEPADA PENDIDIKAN BERKUALITI BERTARAF ANTARABANGSA

Pada Oktober 2011, Kementerian Pendidikan telah melancarkan kajian semula sistem pendidikan negara secara menyeluruh dalam usaha membangunkan Pelan Pembangunan Pendidikan Malaysia yang baharu. Dalam tempoh 15 bulan (Oktober 2011 hingga Disember 2012), Kementerian telah memperoleh input daripada pelbagai sumber seperti laporan penyelidikan yang dijalankan oleh pakar pendidikan dari UNESCO, Bank Dunia, OECD, dan enam Institusi Pengajian Tinggi Awam. Kajian ini juga melibatkan pemimpin sekolah, guru, ibu bapa, murid, dan orang ramai di seluruh negara. Pelan Pembangunan Pendidikan Malaysia 2013-2025  dihasilkan dengan menilai prestasi semasa sistem pendidikan negara dengan mengambil kira pencapaian lampau dan membandingkannya dengan tanda aras antarabangsa. Pelan ini melakarkan visi sistem pendidikan dan aspirasi murid yang dapat memenuhi keperluan negara pada masa depan. Pelan ini juga mencadangkan 11 anjakan strategik dan operasi yang perlu dilaksanakan oleh Kementerian bagi mencapai visi yang dihasratkan.
11 ANJAKAN UNTUK TRANSFORMASI SISTEM PENDIDIKAN
Anjakan 1: Menyediakan kesamarataan akses kepada pendidikan berkualiti bertaraf Antarabangsa
Anjakan 2: Memastikan setiap murid menguasai kemahiran dalam bahasa malaysia dan bahasa inggeris
 dan digalakkan mempelajari bahasa tambahan
Anjakan 3: Melahirkan rakyat  yang menghayati  nilai
Anjakan 4: Mentransformasi profesion keguruan menjadi profesion pilihan
Anjakan 5: Memastikan kepimpinan berprestasi tinggi ditempatkan di setiap sekolah
Anjakan 6: Mengupaya jpn, ppd dan sekolah untuk menyediakan penyelesaian khusus berasaskan keperluan
Anjakan 7: Memanfaatkan ict  bagi meningkatkan kualiti pembelajaran di malaysia
Anjakan 8: Mentransformasi kebolehan dan keupayaan penyampaian kementerian
Anjakan 9: Bekerjasama dengan ibubapa, komuniti, dan.sektor swasta secara meluas
Anjakan 10: Memaksimumkan keberhasilan murid bagi setiap ringgit
Anjakan 11: Meningkatkan ketelusan untuk kebertanggungjawaban awam secara langsung

Aspirasi sistem Pelan Pembangunan Pendidikan Malaysia 2013-2025 berhasrat untuk mencapai lima keberhasilan bagi sistem pendidikan Malaysia secara keseluruhan, iaitu akses, kualiti, ekuiti, perpaduan, dan kecekapan. Keberhasilan yang ditetapkan ini adalah selari dengan aspirasi yang turut disuarakan oleh peserta semasa Dialog Nasional dan setanding juga dengan keberhasilan yang ditetapkan oleh sistem pendidikan berprestasi tinggi yang lain. Kementerian berhasrat memastikan kadar akses sejagat dalam kalangan kanak-kanak dari peringkat prasekolah hingga ke peringkat menengah atas (Tingkatan 5) menjelang tahun 2020. Dari segi kualiti, kementerian berharap kedudukan sistem pendidikan negara diletakkan dalam kelompok sepertiga teratas dalam pentaksiran antarabangsa mengikut pengukuran Kajian Trend Pendidikan Matematik dan Sains Antarabangsa (TIMSS) dan Program Penilaian Pelajar Antarabangsa (PISA) yang menguji bacaan, Matematik dan Sains dalam tempoh 15 tahun. Selain itu, jurang pencapaian antara murid bandar dengan luar bandar, tahap sosioekonomi dan pencapaian antara gender sehingga 50 peratus menjelang 2020 juga diharap dapat dirapatkan serta menjana suatu sistem pendidikan yang memberi peluang kepada murid berkongsi pengalaman berinteraksi dengan pelbagai etnik bagi memperkukuh asas perpaduan rakyat. Dari segi kecekapan, walaupun kerajaan terus mengekalkan tahap pelaburan semasa, kementerian berhasrat untuk memaksimum keberhasilan murid mengikut tahap peruntukan semasa. Selain keberhasilan sistem pendidikan, setiap murid juga perlu berupaya untuk bersaing pada peringkat global.
ISU MENYEDIAKAN KESAMARATAAN AKSES KEPADA PENDIDIKAN BERKUALITI BERTARAF ANTARABANGSA
Asas kejayaan sistem persekolahan bergantung kepada apa yang murid mesti tahu, faham, dan mampu lakukan. Sejak dahulu lagi, murid Malaysia berkebolehan mengemukakan semula kandungan mata pelajaran yang diikuti. Walau bagaimanapun, kemahiran ini kurang penting dalam ekonomi yang sentiasa berubah pada masa ini. Sebaliknya, murid perlu ada keupayaan menaakul, membuat unjuran, dan mengaplikasi pengetahuan secara kreatif dalam suasana baharu yang berlainan. Murid juga memerlukan ciri kepimpinan untuk bersaing di peringkat global.
Pentaksiran antarabangsa TIMSS dan PISA menunjukkan murid di Malaysia sukar mengaplikasi kemahiran berfikir aras tinggi. Sepanjang dua dekad yang lalu, pentaksiran antarabangsa seperti Programme for International Student Assessment (PISA) dan Trends in International Mathematics and Science Study (TIMSS), telah muncul sebagai kaedah perbandingan langsung tentang kualiti keberhasilan pendidikan merentas pelbagai sistem. Kaedah ini mentaksir pelbagai kemahiran kognitif seperti aplikasi dan penaakulan. Ketika Malaysia mengambil bahagian dalam TIMSS buat julung kalinya pada 1999, skor purata murid mengatasi purata antarabangsa dalam Matematik dan Sains. Statistik terbaru daripada Trends in International Mathematics and Science Study (TIMSS) bagi tahun 2011 yang menunjukkan purata skor Matematik telah jatuh dari 474 mata pada tahun 2007 kepada 440 pada tahun 2011. Manakala skor purata mata pelajaran Sains pula telah jatuh merudum pada skala yang lebih besar lagi iaitu dari 471 mata pada tahun 2007 kepada 426 mata pada tahun lepas. Di dalam laporan tersebut, ranking Malaysia dalam pembelajaran Matematik juga telah jatuh pada kedudukan 26 pada tahun 2011 daripada kedudukan 20 pada tahun 2007. Ranking dalam pembelajaran Sains juga telah merudum jatuh daripada kedudukan di ranking 21 pada tahun 2007 kepada ranking 32 pada tahun 2011. Murid ini dikenal pasti memiliki penguasaan konsep asas matematik dan sains yang terhad.

Keputusan PISA (Programme for International Student Assessment) pada tahun 2009 (penyertaan kali pertama Malaysia) juga tidak memberangsangkan kerana kedudukan Malaysia terletak dalam kelompok sepertiga terbawah dalam kalangan 74 negara peserta. Pencapaian ini juga meletakkan Malaysia di bawah pencapaian purata antarabangsa dan Organisation for Economic Co-operation and Development (OECD). Hampir 60% murid berumur 15 tahun yang menyertai PISA (2009) gagal mencapai tahap kemahiran minimum dalam Matematik, manakala 44% dalam Bacaan dan 43% dalam Sains tidak mencapai tahap kemahiran minimum. Perbezaan skor sebanyak 38 mata dalam skala PISA adalah bersamaan dengan satu tahun persekolahan. Perbandingan skor ini menunjukkan murid berumur 15 tahun di Singapura, Korea Selatan, Hong Kong dan Shanghai mempunyai prestasi tiga atau lebih tahun persekolahan berbanding murid berumur 15 tahun di Malaysia. Malaysia nampaknya terperangkap di tangga sepertiga terbawah di kalangan negara-negara yang mengambil bahagian dalam penilaian antarabangsa dan tidak mencatatkan sebarang kemajuan. Ini boleh dilihat pada keputusan PISA 2012 Malaysia yang lebih buruk berbanding PISA 2010:
Matematik
Sains
Bacaan
2010
2012
2010
2012
2010
2012
Skor
404
421
422
420
414
398
Tangga
57
52
52
53
55
59

Selain berada di tangga sepertiga terbawah, Malaysia dipintas oleh negara-negara lain dalam kelompok itu, misalnya Kazakhstan yang perbezaan skor matematiknya dengan Malaysia semakin meningkat, iaitu dari hanya satu mata dalam PISA 2010 (Kazakhstan 405, Malaysia 404) kepada 11 mata dalam PISA 2012 (Kazakhstan 432, Malaysia 421) selain memintas Malaysia dalam subjek sains (PISA 2009: Kazakhstan 400, Malaysia 422; PISA 2012: Kazakhstan 425, Malaysia 420). Satu lagi contoh ialah Thailand yang mengatasi Malaysia dan melebarkan jurang perbezaan dalam ketiga-tiga subjek:
(2012 PISA)
Matematik
Sains
Bacaan
Thailand
427
444
441
Malaysia
421
420
398

Lebih membimbangkan, jurang perbezaan antara Malaysia dan negara-negara yang berpencapaian terbaik semakin lebar dalam PISA 2012. Menurut keputusan PISA pada 2012, pelajar Malaysia hanya mendapat markah di bawah purata atau berada di tangga 52 daripada 65 negara. Malah, pelajar Vietnam berada di tangga ke-17 daripada 65 negara itu.  Malaysia pula hanya mendapat 0.9% pecahan pencapai tinggi berbanding 29.3% diperoleh Singapura. Pecahan Malaysia di bawah peratusan purata iaitu 11.4%. Ini menunjukkan hanya seorang daripada 10 pelajar Malaysia, berusia 15 tahun, yang mampu menyelesaikan masalah paling kompleks, dibandingkan dengan seorang daripada lima pelajar di Singapura, Korea Selatan dan Jepun. Malaysia memperolehi 29.1 dalam kadar penyelesaian bagi tugasan mengukur pemerolehan pengetahuan dan 29.3 untuk tugasan penggunaan pengetahuan sementara Singapura mendapat markah 62 dan 55.4 masing-masing bagi tugasan berkenaan, jauh lebih tinggi daripada markah purata semua negara iaitu 45.5 dan 46.4.

Dalam kajian Kementerian Pendidikan dikatakan terdapat tiga faktor yang menyumbang kepada keputusan terendah berbanding negara-negara lain iaitu:
1.      Sikap pelajar yang tidak menjawab dengan bersungguh-sungguh
·         Dalam hal ini, ramai murid yang menyertai PISA tidak bersungguh-sungguh menjawab soalan PISA kerana mereka menganggap penilaian ini tidak penting. Oleh yang demikian, semasa pelaksanaan ujian PISA dijalankan, banyak soalan yang tidak dijawab oleh murid.
2.      Format soalan PISA yang berbeza daripada format soalan peperiksaan Malaysia yang lebih ringkas
·         Jika dilihat dan diteliti, soalan PISA lebih berbentuk teks panjang yang memerlukan pemahaman, terjemahan dan refleksi dengan kehidupan sebenar. Soalan peperiksaan awam adalah lebih ringkas dan berdasarkan rajah serta jadual. Oleh sebab itu, pelajar lebih menunpukan perhatian kepada peperiksaan awam dan kurang  serius ketika menjawab soalan-soalan ujian PISA. Selain itu, bentuk jawapan dalam peperiksaan awam tertumpu kepada jawapan pilihan dan tidak banyak berbentuk penulisan seperti dalam ujian PISA.
3.      Keutamaan guru dalam menghabiskan sukatan berbanding menerangkan konsep sebenar pengetahuan. 
·         Faktor penyumbang yang seterusnya adalah keutamaan guru yang mana kebanyakan guru lebih mengutamakan untuk menghabiskan sukatan mata pelajaran dengan cepat dan mereka tidak mengambil masa untuk memahamkan murid dengan konsep. Guru juga menggunakan banyak jalan pintas iaitu menyuruh murid supaya menghafal terutamnya melalui latihan latih tubi. Oleh sebab itu, murid hanya menghafal tetapi tidak memahami konsep.
Kementerian Pendidikan Malaysia telah merancang beberapa strategi untuk mengatasi masalah ini bertujuan melonjakkan sistem pendidikan negara agar berada dalam kalangan negara sepertiga teratas sistem pendidikan terbaik di dunia.
a)      Sistem Pentaksiran Berasaskan Sekolah (PBS)
Sejak beberapa tahun yang lepas Kementerian Pendidikan berusaha menangani masalah kemerosotan ini, salah satunya dengan mengenalkan Sistem Pentaksiran Berasaskan Sekolah(PBS). Sistem PBS ini telah agak lama diperkenalkan di peringkat antarabangsa dan banyak dikaji dan dibincang di Bangsa-bangsa bersatu. Ianya telah dilaksanakan di banyak negara di dunia termasuk negara-negara maju seperti Australia, Britain, Hong Kong dan juga mulai diperkenalkan di Singapura. Pada masa kini pentadbiran sistem PBS dipermudahkan lagi dengan adanya sistem telekomunikasi dan ICT yang canggih di sesebuah negara. Tujuan utama sistem PBS ialah untuk menambah-baik hasil daripada institusi pendidikan negara. Ianya bertujuan mengeluarkan graduan-graduan yang lebih baik bukan sahaja dari segi akademik, tetapi juga di segi akitiviti ko-kurrikulum disamping mengumpul data tentang kelebihan dan kelemahan seseorng pelajar. Ia bertujuan mengubah sistem sekarang yang berorientasikan peperiksaan kepada yang lebih berorientasikan prestasi seseorang pelajar berasaskan pentaksiran dibuat diperingkat sekolah.
b)      Kurikulum Standard Sekolah Rendah (KSSR) / Kurikulum Standard Sekolah Menengah (KSSM)
Penambahan elemen baharu seperti inovasi dan kreativiti dengan subjek keusahawanan dan teknologi maklumat komunikasi (ICT). Setiap murid akan menerima asas literasi dan numerasi, iaitu kemahiran asas untuk pembelajaran pada masa hadapan, serta dalam mata pelajaran Sains, iaitu bidang pertumbuhan utama bagi ekonomi Malaysia KSSR (Kurikulum Standard Sekolah Rendah) diperkenalkan pada tahun Januari 2011 dan akan diteruskan dengan KSSM (Kurikulum Standard Sekolah Menengah) pada tahun 2017. Kementerian juga menambah baik sistem penilaian kebangsaan dengan memasukkan unsur KBAT dalam ujian. Pada 2016, 40 peratus soalan KBAT akan dimasukkan ke dalam kertas peperiksaan Ujian Penilaian Sekolah Rendah (UPSR) manakala 50 peratus untuk kertas peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM).
c)      i-Think
Kerjasama antara KPM dengan Agensi Inovasi Malaysia. i-Think perupakan kaedah pembelajaran dengan menggunakan lapan Peta Pemikiran. Dirintis pada tahun 2012 di sepuluh buah sekolah, dan dilaksanakan di seluruh Malaysia pada 2014.
d)      Kajian Susulan
KPM menjalankan kajian kes di sekolah yang mendapat keputusan yang cemerlang pada Ujian PISA 2009. Hasil dapatan daripada kajian kes tersebut akan dikongsikan sebagai amalan terbaik pengajaran. Murid akan diajar mengikut kurikulum yang digubal berdasarkan standard sistem pendidikan berprestasi tinggi dan tanda aras ini perlu disahkan oleh badan bebas untuk meyakinkan ibu bapa. Pentaksiran tambahan yang mengambil kira dimensi kualiti lain yang relevan dengan konteks Malaysia, boleh dimasukkan apabila dibina dan diterima di peringkat antarabangsa.
e)      Pelan Pembangunan Pendidikan Malaysia (PPPM)
Hasil kajian PISA dan TIMSS juga menjadi input utama dalam merangka Pelan Pembangunan Pendidikan Malaysia (PPPM). Ini kerana PISA dan TIMSS merupakan penanda aras kepada pencapaian pelajar seluruh dunia dalam penguasaan Matematik, Sains dan Membaca. Kementerian sudah mengenal pasti kelemahan dalam pelaksanaan kurikulum sebelum ini yang kurang menekankan unsur Kemahiran Berfikir Aras Tinggi (KBAT), menyebabkan murid kurang berkemampuan untuk mengaplikasi kemahiran itu semasa menjawab soalan pentaksiran berkenaan. Peperiksaan peringkat sekolah dan kebangsaan akan diubahsuai dengan menambahkan bilangan soalan aras tinggi yang menggunakan Kemahiran Berfikir Aras Tinggi (KBAT).
f)       Menubuhkan Jawatankuasa Kajian Trend Pendidikan Matematik dan Sains Antarabangsa (TIMSS) dan PISA atau dikenali sebagai Task Force TIMSS dan PISA
Kementerian juga akan menetapkan dan memantau sasaran pencapaian murid dalam pentaksiran antarabangsa PISA dan TIMSS. Sebagai langkah segera, kementerian menubuhkan Jawatankuasa Kajian Trend Pendidikan Matematik dan Sains Antarabangsa (TIMSS) dan Pisa yang diterajui Bahagian Pembangunan Kurikulum dan dianggotai kesemua bahagian profesional kementerian.Pasukan khas ini ditubuhkan bagi memberi tumpuan dalam meningkatkan kemahiran berfikir aras tinggi dalam kalangan murid dan guru. Jawatankuasa itu akan mengenal pasti dan memantau inisiatif yang perlu dijalankan untuk penambahbaikan program penilaian murid antarabangsa.


Secara keseluruhannya, anjakan ini akan memberikan impak yang besar kepada peningkatan kualiti pendidikan negara. Sekiranya dilaksanakan dengan cekap dan berkesan, untuk tempoh akan datang kita akan menyaksikan satu anjakan besar dalam sistem pendidikan negara seterusnya merealisasikan wawasan negara demi melahirkan insan yang berilmu pengetahuan, bertanggungjawab, inovatif, kreatif, progresif dan berakhlak mulia selaras dengan falsafah pendidikan negara. Semua pihak harus berganding bahu dalam menyokong pendidikan di negara kita untuk menjadi sebuah negara yang maju dan setanding dengan negara luar.

RUJUKAN

Kementerian Pelajaran Malaysia (2012), Dasar Pendidikan Kebangsaan Edisi Ketiga, Shah Alam: Giga Wise Network Sdn. Bhd.

Noraini Idris. (2005), Pedagogi Dalam Pendidikan Matematik. Kuala Lumpur: Utusan Publications & Distributors Sdn. Bhd.

Pelan Pembangunan Pendidikan Malaysia 2013-2025. Kementerian Pelajaran Malaysia.

Ringkasan Eksekutif Pelan Pembangunan Pendidikan 2013-2025: Pendidikan Prasekolah Hingga Lepasan Menengah. Kementerian Pendidikan Malaysia.

Sudut Pandang Muhyiddin Yassin. Isu, Kontroversi, Pandangan Serta Harapan.  Sebuah Wawancara (2011), Kuala Lumpur: Institut Terjemahan Negara Malaysia Berhad.



ISU 2: PANDANGAN BERKAITAN FAKTOR YANG MENYEBABKAN BERLAKUNYA JURANG ANTARA PELAJAR

PANDANGAN OLEH:

FATHIAH BINTI ABDUL RASHID
M20151000754

PANDANGAN BERKAITAN FAKTOR YANG MENYEBABKAN BERLAKUNYA JURANG ANTARA PELAJAR

1) MASALAH KETIDAKSEPADANAN OPSYEN DALAM KALANGAN GURU

Sekolah-sekolah di Malaysia sekarang kekurangan guru-guru yang berkemahiran bertugas di luar bandar. Masalah ketidaksepadanan opsyen dalam kalangan guru telah mengakibatkan proses P&P terganggu. Sebagai contoh, guru yang bukan opsyen Matematik terpaksa mengajar Matematik disebabkan guru yang sepatutnya mengajar Matematik tidak melapor diri di sekolah luar bandar, Kesukaran menempatkan guru-guru ke luar bandar telah mengakibatkan ketidakseimbangan opsyen berlaku di sekolah luar bandar. Akibatnya, pelajar-pelajar di luar bandar diajar oleh guru-guru yang tidak berpengalaman mengajar dalam opsyen tertentu. Sepatutnya pihak Kementerian Malaysia memandang serius permasalahan ini kerana disebabkan ketidaksembangan ini, penempatan guru-guru ditempatkan secara rawak dan tidak mengikut opsyen yang betul. Sekaligus menyebabkan pembelajaran yang disampaikan oleh guru tidak disampaikan dengan betul dan menyebabkan para pelajar kurang cenderung terhadap pelajaran tersebut.

2) GURU MEMAINKAN PERANAN YANG PENTING BERBANDING IBU BAPA

Masa bersama guru di sekolah lebih panjang berbanding masa ibu bapa di rumah. Guru memainkan peranan yang penting dalam mengawal pelajar-pelajar semasa di kelas. Cara pengajaran guru juga penting dalam membentuk sahsiah diri pelajar sekaligus membawa imej yang baik ketika berada di rumah. Memandangkan sekolah merupakan medan ilmu untuk pelajar menimba ilmu pengetahuan maka wajarlah bagi guru menyediakan satu situasi pengajaran dan pembelajaran yang cukup berkesan. Mempunyai guru yang menunjukkan minat terhadap Matematik akan mendorong pelajar untuk meminati Matematik. Guru perlu meyakinkan pelajar bahawa semua orang boleh maju dalam Matematik. Biasanya minat pelajar menggambarkan sikap dan aspirasi yang ditunjukkan oleh guru. Guru perlu melibatkan diri dalam pembelajaran pelajar dan perlu menampakkan bahawa mereka berminat dalam pembelajaran pelajar mereka. Ibu bapa pula tidak perlu hebat dalam pemahaman dan pencapaian Matematik untuk membantu anak mereka, dan tidak semestinya mereka harus tahu semua jawapan kepada masalah Matematik. Apa yang penting, mereka perlu pendekatan dengan anak semasa anak mereka melakukan kerja rumah.

3) PENGGUNAAN BAHASA YANG BETUL PENTING SEMASA DI SEKOLAH

Di sekolah, guru hendaklah menggunakan bahasa yang betul khususnya penggunaan bahasa Melayu. Pada masa yang sama, penggunaan bahasa Melayu dengan betul perlu diseragamkan agar bahasa Melayu tidak menjadi bahasa rojak yang boleh menjejaskan maksud asalnya. Di sekolah, terdapat segelintir guru yang cenderung menggunakan dialek ketika mengendalikan pengajaran dan pembelajaran. Jika guru terlalu kerap menggunakan bahasa rojak, pelajar akan mudah terpengaruh dan menjadi terbiasa menggunakannya terutamanya ketika dalam penulisan. Ini akan menyebabkan bahasa kebangsaan disalahguna. Penggunaan bahasa Inggeris juga boleh menyebabkan jurang terhadap kurikulum Matematik pelajar sekolah bandar dan luar bandar. Seperti yang kita tahu, pencapaian pelajar sekolah luar bandar jauh ketinggalan berbanding pencapaian pelajar sekolah bandar.

4) MASALAH SOSIO-EKONOMI PELAJAR TIDAK MEMBAWA KEPADA KEMEROSOTAN PENCAPAIAN MATEMATIK DI SEKOLAH

Kita sering mengaitkan faktor sosio-ekonomi pelajar yang rendah akan menyebabkan kemerosotan pencapaian Matematik di sekolah. Kebiasannya masalah sosio-ekonomi ini lebih tertumpu kepada pelajar luar bandar yang terdiri daripada orang kampung yang jauh dari bandar. Hal ini dikaitkan dengan kurangnya dari segi kewangan terutamanya sumber-sumber rujukan. Buku-buku rujukan yang begitu mahal di pasaran akan menyebabkan pelajar luar bandar tidak mampu untuk memilikinya dan mereka belajar hanya bersandarkan buku teks semata-mata. Masalah sosio-ekonomi bukan merupakan faktor jurang pencapaian matematik yang perlu ditekankan tetapi lebih kepada sikap pelaar itu sendiri. Sikap pelajar yang sering mengambil mudah terhadap setiap perkara antara penyumbang sebenar kepada kemerosotan prestasi akademik mereka. Sikap sambil lewa dan tidak bersungguh-sungguh dalam melakukan aktiviti pembelajaran menjadikan mereka leka terhadap tanggungjawab mereka sebagai seorang pelajar. Perkara ini turut menjadi punca kepada pencapaian yang kurang memuaskan. Walaupun pada umumnya mereka tidak mempunyai masalah kewangan, namun kekurangan inisiatif dan tiadanya kesungguhan untuk terus maju menjadi penghalang untuk mereka membangunkan prestasi mereka sendiri.

5) PENGAJARAN MENGGUNAKAN ICT BERBANDING PENGAJARAN MENGGUNAKAN KAEDAH TRADISIONAL

Penggunaan teknologi komputer dalam proses pengajaran sememangnya mendatangkan banyak manfaat bagi proses pembelajaran pelajar. Namun disebalik itu, tidak dinafikan wujudnya masalah-masalah yang menjadi kekangan antanya adalah bilangan komputer yang tidak mencukupi, kos pembelian dan pengurusan komputer, keberkesanan penggunaan komputer, dan kemahiran guru dalam mengendalikan komputer. Pengajaran kaedah tradisional ini dapat dilihat sebagai kemahiran para guru untuk menjadikan proses pengajarannya akan menghidupkan lagi suasana dan meransang penyertaan pelajar dalam aktiviti pembelajaran. Para guru yang memiliki daya kreatif seringkali mendatangkan banyak idea baru selain dapat mengatasi masalah dengan menggunakan bahan-bahan serta situasi-situasi tertentu dengan cara luar biasa. Dengan itu, proses pembelajaran pelajar-pelajarnya mendapat ilmu yang maksimum.

6) PENGARUH RAKAN SEBAYA MEMBAWA FAKTOR KEPADA JURANG PENGAJARAN MATEMATIK

Peranan ibu bapa adalah amat penting dalam memberikan perhatian yang seirus terhadap anak-anak mereka. Ibu bapa mestilah memerhatikan setiap gerak geri anak-anak mereka. Ibu bapa hendaklah sentiasa mengetahui dan mengenal pasti masalah yang dihadapi oleh anak mereka serta sanggup meluangkan masa untuk mengetahui masalah tersebut. Ibu bapa juga seharusnya mengetahui rakan-rakan anak mereka dan sentiasa memastikan anak-anak mereka berkawan dan bergaul dengan mereka yang mempunyai kedudukan moral yang baik. Selain itu, tingkatkan penghayatan anak-anak terhadap agama, nilai- nilai murni, motivasi, melatih anak cara bersopan, serta menunjukkan keperibadian yang mulia. Ibu bapa hendaklah menjadi role model kepada anak. Kawal aktiviti anak-anak ketika berada di rumah agar mereka tidak culas bergaul dengan seberangan orang. Ibu bapa juga boleh menggalakkan anak-anak mereka membuat study group di rumah agar pergaulan mereka senang dikawal dan boleh diawasi secara langsung.