Saturday, 14 November 2015

ISU 2: PANDANGAN BERKAITAN FAKTOR YANG MENYEBABKAN BERLAKUNYA JURANG ANTARA PELAJAR

PANDANGAN OLEH:

FATHIAH BINTI ABDUL RASHID
M20151000754

PANDANGAN BERKAITAN FAKTOR YANG MENYEBABKAN BERLAKUNYA JURANG ANTARA PELAJAR

1) MASALAH KETIDAKSEPADANAN OPSYEN DALAM KALANGAN GURU

Sekolah-sekolah di Malaysia sekarang kekurangan guru-guru yang berkemahiran bertugas di luar bandar. Masalah ketidaksepadanan opsyen dalam kalangan guru telah mengakibatkan proses P&P terganggu. Sebagai contoh, guru yang bukan opsyen Matematik terpaksa mengajar Matematik disebabkan guru yang sepatutnya mengajar Matematik tidak melapor diri di sekolah luar bandar, Kesukaran menempatkan guru-guru ke luar bandar telah mengakibatkan ketidakseimbangan opsyen berlaku di sekolah luar bandar. Akibatnya, pelajar-pelajar di luar bandar diajar oleh guru-guru yang tidak berpengalaman mengajar dalam opsyen tertentu. Sepatutnya pihak Kementerian Malaysia memandang serius permasalahan ini kerana disebabkan ketidaksembangan ini, penempatan guru-guru ditempatkan secara rawak dan tidak mengikut opsyen yang betul. Sekaligus menyebabkan pembelajaran yang disampaikan oleh guru tidak disampaikan dengan betul dan menyebabkan para pelajar kurang cenderung terhadap pelajaran tersebut.

2) GURU MEMAINKAN PERANAN YANG PENTING BERBANDING IBU BAPA

Masa bersama guru di sekolah lebih panjang berbanding masa ibu bapa di rumah. Guru memainkan peranan yang penting dalam mengawal pelajar-pelajar semasa di kelas. Cara pengajaran guru juga penting dalam membentuk sahsiah diri pelajar sekaligus membawa imej yang baik ketika berada di rumah. Memandangkan sekolah merupakan medan ilmu untuk pelajar menimba ilmu pengetahuan maka wajarlah bagi guru menyediakan satu situasi pengajaran dan pembelajaran yang cukup berkesan. Mempunyai guru yang menunjukkan minat terhadap Matematik akan mendorong pelajar untuk meminati Matematik. Guru perlu meyakinkan pelajar bahawa semua orang boleh maju dalam Matematik. Biasanya minat pelajar menggambarkan sikap dan aspirasi yang ditunjukkan oleh guru. Guru perlu melibatkan diri dalam pembelajaran pelajar dan perlu menampakkan bahawa mereka berminat dalam pembelajaran pelajar mereka. Ibu bapa pula tidak perlu hebat dalam pemahaman dan pencapaian Matematik untuk membantu anak mereka, dan tidak semestinya mereka harus tahu semua jawapan kepada masalah Matematik. Apa yang penting, mereka perlu pendekatan dengan anak semasa anak mereka melakukan kerja rumah.

3) PENGGUNAAN BAHASA YANG BETUL PENTING SEMASA DI SEKOLAH

Di sekolah, guru hendaklah menggunakan bahasa yang betul khususnya penggunaan bahasa Melayu. Pada masa yang sama, penggunaan bahasa Melayu dengan betul perlu diseragamkan agar bahasa Melayu tidak menjadi bahasa rojak yang boleh menjejaskan maksud asalnya. Di sekolah, terdapat segelintir guru yang cenderung menggunakan dialek ketika mengendalikan pengajaran dan pembelajaran. Jika guru terlalu kerap menggunakan bahasa rojak, pelajar akan mudah terpengaruh dan menjadi terbiasa menggunakannya terutamanya ketika dalam penulisan. Ini akan menyebabkan bahasa kebangsaan disalahguna. Penggunaan bahasa Inggeris juga boleh menyebabkan jurang terhadap kurikulum Matematik pelajar sekolah bandar dan luar bandar. Seperti yang kita tahu, pencapaian pelajar sekolah luar bandar jauh ketinggalan berbanding pencapaian pelajar sekolah bandar.

4) MASALAH SOSIO-EKONOMI PELAJAR TIDAK MEMBAWA KEPADA KEMEROSOTAN PENCAPAIAN MATEMATIK DI SEKOLAH

Kita sering mengaitkan faktor sosio-ekonomi pelajar yang rendah akan menyebabkan kemerosotan pencapaian Matematik di sekolah. Kebiasannya masalah sosio-ekonomi ini lebih tertumpu kepada pelajar luar bandar yang terdiri daripada orang kampung yang jauh dari bandar. Hal ini dikaitkan dengan kurangnya dari segi kewangan terutamanya sumber-sumber rujukan. Buku-buku rujukan yang begitu mahal di pasaran akan menyebabkan pelajar luar bandar tidak mampu untuk memilikinya dan mereka belajar hanya bersandarkan buku teks semata-mata. Masalah sosio-ekonomi bukan merupakan faktor jurang pencapaian matematik yang perlu ditekankan tetapi lebih kepada sikap pelaar itu sendiri. Sikap pelajar yang sering mengambil mudah terhadap setiap perkara antara penyumbang sebenar kepada kemerosotan prestasi akademik mereka. Sikap sambil lewa dan tidak bersungguh-sungguh dalam melakukan aktiviti pembelajaran menjadikan mereka leka terhadap tanggungjawab mereka sebagai seorang pelajar. Perkara ini turut menjadi punca kepada pencapaian yang kurang memuaskan. Walaupun pada umumnya mereka tidak mempunyai masalah kewangan, namun kekurangan inisiatif dan tiadanya kesungguhan untuk terus maju menjadi penghalang untuk mereka membangunkan prestasi mereka sendiri.

5) PENGAJARAN MENGGUNAKAN ICT BERBANDING PENGAJARAN MENGGUNAKAN KAEDAH TRADISIONAL

Penggunaan teknologi komputer dalam proses pengajaran sememangnya mendatangkan banyak manfaat bagi proses pembelajaran pelajar. Namun disebalik itu, tidak dinafikan wujudnya masalah-masalah yang menjadi kekangan antanya adalah bilangan komputer yang tidak mencukupi, kos pembelian dan pengurusan komputer, keberkesanan penggunaan komputer, dan kemahiran guru dalam mengendalikan komputer. Pengajaran kaedah tradisional ini dapat dilihat sebagai kemahiran para guru untuk menjadikan proses pengajarannya akan menghidupkan lagi suasana dan meransang penyertaan pelajar dalam aktiviti pembelajaran. Para guru yang memiliki daya kreatif seringkali mendatangkan banyak idea baru selain dapat mengatasi masalah dengan menggunakan bahan-bahan serta situasi-situasi tertentu dengan cara luar biasa. Dengan itu, proses pembelajaran pelajar-pelajarnya mendapat ilmu yang maksimum.

6) PENGARUH RAKAN SEBAYA MEMBAWA FAKTOR KEPADA JURANG PENGAJARAN MATEMATIK

Peranan ibu bapa adalah amat penting dalam memberikan perhatian yang seirus terhadap anak-anak mereka. Ibu bapa mestilah memerhatikan setiap gerak geri anak-anak mereka. Ibu bapa hendaklah sentiasa mengetahui dan mengenal pasti masalah yang dihadapi oleh anak mereka serta sanggup meluangkan masa untuk mengetahui masalah tersebut. Ibu bapa juga seharusnya mengetahui rakan-rakan anak mereka dan sentiasa memastikan anak-anak mereka berkawan dan bergaul dengan mereka yang mempunyai kedudukan moral yang baik. Selain itu, tingkatkan penghayatan anak-anak terhadap agama, nilai- nilai murni, motivasi, melatih anak cara bersopan, serta menunjukkan keperibadian yang mulia. Ibu bapa hendaklah menjadi role model kepada anak. Kawal aktiviti anak-anak ketika berada di rumah agar mereka tidak culas bergaul dengan seberangan orang. Ibu bapa juga boleh menggalakkan anak-anak mereka membuat study group di rumah agar pergaulan mereka senang dikawal dan boleh diawasi secara langsung.

Tuesday, 10 November 2015

ISU 2: PANDANGAN BERKAITAN FAKTOR YANG MENYEBABKAN BERLAKUNYA JURANG ANTARA PELAJAR

PANDANGAN OLEH:

NOR SHAHEERA BINTI ISMAIL
M20151000760

PANDANGAN BERKAITAN FAKTOR YANG MENYEBABKAN BERLAKUNYA
JURANG ANTARA PELAJAR

1. Peranan guru dalam pencapaian pelajar

Peranan guru juga merupakan element yang penting dalam mendidik pelajar. Guru bukan setakat mendidik pelajar bahkan boleh dianggap sebagai ibubapa sewaktu anak-anak di sekolah. Peranan guru dalam pembelajaran dan pengajaran sangat penting untuk menarik minat untuk menyukai mata pelajaran tersebut. Para guru juga perlu kreatif dan bertindak secara agresif dalam proses pengajaran mereka agar pelajar tidak bosan sekaligus dapat menarik pelajar yang kurang berminat dalam pelajaran matematik

2. Minat dan sikap pelajar dalam mencapai sesuatu kejayaan

Sikap dan minat merupakan hubungan yang seiring dengan peribadi pelajar. Sekiranya sikap pelajar yang acuh tak acuh dalam pembelajaranya , maka kita boleh lihat mereka kurang berminat terhadap subjek tersebut. Jadi untuk mengubah sikap negatif tersebut, pelbagai pihak memainkan peranan antaranya guru, ibubapa bahkan pelajar itu sendiri perlu mengubah sikapnya yang negative kepada positif. Motivasi guru juga penting dalam menarik minat terhadap mata pelajaran matematik.

3. Faktor ekonomi keluarga.

Kita sering dikaitkan dengan kemerosotan akademik pelajar berpunca daripada faktor ekonomi keluarga yang tidak mampu memberi pelajaran tambahan kepada pelajar tersebut. Pada pendapat saya faktor ekonomi keluarga bukan masalah pencapaian akademik pelajar merosot. Hal ini kita dapat buktikan oleh pelajar cemerlang Sijil Pelajaran Menengah (SPM), Nik Nur Madihah bahawa seorang pelajar yang datang dari keluarga yang berpendapatan rendah mampu meraih kecemerlangan dalam pelajaran. Walaupun beliau datang dari keluarga yang susah, tetapi beliau tidak menganggapkan kesusahan keluarganya menghalang beliau untuk berjaya.

4. Faktor bahasa

Adakah faktor bahasa boleh merosot pretasi pelajar? Bagi kawasan luar Bandar mungkin mereka berpendapat bahawa penggunaan bahasa Inggeris dalam mata pelajaran matematik sukar untuk mereka mendalami sepenuhnya. Tetapi pada pendapat saya, bagi penggunaa bahasa Inggeris dalam mata pelajaran matematik mestilah bermula dari awal peringkat persekolahan. Contohnya penggunaan bahasa Inggeris dalam mata pelajaran matematik mestilah bermula dari pelajar tahun satu. Hal ini kerana pelajar tersebut sudah mendalami dan memahami terminalogi bahasa tersebut dan mudah bagi mereka untuk menjawab soalan peperiksaan. Selain itu, kita dapat meningkat penguasaan bahasa Inggeris dalam diri pelajar.

5. Keprihatinan ibubapa terhadap pelajaran anak-anak.

Ibubapa juga penting dalam mendidik anak-anak selain dari guru di sekolah. Keprihatinan ibubapa amat penting dan bukan menyerah sebulat-bulatnya hal pelajaran anak-anak terhadap guru mahupun pembantu rumah. Ini kita dapat lihat sekiranya ibubapa mereka bekerja dan kebanyakkan menyerahkan hal pelajaran anak-anak kepada pembantu rumah. Hal ini menyebabkan anak-anak beranggapan ibubapa mereka tidak mementingkan pelajaran mereka. Ibubapa yang sibuk bekerja seharusnya luangkan sedikit masa bersama anak-anak dan berbincang masalah pelajaran anak-anak agar mereka tidak merasai terbiar oleh ibubapa mereka.

ISU 2: PANDANGAN BERKAITAN FAKTOR YANG MENYEBABKAN BERLAKUNYA JURANG ANTARA PELAJAR

NUR ASYATULMAILA BINTI MOHAMAD ASRI
M20151000721
M. Edu. (MATHEMATICS)

PANDANGAN BERKAITAN FAKTOR YANG MENYEBABKAN BERLAKUNYA JURANG ANTARA PELAJAR

1. Peranan pelajar itu sendiri merupakan satu eleman yang penting yang menyebabkan berlakunya jurang dalam  pencapaian pelajar bagi matapelajaran matematik.

Terdapat pelajar yang menganggap matapelajaran matematik adalah satu matapelajaran yang sukar untuk dikuasai dan dipelajari disebabkan terdapat pelbagai rumus, teori dan konsep yang perlu difahami. Sewaktu sesi pembelajaran dan pengajaran berlangsung pula, kebanyakan guru menggunakan bahasa inggeris sebagai bahasa pengantar untuk mengajar matapelajaran matematik. Jadi, bagi pelajar yang lemah tahap penguasaan bahasa inggeris, pelajar akan kurang faham apa yang di ajar serta susah untuk berkomunikasi dengan guru dan kurang berkeyakinan untuk bertanya kepada guru di dalam kelas. Ini menjadikan sesi pengajaran dan pembelajaran kurang berkesan yang menyebabkan pelajar mudah bosan dan tertekan terhadap matapelajaran matematik, seterusnya menjadikan mereka mudah hilang minat terhadap matapelajaran tersebut. Jadi, ini akan menimbulkan jurang yang sangat ketara kepada pelajar yang kurang kurang minat dengan matapelajaran matematik berbanding pelajar yang minat dengan matapelajaran tersebut. Ada kalanya, pentadbir, pendidik malahan ibu bapa mempunyai prasangka dan gambaran stereotaip tertentu terhadap murid-murid yang gagal dan bermasalah. Sikap negatif begini sukar membantu kita melaksanakan program pemulihan atau pemantapan dengan jaya.

2. Peranan guru juga amat penting dalam mengurangkan jurang pencapaian antara pelajar.

Kebanyakan guru hanya menjalankan sesi pengajaran dan pembelajaran bagi matapelajaran matematik hanya bergantung sepenuhnya kepada buku teks sahaja dan kurang mempelbagai gaya pengajaran dan pembelajaran di dalam kelas. Selain itu, terdapat sesetengah guru hanya mementingkan pengajaran berasaskan peperiksaan sahaja. Guru juga tidak mendedahkan pelajar dengan penggunaan perisian matematik walaupun terdapat beberapa perisian matematik yang boleh diterokai pelajar untuk membantu dalam memahami sesuatu konsep matematik. Sesetengah guru lebih cenderung untuk mengajar pelajar menggunakan cara tradisional sahaja. Jadi pelajar terutamanya pelajar luar bandar mengalami masalah pemahaman konsep matematik disebabkan pengajaran guru yang tidak menarik. Tambahan pula, cara pengajaran guru juga hanya berdasarkan pengajaran satu hala sahaja yang mana pelajar lebih banyak mendengar penerangan guru tanpa mereka meneroka sendiri konsep matematik tersebut. Ini menjadikan pembelajaran tersebut tidak menarik dan hambar kerana tiada unsur yang menarik untuk dijadikan contoh di dalam kelas. Pelajar juga akan mudah bosan dan kurang berminat untuk belajar matapelajaran tersebut. Kekurangan guru-guru yang berkemahiran bertugas di luar bandar telah menyebabkan berlakunya masalah ketidaksepadanan opsyen dalam kalangan guru telah mengakibatkan proses pengajaran dan pembelajaran terganggu. Sebagai contoh, guru yang bukan opsyen Matematik terpaksa mengajar Matematik disebabkan guru yang sepatutnya mengajar Matematik tidak melapor diri di sekolah luar bandar. Akibatnya, pelajar-pelajar di luar bandar diajar oleh guru-guru yang tidak berpengalaman mengajar dalam opsyen tertentu.

3. Sekolah yang kekurangan infrastruktur dan kemudahan asas juga antara punca berlakunya jurang pencapaian antara pelajar.
Seperti yang kita tahu, pencapaian pelajar sekolah luar bandar jauh ketinggalan berbanding pencapaian pelajar sekolah bandar. Faktor prasarana yang tidak mencukupi telah mengakibatkan jurang pencapaian pelajar bandar dan luar bandar berlaku. Bagi sekolah yang jauh di pedalaman, masih terdapat sekolah rendah yang belum mempunyai bekalan elektrik dan kebanyakkan sekolah di pedalaman masih tidak mempunyai makmal komputer. Selain itu, janakuasa yang dibekalkan pula berkuasa rendah dan tidak mencukupi untuk menampung penggunaan ICT di sekolah di samping menghadapi kesukaran mendapatkan diesel. Bagi kawasan sekolah luar bandar pula, terdapat masalah capaian internet dan kemudahan ICT. Sekolah di kawasan luar bandar juga kurang mempunyai kemudahan bahan bantu mengajar (BBM) seperti overhead projector (OHP), model-model dan alat matematik yang lain. Keadaan bilik darjah yang tidak kondusif juga telah mengganggu konsentrasi pelajar untuk belajar. Kekurangan sumber rujukan di pusat sumber juga telah menyebabkan pelajar-pelajar sukar memperolehi maklumat tambahan berkaitan pembelajaran mereka. Keadaan sekolah-sekolah di luar bandar ini sangat berbeza dengan sekolah bandar. Ketidakseimbangan bekalan komputer juga berlaku di antara sekolah luar bandar dan bandar. Kemudahan-kemudahan asas seperti ini perlu disediakan dengan lebih banyak di sekolah luar bandar kerana pelajar di sekolah luar bandar lebih memerlukan bantuan seperti ini. Oleh itu, jika dibandingkan dengan kawasan sekolah di bandar, guru-guru di sekolah kawasan bandar lebih mendedahkan pelajarnya dengan peralatan teknologi atau perisian matematik. Maka, pelajar di bandar lebih mempunyai pengetahuan dan pemahaman konsep matematik dengan lebih mendalam.
4. tahap kesedaran ibu bapa terhadap pentingnya pendidikan kepada anak-anak juga menyebabkan terjadinya jurang antara pelajar.
Jurang antara pelajar dalam matapelajaran matematik juga terjadi disebabkan anak-anak tidak mendapat sokongan moral daripada ibu bapa mereka. Pencapaian pelajar dalam sesuatu subjek turut disumbangkan oleh peranan ibu bapa yang sentiasa memberi sokongan dan kekuatan untuk membina keyakinan diri pelajar untuk belajar dengan lebih bersungguh-sungguh. Cara keluarga menunjukkan minat kepada pelajaran pelajar akan memberi rangsangan secara positif kepada pembelajaran pelajar. Anak-anak tidak akan memberi tumpuan terhadap apa yang dipelajari jika ibu bapa kurang terlibat dalam pendidikan anak-anak di rumah. Anak-anak akan merasa diri mereka diabaikan sekiranya perhatian ibu bapa terhadap anak-anak mereka tidak diberikan dengan secukupnya. Kadang-kala, anak-anak sengaja menggagalkan diri mereka dalam subjek tersebut bagi meraih perhatian ibu bapa mereka. Sekiranya ibu bapa dapat menunjukkan minat seperti sering berbincang dengan anak-anak mereka tentang pelajaran walaupun tidak secara khususnya harus memberi tunjuk ajar kepada anak mereka dalam isi kandungan mata pelajaran, pelajar akan merasakan pelajarannya diambil perhatian oleh ibu bapa. Secara langsung dan tidak langsung, ibu bapa memindahkan nilai-nilai kehidupan mereka seperti mementingkan pembelajaran dan ilmu pengetahuan kepada anak-anak mereka. Ibu bapa merupakan orang-orang signifikan kepada pelajar yang diidentifikasikan oleh pelajar remaja pada masa perkembangan mereka dalam mencari identiti mereka.
5. Peranan bahasa juga memainkan peranan penting yang mneyebabkan terjadinya jurang antara pelajar

Bagi sesetengah sekolah, mereka masih lagi melakukan pembelajaran dan pengajaran subjek matematik dalam bahasa inggeris yang menyebabkan berlakunya beberapa masalah yang timbul antaranya ialah tahap penguasaan bahasa inggeris yang lemah dalam kalangan pelajar. Penggunaan bahasa inggeris dalam matapelajaran matematik menyebabkan sesetengah pelajar yang mempunyai tahap penguasaan bahasa inggeris yang lemah berbanding pelajar yang mahir bahasa inggeris menghadapi masalah dalam menyelesaikan soalan matematik tersebut. Hal ini kerana pelajar tidak memahami soalan yang diberikan terutamanya bagi soalan matematik yang berbentuk penyelesaian masalah. Kebanyakan pelajar tidak mampu menjawab dengan betul disebabkan mereka tidak memahami soalan yang diberikan yang ditulis dalam bahasa inggeris. Ini akan menjejaskan pencapaian pelajar dalam matapelajaran matematik bagi pelajar yang lemah tahap penguasaan bahasa inggeris seterusnya menyebabkan terjadinya jurang antara pelajar yang lemah penguasaan bahasa inggeris berbanding dengan pelajar yang mempunyai tahap penguasaan bahasa inggeris yang baik.

6. Peranan pihak pentadbiran sekolah juga memainkan penting yang meyebabkan berlakunya jurang antara pelajar.


Pihak sekolah selalunya akan mengasingkan pelajar mengikut tahap pembelajaran pelajar yang mana bagi pelajar yang mentapat pencapaian yang tinggi dalam matapelajaran matematik akan dan subjek-subjek lain akan diletakkan di dalam satu kelas yang teratas. Para pelajar ini akan diberikan sepenuh tumpuan dari segi pembelajaran dan pengajaran. Selain itu, pihak sekolah akan mengadakan pelbagai program bagi meningkatkan tahap pencapaian kepada pelajar yang berada di dalam kelas yang cemerlang ini. Manakala, bagi pelajar yang mendapat pencapaian yang kurang cemerlang akan diletakkan dalam satu kelas yang lain. Kebanyakan pelajar di dalam kelas ini kurang menjadi tumpuan dalam sesi pengajaran da pembelajaran dalam kalangan guru dan pihak sekolah. Jadi ini menyebabkan pelajar-pelajar yang berada di kelas yang kurang cemerlang ini akan mudah berasa bosan kerana kebanyakannya tidak memahami apa yang di ajar oleh guru di dalam kelas. Hasilnya, pelajar tidak dapat menumpukan perhatian di dalam kelas dan tidak berminat untuk belajar matapelajaran yang di ajar.

ISU 2: FAKTOR YANG MENYEBABKAN BERLAKUNYA JURANG DALAM KALANGAN PELAJAR

EMPAT FAKTOR YANG MENYEBABKAN BERLAKUNYA JURANG DALAM KALANGAN PELAJAR
Terdapat pelbagai faktor yang boleh menyebabkan berlakunya jurang pencapaian matematik dalam kalangan pelajar. Faktor- faktor yang dibincangkan dimana boleh mempengaruhi kejayaan atau kegagalan dalam proses pengajaran dalam pembelajaran adalah minat pelajar itu sendiri terhadap matematik, sosio ekonomi, faktor jantina dan faktor lokasi. Kemerosotan pencapaian pelajar dalam mata pelajaran matematik merupakan suatu masalah yang sering dibincangkan dari semasa ke semasa sama ada di akhbar, majalah, laman sosial, televisyen dan sebagainya. Masalah kemerosotan ini serius dilihat pada keputusan Ujian Penilaian Sekolah Rendah (UPSR), Penilaian Menengah Rendah (PMR) dan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) yang diumumkan pada setiap tahun. Namun, semua pihak yang cuba mengambil perhatian terhadap masalah ini sering menunding jari dan menyalahkan pihak lain. Ini kerana mereka cuba mengelakkan diri sendiri daripada dipertangungjawab dengan permasalahan ini. Permasalahan ini seharusnya ditangani bersama bersama secara rasional bagi membantu dan mencari penyelesaian masalah untuk tujuan kebaikan bersama.

Faktor Minat

Faktor- faktor yang boleh menyebabkan jurang pencapaian matematik berlaku salah satunya adalah faktor minat. Minat pula merujuk kepada keinginan, kesukaan atau kecenderungan terhadap sesuatu (Kamus Dewan, 2007). Manakala Sharifah (1983) mendefinisikan minat sebagai kecenderungan untuk mendekati sesuatu objek atau aktiviti yang berkaitan dengan objek tersebut. Faktor minat terhadap sesuatu perkara terutamanya tehadap matematik boleh menyumbangkan kepada pencapaian matematik di sekolah rendah mahupun di sekolah menengah. Sebenarnya minat dalam matematik ini boleh dipupuk sejak kecil lagi dimana kita boleh mendekatkan kanak-kanak dengan pernomboran. Para pelajar tidak nampak kepentingan dan hubung kait matematik dengan mata pelajaran lain. Sekiranya mereka faham konsep matematik ini, maka mereka boleh menggunakan konsep tersebut dalam mata pelajaran lain malah minat mereka yang tidak cintakan matematik boleh dipupuk dari situ. Oleh itu, sikap pelajar yang kurang minat terhadap pelajaran matematik membuatkan mereka kurang membuat latihan dan keinginan mereka dalam membuat latihan matematik kurang wujud dalam diri mereka.

Menurut beberapa orang pengkaji, minat boleh membawa pelbagai maksud seperti yang dikatakan oleh Omardin (1996) bahawa minat merupakan suatu perkara yang mendorong pelajar untuk bergiat cergas dalam aktiviti pembelajaran. Sekiranya pelajar kurang minat dan bersikap acuh terhadap mata pelajaran tersebut, secara tidak langsung akan menjejaskan pretasi mereka dalam pelajaran dan seterusnya pencapaian akan merosot. Ini kerana minat memberi impak yang besar dalam diri pelajar untuk belajar bersungguh-sungguh. Dengan kata lain, kepuasan mereka akan hanya dapat kita lihat atau kita capai apabila mempelajari mata pelajaran matematik dan memahaminya.

Manakala Quek (2006) pula berkata minat pula mempunyai pengaruh yang positif kepada pencapaian pelajar dalam mata pelajaran matematik. Hal ini kita dapat lihat sekiranya mereka mempunyai kesungguhan dan usaha yang lebih dan akan menghasilkan keuntungan kepada mereka. Abu Bakar (1994) pula menyatakan seseorang yang berminat dalam perkara yang dipelajari lazimnya akan menunjukkan kesungguhan dan pencapaian yang tinggi. Oleh itu minat perlu ditanamkan dalam diri pelajar. Keseronokan belajar akan meningkatkan minat dan ia boleh dipertingkatkan lagi dengan penyertaan dan dorongan ibubapa, guru, dan rakan-rakan di dalam proses pembelajaran.

Selain itu juga, guru juga memainkan peranan penting dalam membantu minat pelajar terhadap sesuatu yang belum diceburi oleh mereka ataupun yang belum dipelajari oleh mereka. Melalui pengajaran guru juga boleh menarik minat pelajar dan hal ini seterusnya membantu proses pencapaian objektif pembelajaran. Ini terbukti dalam kajian Ee (1996) yang mendapati bahawa guru juga dapat meningkatkan minat pelajar melalui pelbagai ransangan ataupun teknik-tekniknya tersendiri.

Faktor Sosio Ekonomi
Latar belakang status sosio ekonomi merangkumi aspek bilangan isi keluarga, pendapatan ibu bapa, pekerjaan ibubapa dan aspirasi sesebuah keluarga, yang lazimnya dikaitkan dengan komponen teras sosial dan ekonomi. Ahli-ahli sosiologi, termasuk Max Weber bersetuju terhadap lima kelas sosial di dalam masyarakat iaitu golongan atasan, pertengahan atasan, kelas pertengahan bawah, kelas pekerja dan golongan bawahan. Kedudukan status sosio ekonomi sedemikian turut mempengaruhi kanak-kanak yang secara langsung dan tidak langsung belajar daripada persekitaran fizikal, sosial dan iklim dalam dunia mereka dibesarkan. Ketinggian status sosio ekonomi sering dikaitkan dengan berinisiatif tinggi, bermotivasi, dan penyerlahan pelbagai kejayaan. Manakala, status status sosio ekonomi rendah pula dikolompokkan dalam kepapaan, kemiskinan, pengasingan daripada arus perdana kemajuan, kegetiran kehidupan, kais pagi makan pagi yang petang tiada kepastian, dan pelbagai musibah kegagalan kehidupan. Mereka dilabelkan sebagai sering berputus asa dan sukar menerima kenyataan. Ini menyebakan mereka sukar merancang masa depan dan sering menjadi mangsa keadaan sehingga berterusan dalam lingkaran ’putaran ganas kemiskinan’. Kemelut ini berterusan merebak persis wabak iaitu masyarakat umum melabelkan ibubapa status sosio ekonomi rendah tidak mempunyai cita-cita yang tinggi terhadap pencapaian anak-anak mereka di sekolah. Walaupun kanak-kanak ini mempunyai cita-cita untuk berjaya tetapi gagal mencapai cita-cita tersebut kerana tidak mendapat dorongan dan sokongan sewajarnya daripada ibubapa sendiri.

Status sosio ekonomi adalah satu faktor penting yang dapat mempengaruhi pelbagai aspek kehidupan kita. Peranan yang dimainkan oleh status sosio ekonomi dalam proses pembelajaran serta pencapaian akademik telah banyak dibincangkan dalam kajian sosiologi, pendidikan dan ekonomi. Menurut Brembeck dalam Badariah (1999), pencapaian akademik seseorang dikatakan mempunyai pertalian yang rapat dengan status sosio ekonomi keluarga. Ini bermaksud lebih tinggi latar belakang sesebuah keluarga maka lebih tinggi kadar pencapaian akademik seseorang pelajar itu. Status sosio ekonomi keluarga telah dianggap sebagai salah satu peramal yang terbaik untuk pencapaian akademik oleh pengkaji pendidikan, pendidik dan masyarakat umum sejak beberapa dekad yang lalu (Marzano, 2003). Ini disokong oleh kajian Coleman (1966) Equality of Educatonal Opportunity yang menyatakan bahawa status sosio ekonomi merupakan peramal yang kuat ke atas pencapaian akademik pelajar (Kahlenberg, 2006; Thomas & Stockton, 2003). Maka jelaslah bahawa status sosio ekonomi dapat memberi impak ke atas pencapaian akademik secara langsung dan tidak langsung. Status sosio ekonomi dapat memberi impak ke atas pencapaian akademik seeseorang dalam konteks penyediaan segala keperluan sokongan pembelajaran seperti bahan rujukan, alat tulis, komputer, keadaan pembelajaran yang kondusif serta menghadiri kelas tambahan. Pada masa yang sama, status sosio ekonomi juga berkait dengan gaya keibubapaan dan bimbingan, galakkan serta motivasi yang diberi oleh ibubapa ke atas anak mereka. Pelajar yang datang dari keluarga yang berstatus sosio ekonomi tinggi berkecenderungan memperoleh pencapaian akademik yang lebih memuaskan. Ini adalah kerana aspek status sosio ekonomi dapat mempengaruhi aspek lain seperti persekitaran pembelajaran dan bahan-bahan sokongan untuk pembelajaran (Song & Hattie, 1984).

Ciri-ciri dan struktur keluarga memainkan peranan yang penting dalam aspek pembelajaran serta kejayaan akademik dan status sosio ekonomi adalah salah satu ciri keluarga yang penting dalam mempengaruhi pencapaian akademik (Marzano, 2003). Status sosio ekonomi keluarga dapat memberi pengaruh yang kuat ke atas peluang untuk mendapatkan pendidikan serta hasil proses pendidikan (Croli, 2004). Berdasarkan kajian-kajian lepas, indikator yang paling biasa digunakan untuk mengukur status sosio ekonomi termasuk pendapatan ibu bapa, tahap pendidikan ibu bapa serta pekerjaan ibu bapa (Gonzalez, 2001; Bradley & Corwyn, 2002; Buchner & Gerlitz, 2005). Menurut Croli (2004), banyak kajian untuk melihat hubungan antara status sosio ekonomi keluarga dan pelbagai aspek pembelajaran telah dijalankan sejak 1950an. Kebanyakan hasil kajian menunjukkan bahawa status sosio ekonomi keluarga yang tinggi berkait dengan pencapaian akademik yang baik. Keputusan kajian Verna, Campbell dan Beasley (1997) melaporkan bahawa profesion bapa akan mempengaruhi jenis sokongan psikologikal yang diberikan kepada anak dan seterusnya mempertingkatkan konsep kendiri umum anak tersebut. Dapatan kajian Enam (2006) melaporkan bahawa murid dari keluarga sosio ekonomi sederhana mempunyai konsep kendiri yang tertinggi, diikuti oleh murid dari keluarga sosio ekonomi tinggi dan murid dari keluarga sosio ekonomi rendah mempunyai konsep kendiri yang paling rendah. Didapati juga murid lelaki dari keluarga status sosio ekonomi sederhana mempunyai konsep kendiri yang paling tinggi diikuti oleh murid lelaki dari keluarga sosio ekonomi tinggi dan mereka yang berasal dari status sosio ekonomi rendah. Bagi murid perempuan, mereka yang berasal dari keluarga status sosio ekonomi rendah mempunyai konsep kendiri yang paling tinggi diikuti oleh murid perempuan dari keluarga status sosio ekonomi tinggi dan mereka dari keluarga status sosio ekonomi sederhana.

Heng (2000) telah menjalankan satu kajian dengan tujuan untuk meninjau sejauh manakah faktor status sosio ekonomi keluarga dan sikap pelajar-pelajar dapat mempengaruhi pencapaian akademik mereka. Faktor status sosio ekonomi telah diukur berdasarkan tahap pendidikan ibu bapa, tingkat pendapatan ibu dan bapa serta peralatan dan kemudahan yang disediakan di rumah untuk pembelajaran. Mereka yang berpendapatan tinggi akan dapat memenuhi segala perbelanjaan persekolahan anak-anak mereka. Menurut Suradi (2000) wujud kepentingan perhubungan antara status keluarga dengan pencapaian akademik anak-anak. Ibu bapa yang mempunyai tahap pendidikan yang baik memberangsang anak-anak untuk berjaya dan mereka lebih prihatin terhadap keperluan pendidikan anak-anak. Menurut Azrul (2002) faktor kewangan menyebabkan pelajar bumiputera menghadapi masalah dalam pendidikan. Kebanyakkan masyarakat bumiputera terdiri daripada golongan yang sederhana dari segi kehidupan. Ini mendorong pelajar bumiputera merasa tersisih dalam mendapatkan sistem pendidikan yang baik peringkat awal. Ketidakupayaan ini salah satu punca pelajar bumiputera tidak cemerlang dalam pelajaran.

Suasana tempat tinggal yang lengkap dan keadaan persekitaran turut memberikan impak kepada jurang pendidikan. Beberapa kajian mendapati bahawa beberapa ciri persekitaran keluarga mempengaruhi pencapaian akademik murid sekolah. Status sosio ekonomi keluarga (Phillips 1987, Abdullah et. al. 1988, Alvarez 1989), latarbelakang budaya (Stigler et. al. 1982) merupakan antara pembolehubah yang mempengaruhi pencapaian. Suasana yang kondusif amat penting di dalam proses pembelajaran. Akan tetapi suasana seperti ini tidak dapat dirasakan oleh pelajar daripada keluarga golongan bawahan. Kebanyakan daripada mereka tinggal di rumah yang sempit dan ada juga pelajar yang tinggal di rumah yang tidak mempunyai kemudahan asas seperti air dan elektrik. Apabila musim kemarau pula, pelajar–pelajar ini berasa tidak selesa akibat terlalu panas yang menyebabkan mereka sentiasa mengantuk. Keadaan sebegini mengganggu proses pembelajaran dan penumpuan para pelajar. Menurut Salihan (1994) pelajar bumiputera lemah dalam mata pelajaran matematik kerana faktor sikap ibu bapa, kaedah pembelajaran di rumah dan suasana persekitaran yang kurang menggalakkan. Abdul Fatah (1994) pula menyatakan lazimnya keluarga Melayu di kampung tidak mengambil berat terhadap faktor pemakanan dan faktor pendedahan mental anak-anak disebabkan status sosio ekonomi yang rendah. Faktor sekitar juga memainkan peranan penting dalam mempengaruhi perlakuan seseorang. Anak-kanak lebih mudah mengikuti apa yang berlaku di sekitar mereka tanpa mengetahui baik dan buruknya. Struktur keluarga yang mempunyai jumlah ahli keluarga yang kecil atau besar, kes penceraian, tahap pendidikan ibu bapa, pengaruh luar yang terdiri daripada masyarakat dan rakan sebaya juga memainkan peranan terhadap pembentukan kelas sosial dalam masyarakat. Menurut Teori Ekologikal Bronfenbrenner (1979, 1989, 1995), faktor biologi dan faktor persekitaran banyak mempengaruh proses perkembangan seseorang dari pelbagai aspek. Teori ini menjelaskan bahawa perkembangan individu dipengaruhi oleh satu siri sistem persekitaran bermula dari keluarga terdekat sehingga ke konteks sosial yang lebih luas, secara formal atau tidak formal yang sentiasa berubah, yang berinteraksi antara satu sama lain dan juga berinteraksi dengan individu tersebut sepanjang hayat. Untuk itu, faktor biologi seperti jantina dan agen sosialisasi seperti ibu bapa dan para guru serta status sosioekonomi dan lokasi sekolah sepatutnya dapat menjana impak ke atas pencapaian akademik pelajar sama ada secara langsung atau secara tidak langsung melalui mediator.

Faktor Jantina

Perbezaan pencapaian jantina mula diberi perhatian pada 1970-an apabila pencapaian rendah pelajar perempuan diketengahkan manakala sejak pertengahan 1990-an pencapaian rendah pelajar lelaki mula diperkatakan. Di sinilah wujudnya jurang perbezaan pencapaian matematik antara jantina. Beberapa kajian telah dibuat untuk mengetahui pelajar lelaki atau perempuan yang mana lebih cemerlang. Menurut Wahid Hashim (2005) dalam akhbar baru utusan yang bertajuk “Matematik- Senario aneh di Malaysia”, beliau berpendapat pelajar perempuan lebih cemerlang berbanding pelajar lelaki dalam matematik berdasarkan statistik pencapaian Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) kertas Matematik teras tahun 2004.

Profesor Fakulti Pendidikan Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Datuk Dr. Zalizan Mohd Jelas menyuarakan pendapatnya dalam petikan Berita Harian (Disember 2009) yang ditulis oleh Rosniza Mohd Taha tentang jurang akademik dalam kalangan pelajar lelaki dan pelajar perempuan. Menurut beliau, keputusan peperiksaan awam peringkat kebangsaan 1996 hinga 2007 jelas menunjukkan pelajar perempuan mempunyai pencapaian yang lebih baik berbanding pelajar lelaki dalam hampir semua mata pelajaran.

Antara faktor yang boleh kita lihat ialah pelajar itu sendiri, guru yang mendidik dan pergaulan mereka dengan rakan sebaya. Perbezaan gaya pembelajaran mereka kita boleh lihat seperti di bawah :
GAYA PEMBELAJARAN
 Lelaki
Perempuan
Tidak menentu
Pelbagai
Tidak bersedia
Pelbagai
Concrete random
Concrete sequential









Guru juga memainkan peranan dalam menentukan kejayaan pelajar itu sendiri. Gaya pengajaran guru yang tidak menarik akan menyebabkan pelajar kurang berminat untuk belajar. Guru yang menggunakan kaedah pengajaran tradisional akan menyebabkan pelajar menjadi bosan untuk mengikuti proses pembelajaran. Ada juga segelintir guru yang malas untuk mewujudkan kreativiti dalam bilik darjah. Sikap guru juga penting supaya tidak menunjukkan sikap berat sebelah terhadap pelajar. Ada guru yang kurang positif terhadap pelajar lelaki berbanding pelajar perempuan. Sikap guru yang kurang memberi perhatian terhadap pelajar lelaki akan menyebabkan pelajar lelaki tidak memberi tumpuan semasa belajar. Guru selalunya mengabaikan pelajar lelaki yang sering menimbulkan masalah. Cara pergaulan pelajar lelaki dengan pelajar perempuan juga berbeza. Sila rujuk jadual di bawah

LELAKI
PEREMPUAN
Berkawan dengan semua orang.
Berkawan dengan orang sekeliling sahaja.
Memilih rakan untuk berseronok.
Memilih rakan yang mementingkan pelajaran.
Mengutamakan masa berseronok dan bersosial bersama.
Suka belajar bersama dan berkongsi idea.
Mudah mengikuti tingkah laku rakan sebaya.
Tidak mudah mengikuti tingkah laku yang tidak baik.

Faktor Lokasi

Salah satu faktor adalah dari segi lokasi. Lokasi boleh dibahagi kepada dua iaitu kawasan bandar atau kota dan luar bandar atau kampung. Menurut Melvin ,Marcus & Thomas (1985), bandar merupakan suatu unit politik atau suatu petempatan yang besar. Bandar juga merupakan satu gabungan antara tempat dengan penghuninya. Selalunya bandar dikenali kerana fungsinya yang mempunyai banyak kemudahan yang tiada batasnya. Mereka juga menyatakan luar bandar ialah kawasan desa dan kawasan penempatan yang meliputi semua jenis kampung. Kawasan luar banda rmerupakan penempatan kecil yang mempunyai kurang dari 10,000 orang penduduk dan kawasan pertanian serta kawasan sumber alam semulajadi.

            Jurang pencapaian pelajar sekolah bandar dan luar bandar dalam matematik juga antara isu yang timbul dek kerana penggunaan Bahasa Inggeris dalam Pengajaran dan Pembelajaran (P&P) di sekolah. Seperti yang kita tahu, pencapaian pelajar sekolah luar bandar jauh ketinggalan berbanding pencapaian pelajar sekolah bandar. Pada pandangan mereka, matematik adalah mata pelajaran yang sukar. Keadaan bertambah buruk lagi apabila terpaksa akur dengan saranan kerajaan yang mencadangkan Sains dan Matematik diajar dalam Bahasa Inggeris sejak tahun 2003. Keadaan ini telah menimbulkan pelbagai masalah yang meningkatkan jurang pencapaian pelajar luar bandar dan bandar dalam mata pelajaran matematik khususnya.
           
Hal ini juga disebabkan oleh kekurangan guru-guru yang berkemahiran bertugas di luar bandar. Masalah ketidaksepadanan opsyen dalam kalangan guru telah mengakibatkan proses P&P terganggu. Sebagai contoh, guru yang bukan opsyen Matematik terpaksa mengajar matematik disebabkan guru yang sepatutnya mengajar Matematik tidak melapor diri di sekolah luar bandar. Hal ini disebabkan bilangan guru yang berjaya mendapat penempatan kerja hampir 61.8% adalah guru wanita. Statistik ini diambil oleh Bahagian Perancangan Pembangunan Pendidikan (BPPDP) Kementerian Pelajaran Malaysia (KPM) pada tahun 2000. Menurut KPM, kesukaran menempatkan guru-guru wanita ke luar bandar telah mengakibatkan ketidakseimbangan opsyen berlaku di sekolah luar bandar. Akibatnya, pelajar-pelajar di luar bandar diajar oleh guru-guru yang tidak berpengalaman mengajar dalam opsyen tertentu.
           
Selain itu, faktor prasarana yang tidak mencukupi juga telah mengakibatkan jurang pencapaian pelajar bandar dan luar bandar berlaku. Keadaan bilik darjah yang tidak kondusif telah mengganggu konsentrasi pelajar untuk belajar. Bilangan kerusi dan meja yang tidak mencukupi telah mengakibatkan para pelajar tidak berminat untuk belajar. Kekurangan sumber rujukan berbahasa Inggeris di pusat sumber juga telah menyebabkan pelajar-pelajar sukar memperolehi maklumat tambahan berkaitan pembelajaran mereka. Keadaan sekolah-sekolah di luar bandar ini sangat berbeza dengan sekolah bandar. Ketidakseimbangan bekalan komputer juga berlaku di antara sekolah luar bandar dan bandar. Kemudahan-kemudahan asas seperti ini perlu disediakan dengan lebih banyak di sekolah luar bandar kerana pelajar di sekolah luar bandar lebih memerlukan bantuan seperti ini.
           
Jurang pencapaian pelajar sekolah bandar dan luar bandar dalam matematik juga berlaku disebabkan para pelajar tidak mendapat sokongan moral daripada ibu bapa mereka. Hal ini kerana, kebanyakan ibubapa yang berada di luar bandar mempunyai tahap pendidikan yang rendah. Ibubapa di luar bandar kebanyakannya tidak menyedari akan kepentingan anak-anak mereka mendapat pendidikan di sekolah lebih-lebih lagi kepentingan mempelajari Bahasa Inggeris. Apabila keadaan ini berlaku, anak-anak akan kurang minatnya terhadap pendidikan. Selain itu, faktor sosio ekonomi yang rendah juga telah menyebabkan keciciran berlaku di kawasan luar bandar dan pedalaman. Kajian Razali (1985) menyatakan bahawa keluarga yang berada selalu dikategorikan dengan mempunyai sikap yang optimis, harapan yang tinggi, kurang kebimbangan dan berfikiran terbuka. Sementara keluarga yang berpendapatan rendah pula dicirikan sebagai mempunyai sikap yang pesimis, harapan yang rendah, tidak berfikiran terbuka. Selain itu, pelajar-pelajar yang kurang berjaya tidak menerima sokongan dari ibubapa mereka untuk memberi mereka inspirasi dan kekuatan untuk membina keyakinan diri untuk berjaya. Jadi, peranan ibubapa sangat mempengaruhi pencapaian anak-anak mereka.

Keseluruhannya, sistem pendidikan negara mengalami perubahan yang lebih bertepatan dengan keperluan setempat. Perubahan  ini memberi kesan langsung terhadap perkembangan pendidikan yang selaras dengan era globalisasi yang  melibatkan semua peringkat sekolah seperti sekolah rendah, menengah dan juga institusi tinggi. Apa yang pasti, jurang pendidikan masih berlaku dan akan dapat dikurangkan dengan penyediaan asas secara berterusan dari masa ke sesama. Kementerian perlu merancang untuk melonjak sistem pendidikan ketahap yang lebih tinggi supaya masalah ini dapat diatasi. Hal ini demikan kerana kemajuan sesebuah negara sama ada dari segi teknologi ataupun ekonomi bergantung kepada generasi muda yang mempunyai keseimbangan dari aspek intelek, jasmani, rohani dan emosi. Jadi, halangan-halangan melahirkan modal insan yang berdaya maju perlu dikenalpasti supaya pendekatan yang betul dapat dilaksanakann. Oleh itu, Kementerian Pendidikan Malaysia perlu merapatkan jurang pendidikan dengan memberi tumpuan kepada fokus dan strategi pelaksanaan. Bantuan persekolahan yang disediakan oleh Kementerian Pelajar Malaysia mampu memenuhi matlamat dalam memastikan semua sekolah dan murid mempunyai peluang dan keupayaan yang sama untuk mencapai kecemerlangan dalam bidang kurikulum dan aktiviti kokurikulum. Di samping itu, kejayaan dalam merapatkan jurang pendidikan boleh dicapai melalui usaha dan komitmen berterusan daripada semua pihak, terutamanya pegawai pelaksana, ibu bapa, badan bukan kerajaan, kumpulan masyarakat, dan penderma. Tambahan pula, semua pihak pelaksana haruslah mengambil perhatian dan komitmen yang tinggi bukan sahaja dalam proses pengajaran dan pembelajaran (P&P) murid, tetapi juga dalam aspek kebajikan dan keperluan sosial murid terutamanya di kawasan pedalaman.

RUJUKAN
Ahmad, S., Tengku zainal, T., & Omar, A. (2006). Isu-isu dalam pendidikan matematik (2nd ed.,              pp. 115- 127). Kuala Lumpur: utusan publication & distribution sdn.bhd
 Coleman, G. (2001). Issues in education: View from the other side of the room. USA: Bergin                    Garvey/ Greenwood

 Coleman, J. S. (1966). Equality of educational opportunity. Washington, DC: National Center
            for Educational Statistics. (Report No. OE-3800)

Coleman, J. S. (1959). Academic achievement and the structure of competition. Harvard
            Educational Review, 29(4), 330-351

Croli, P. (2004). Families, social capital and education outcomes. British Journal of Educational
            Studies, 52, 390-416

Enam, S. (2006). Factors influencing the development of self-concept in preadolescent boys
            and girls. Journal of Life Earth Science, 1(2), 55-59. Ee Ah Meng. (1996). Psikologi                       Pendidikan Dalam Darjah. Kuala Lumpur: Fajar Bakti
Heng, G. W. (2000). Pengaruh status sosioekonomi keluarga dan sikap pelajar terhadap
            pencapaian akademik: Satu kajian di Melaka. Tesis sarjana yang tidak diterbitkan,
            Universiti Malaya

Jurang Pencapaian Matematik Murid Sekolah Rendah Atau Sekolah Menengah Dari Segi Sosial. Diperoleh pada Oktober 10, 2015 daripada     http://www.slideshare.net/nurulatiyah/jurang-pencapaian-matematik-sosial

Kahlenberg, R. D. (2006). No child left behind’s importance on the academic gap. Dapat pada
            Oktober 8, 2015, dari http://www.tcf.org/ Kamus Dewan. (2007). Kuala Lumpur: Dewan                                  Bahasa dan Pustaka
Marzano, R. J. (2003). What works in schools: Translating research into action.Association for
            Supervision and Curriculum Development, USA

Omardin. A. (1996). Kaedah Pengajaran Sejarah. Kuala Lumpur: Utusan Publications and                       Distributors
Quek, M.L. (2006). Pengaruh rakan sebaya dengan pencapaian matematik di kalangan pelajar                   tingkatan 4 di daerah Batu Pahat. Tesis Sarjana Muda. Universiti Teknologi Malaysia

Perbezaan Pencapaian Matematik Lelaki dan Perempuan. Diperolehi pada Oktober 11, 2015             http://www.slideshare.net/khair26/isu-n-trens-final

Portal Rasmi Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) : www.moe.gov.my/

Ruzina Jusoh. (2005). Perkaitan antara pencapaian akademik dan gaya keibubapaan pelajar  
            Tingkatan 3 di sebuah sekolah menengah di USJ Subang. Tesis sarjana yang tidak
            diterbitkan, Universiti Malaya

Song, I, S., & Hattie, J. (1984). Home environment, self-concept and academic achievement: A
            causal modeling approach. Journal of Educational Psychology, 76(6), 1269-1281

Sharifah Alwiah.A.(1983). Psikologi Pendidikan DAlam Perspektif Pembangunan Negara. Kuala
            Lumpur: Dewan Bahasa dan Pustaka

Thomas, J., & Stockton, C. (2003). Socioeconomic status, race, gender, retention: Impact on
student achievement. Dapat pada Oktober 7, 2015 dari  http://www.usca.edu/essays/vol72003/stockton.pdf.

Tiller, A. E., Betsy Garrison, M. E., Benchea Block, E., Cramer, K., & Tiller, V. (2003). The
            influence of parenting styles on children’s cognitive development. Undergraduate
            Research Journal for the Human Science, 2, 1-21.


Zalika, A., Faridah.K dan Mohamad Johdi. S, 2009, Memperkasakan          Pendidikan Luar  Bandar, International Islamic University Malaysia (IIUM).